Sunday 27 November 2011

Caterham dapatkan Iley dari McLaren (28.11.2011)

SAO PAULO: Caterham menambah seorang lagi tenaga teknikalnya dengan mengambil ketua aerodinamik McLaren, John Iley, untuk membantu pasukan Malaysia yang berlumba sebagai Team Lotus di Formula One (F1).
Meskipun Team Lotus/Caterham masih belum mengumumkannya secara rasmi, Ketua pasukan McLaren, Martin Whitmarsh, mengesahkan Iley sudah memberinya notis berhenti.

Tetapi, Whitmarsh yang bekas ketua aerodinamik Ferrari itu menegaskan, Iley masih terikat dengan McLaren untuk tempoh beberapa bulan lagi.
“Saya baru saja menerima permintaan dari pemilik Caterham, Tony Fernandes dan masih belum membuat sebarang keputusan lagi. Maka, mustahil untuk dia (Fernandes) mendapatkannya awal.

“John pekerja yang bagus dan kami mempunyai beberapa rancangan buatnya yang hanya akan ditentukan minggu depan.

“Tony berminat untuk mendapatkannya lebih awal dan perkara itu akan dibincangkan bersama,” katanya.
Dari Ferrari, Iley menyertai McLaren sejak 2010, tetapi menurut Whitmarsh peranannya lebih kepada pengurusan dan bukannya aerodinamik.

“Saya berpendapat Iley ke Caterham kerana diberi peluang memegang peranan lebih besar, bukan hanya aerodinamik. Tony akan membawa masuk kereta Caterham dan saya rasa dia bakal memegang jawatan sebagai pengarah prestasi,” kata Whitmarsh.
Team Lotus yang belum lagi meraih mata di Formula 1, mengambil pengarah sukan Renault, Steve Nielsen dengan memegang jawatan sama, dua minggu lalu. - Reuters

No comments:

Post a Comment