Friday 11 November 2011

Woods tampil yakin (12/11/2011)

SYDNEY: Tiger Woods memperoleh semula keyakinannya selepas mendahului Terbuka Australia di lapangan The Lakes, semalam dalam pemburuannya untuk merangkul kejuaraan pertama dalam tempoh dua tahun.
Ia kali pertama bekas pemain nombor satu dunia itu menjadi pendahulu sejak kali terakhir melakukannya di pusingan ketiga Cabaran Dunia Chevron, Disember tahun lalu.

Pemenang 14 kejuaraan utama itu mengulangi aksi cemerlang pada sesi latihan di saingan sebenar selepas melakukan tujuh birdie untuk mencatat lima bawah par 67 sekali gus mendahului satu pukulan di hadapan pemain veteran Australia, Peter O’Malley selepas 36 lubang.
Woods yang tidak pernah muncul juara sejak Masters Australia pada 2009 dan kini jatuh ke ranking 58 dunia, menamatkan saingan pada pusingan pembukaan kelmarin dengan empat bawah par 68. “Saya bermain seperti ketika di tempat sendiri. Saya sering melakukan pukulan sama ketika berlatih tapi tidak menjadi sepenuhnya pada saingan sebenar.

“Ia satu perkembangan yang bagus. Saya memerlukan sedikit masa lagi untuk beraksi lebih baik. Apabila memperoleh rentak permainan, keyakinan saya pasti bertambah.” Woods kelihatan hampir kembali mempamerkan prestasi cemerlang yang membantunya mendominasi dunia golf selama lebih sedekad.

“Saya meningkatkan keyakinan pada sesi latihan. Saya sering mendapat latihan yang mencukupi.

“Inilah yang tidak dapat saya lakukan sejak beberapa tahun lalu akibat kecederaan. “Semuanya sudah berubah. Kini saya semakin cergas dan lebih kerap menjalani latihan sekali gus membenarkan saya melakukan rutin sebelum ini. Yang pasti ia berkesan.” - AFP

No comments:

Post a Comment