Tuesday 2 August 2011

Harap tuah The Lakes ubah nasib. (2/8/2011)

SYDNEY: Tiger Woods mungkin beraksi buat pertama kali di Sydney dalam tempoh 15 tahun selepas namanya disahkan menjelang Terbuka Australia November ini. 

Juara 14 kali kejohanan utama itu yang kemarau kejuaraan sejak menjuarai Masters Australia 2009 di Melbourne, mengharapkan tuah lapangan The Lakes untuk mengubah nasibnya.
“Saya teruja beraksi di Terbuka Australia,” kata Woods. “Saya tidak menyertai kejohanan ini sejak 1999 dan saya tidak sabar mahu kembali. Saya mempunyai pertalian kuat dengan golf Australia dan bersedia mengharungi cabaran The Lakes.”


Woods, yang tergelincir daripada kelompok 20 teratas selepas mengalami kecederaan di Terbuka Amerika Syarikat, kali terakhir beraksi di Terbuka Australia ialah ketika masih seorang rookie dan menamatkan permainan di tempat kelima. 

Kejohanan yang bakal berlangsung 10-13 November itu turut menampilkan rakan senegara dari Amerika Syarikat, Dustin Johnson dan Bubba Watson, juara bertahan Geoff Ogilvy dan naib juara dua gelaran utama, Jason Day. 

Woods akan beraksi di kejohanan kompetitif pertamanya minggu depan di Jemputan WGC Bridgestone dekat Ohio - lapangan yang setakat ini memberikan tujuh gelaran kepadanya. - AFP 

Ungguli Klasik Bank singkir Bartoli (2/8/2011)

STANFORD (California): Serena Williams merangkul kejuaraan tenis pertamanya sejak kembali beraksi apabila menewaskan Marion Bartoli 7-5, 6-1 di final Klasik Bank of The West, kelmarin. 

“Kembali beraksi dan mendengar tepukan gemuruh apabila berjalan di luar sana adalah sesuatu yang saya amat rindukan,” kata Serena. “Saya gembira dapat kembali dan menjadi sebahagian daripada saat ini.”
Kejayaan itu lebih manis buat Serena kerana Bartoli, yang menduduki ranking kesembilan dunia, pernah menyingkirkan bekas pemain nombor satu dunia itu pada pusingan keempat Wimbledon tahun ini.


Penampilan pada final kelmarin adalah yang pertama buat Serena sejak menjuarai All England Club tahun lalu, dan persembahan terbaiknya selepas berehat hampir setahun kerana menghidap darah beku dalam paru-parunya yang memerlukan pembedahan segera. 

Turun sebagai pemain ranking ke-169 dan bukan pilihan kejohanan, Serena mengharungi kejohanan berkenaan dengan mudah, termasuk mengalahkan Maria Sharapova 6-1, 6-3 pada suku akhir. 

Persembahan cemerlangnya diteruskan ketika menentang Bartoli, yang berpeluang berehat panjang selepas lawannya pada separuh akhir - Dominika Cibulkova menarik diri kerana mengalami ketegangan otot perut. 

“Saya benci dengan nombor tiga digit,” kata Serena mengenai ranking dunianya sebelum ini. “Kini saya perlu kembali ke angka tunggal.” – AP 

Masih ‘tunggu dan lihat’ (2/8/2011)

DUBLIN: Wesley Sneijder kelmarin membiarkan pintu terbuka terhadap kemungkinan perpindahan bernilai 35 juta pound (RM168.9 juta) ke Manchester United. 

Pemain tengah Inter Milan itu begitu kuat dikaitkan dengan perpindahan ke kelab juara Liga Perdana Inggeris (EPL) dan spekulasi berterusan minggu lalu walaupun komen terbaru pengurus United, Sir Alex Ferguson, bahawa kelab itu tidak akan membuat pembelian pemain baru lagi musim panas ini.
Pemain antarabangsa Belanda itu bermain 75 minit ketika kekalahan 3-0 kepada Manchester City dalam perlawanan Piala Super Dublin kelmarin, dan enggan menolak spekulasi bahawa ia mungkin akan berakhir dengan satu lagi kelab di Manchester musim baru ini.


“Sentiasa ada peluang untuk sesuatu itu berlaku, tetapi kita lihat saja,” kata bekas bintang Real Madrid itu. 

