Tuesday 29 November 2011

Skuad hoki ulang penyakit lama (30.11.2011)

PENYAKIT lama berulang lagi. Itulah yang berlaku kepada skuad hoki negara yang turun pada perlawanan ketiga Cabaran Juara-Juara 1 bertemu Argentina semalam apabila tewas 2-5 meskipun mendahului lawan 1-0 selepas tamat babak pertama.
Apa yang dipamerkan itu samalah seperti yang berlaku pada perlawanan antarabangsa sebelum ini apabila mereka tidak beraksi konsisten dalam kedua-dua babak sekali gus mengundang padah mencatat kekalahan kedua dalam tiga perlawanan.

Namun kekalahan itu tidak menjejaskan peluang skuad negara yang tetap layak beraksi di suku akhir.
Azlan Misron memberi harapan awal kepada skuad negara apabila menyempurnakan pukulan sudut penalti dengan sempurna pada minit ke-20, namun selepas itu, corak serangan skuad negara mula longgar.

Memasuki babak kedua, Argentina terus melakukan tekanan dan hasilnya mereka berjaya menyamakan kedudukan hasil jaringan Pedro Ibarra menerusi jaringan padang.

Argentina kemudian terus berjaya menambah gol hasil jaringan Manuel Brunet, Rodrigo Vila dan Burnet sekali lagi untuk menjadikan kedudukan 4-1.

Ketika Argentina kerap melakukan asakan, skuad negara berjaya merapatkan jurang menerusi Muhammad Amin Rahim yang berjaya menyempurnakan pukulan sudut penalti untuk menjadikan kedudukan 4-2.

Namun impian skuad negara untuk sekurang-kurangnya memungut satu mata berkecai selepas Pedro menyumbang gol kelima Argentina ketika permainan hampir tamat.

No comments:

Post a Comment