Tuesday 29 November 2011

Tolak tawaran Chelsea (30.11.2011)

LONDON: Selepas menolak tawaran dipinjamkan ke AC Milan, ejen Didier Drogba mendedahkan pemain itu turut mengetepikan tawaran melanjutkan kontrak setahun bersama Chelsea dengan memilih kelab yang mampu menawarkan bayaran lebih tinggi.
Penyerang berusia 33 tahun dari Ivory Coast itu dijangka meninggalkan Stamford Bridge secara percuma apabila kontraknya tamat musim panas tahun depan.

Ejennya, Thierno Seydi kini giat meninjau peluang lebih besar termasuk ke Amerika Syarikat (AS), Russia atau Asia.
“Didier menerima tawaran untuk melanjutkan kontraknya setahun lagi bersama Chelsea tapi ia tidak menepati kehendak kami. Kami mempunyai sasaran tersendiri dan hanya memilih tawaran hebat.

“AC Milan turut berminat mendapatkan Didier secara pinjaman dengan menyatakan hasrat untuk membelinya tapi saya lantas mengatakan tidak.

“Kami mungkin akan memilih AS, Russia, Qatar ataupun Asia kerana apabila sudah mencecah usia 30-an, anda perlu memilih kelab yang kukuh.

“Bagaimanapun, kami cenderung memilih LA Galaxy. Didier turut dikaitkan dengan Anzhi Makhachkala, Russia, kerana mereka menawarkan bayaran lumayan. Namun, kami masih belum menerima tawaran mereka,” katanya. - Agensi

No comments:

Post a Comment