Tuesday 29 November 2011

Ilmu baru akhir musim (30.11.2011)

MOHD RAMDAN Mohd Rosli berharap pengalaman beraksi di luar negara dapat digunakan bagi membantunya mencatat keputusan terbaik pada pusingan penutup tirai Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas di Padang Kota Lama, Pulau Pinang hujung minggu ini.
Ketika kebanyakan pasukan menggunakan tempoh rehat dua minggu selepas pusingan kesembilan di Sepang untuk melakukan persediaan, pelumba muda CP130 itu terus menimba pengalaman berharga apabila terbang ke Indonesia bersama juara Wira 2011, Zulsyafiz Rosli (MOS Malaysia Racing) bagi menyertai pusingan terakhir siri Indoprix yang berlangsung pada 19 dan 20 November lepas.

Ini adalah aksi luar negara ketiga Ramdan musim ini selain bersaing dalam saingan Underbone 115cc Kejuaraan Motosikal Asia Petronas dan dua penyertaannya dalam Kejuaraan Motosikal Thailand FMSCT.
Berlangsung di Litar Balipat, Ramdan berjaya menamatkan perlumbaan kategori 125cc di tempat ke-13 daripada 42 pelumba.

Sentiasa dahagakan peningkatan dalam karier perlumbaannya, Ramdan menjelaskan pembabitan dalam Indoprix membantu dia lebih memahami bagaimana untuk bersaing dengan lebih baik dalam perlumbaan underbone.

“Dari segi jentera, kedua-dua perlumbaan Cub Prix dan Indo Prix menggunakan jentera Underbone namun persaingan di sana begitu sengit apabila 42 pelumba berada di petak mula.

“Ramai di antara mereka cukup berbakat. Di samping itu, jumlah pusingan perlumbaan perlu ditamatkan lebih jauh iaitu 20 pusingan.

“Bersaing dalam Kejuaraan Kebangsaan Indonesia ini memerlukan pelumba beraksi dengan agresif dan mempunyai tahap kecergasan tinggi.

“Tanpa kedua-dua aspek ini, amat sukar mencapai keputusan yang baik. Ia merupakan satu pendedahan yang baik dan saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pengurusan pasukan dan penaja, Petronas kerana memberi saya peluang beraksi di luar negara seperti ini,” kata pelumba Petronas Syntium Moto Yamaha AHM itu.

Pelumba kelahiran Klang itu berharap pada perlumbaan akhir di Padang Kota Lama mengulangi memori manis memenangi gelaran CP115 di situ musim lalu.

“Matlamat saya adalah untuk menaiki podium bagi menebus kegagalan di Sepang. Setakat ini saya 80 peratus yakin mampu melakukannya.

“Baki 20 peratus lagi bergantung kepada pelarasan enjin dan juga tunggangan saya nanti. Selain itu, saya turut akan mempraktikkan kemahiran baru yang saya pelajari di Indonesia pada perlumbaan minggu ini,” tambah pelumba berusia 15 tahun itu.

Selepas sembilan pusingan, Ramdan kini menghuni tangga kelapan senarai keseluruhan CP130 dengan 78 mata manakala pelumba Harian Metro TEQ SCK Honda Racing, Norizman Ismail mendahului dengan mengumpul 113 mata diikuti rakan sepasukannya, Mohd Affendi Rosli, 104 mata.

Abdul Muhaimin Roslan dari Yamaha Maju Motor Racing di tangga ketiga dengan 88 mata.

No comments:

Post a Comment