“Kita lihat apa yang akan berlaku, namun saya seorang lelaki yang gembira. Sering saja ada spekulasi, setiap tahun. Saya sudah berada pada tahap terbaik sejak 10 tahun dan sentiasa saja ada spekulasi, namun saya menerimanya, saya masih di sini. 

“Saya gembira berlatih setiap hari dengan rakan dan bermain corak permainan saya untuk penonton dan semua di kelab. Kita lihat apa saja perkembangan selepas itu.” 

Bos Inter Milan, Gian Piero Gasperini memberitahu United mereka perlu berunding dengan kelabnya, bukan pemain itu, jika mahu melengkapkan urus niaga berkenaan. 
Gasperini memberi reaksi terhadap komen Ferguson, tetapi kemudian dinafikan pengurus warga Scotland itu kononnya pemain tengah itu diberikan kata dua untuk segera membuat keputusan sama ada bersetuju atau tidak terhadap tawaran Manchester United. 

“Saya hargai jika ada tawaran, tetapi rundingan seharusnya dengan Inter,” kata Gasperini. 

“Saya tidak begitu bimbang. Pasaran terbuka sehingga 31 Ogos dan sehingga itu perkara ini akan terus berlaku. Bukan setakat Inter, ia turut berlaku kepada kelab besar lain yang memilik pemain sasaran kelab besar.” – AFP

Kekal di City! (2/8/2011)

Adebayor, Bellamy mungkin tinggalkan skuad Mancini 

MANCHESTER: Roberto Mancini membayangkan Carlos Tevez mungkin kekal di Manchester City tetapi rakan penyerang, Emmanuel Adebayor dan Craig Bellamy kemungkinan meninggalkan kelab itu.
Masa depan Tevez belum pasti selepas penyerang antarabangsa Argentina itu mengumumkan dia tidak gembira tinggal di Manchester dan perpindahan ke Corinthians diusahakan tetapi menemui jalan buntu dan kini Inter Milan menjadi satu lagi pilihan padanya.


Begitupun, Mancini mendakwa Tevez akan kekal di City, walaupun menambah penggempur dalam pasukan itu termasuk rakan senegara, Sergio Aguero dari Atletico Madrid dengan yuran sekitar 38 juta pound (RM190 juta), selain Mario Balotelli dan Edin Dzeko. 

“Bila Carlos kembali menjalani latihan Khamis ini, kami akan mempunyai empat penyerang dalam pasukan ini ,” kata Mancini. 

“Ini baik untuk kami. Bila anda bertanding dalam empat kejohanan, anda perlukan pemain ini. Pemain yang berebut untuk diturunkan adalah satu perkara yang baik.” 

Bellamy bagaimanapun tampak pasti akan berpindah selepas Mancini mengesahkan khabar angin pemain Wales itu akan ke Celtic, selepas menghabiskan musim lalu dipinjamkan di Cardiff. 
Adebayor adalah seorang lagi penyerang dijangka berpindah, selepas pemain antarabangsa Togo itu tidak berselindung menyuarakan impian untuk kembali ke Real Madrid musim depan dan Mancini pasti mengalu-alukan sebarang perjanjian dengan gergasi Sepanyol itu.- Agensi 

Buru tiga pemain belum kesampaian (2/8/2011)

HAJAT besar Negeri Sembilan mendapatkan khidmat tiga pemain daripada pasukan lain menguatkan jentera pasukan menghadapi kempen Piala Malaysia dijadualkan bermula awal September ini belum kesampaian berikutan tindakan membisu pengurusan pasukan. 

Ketua jurulatih, Mohd Azraai Khor Abdullah berkata tiga pemain diburu adalah dua dari Pahang dan satu dari Perlis, namun sehingga kini pengurusan kedua-dua pasukan pemain terbabit belum memberi sebarang jawapan.
“Kita sudah berhubung dengan pengurusan pasukan Pahang mendapatkan khidmat Munir Rahman dan seorang lagi pemain pasukan itu selain Mohd Faiz Subri dari Perlis, tetapi sehingga kini tiada perkembangan positif daripada pasukan terbabit. Kita tidak pasti sama ada mereka dibenarkan dipinjam atau sebaliknya.


“Begitupun saya berhasrat mengadakan perbincangan lanjut dengan pihak Mohd Faiz sebaik pulang ke Alor Setar dalam tempoh terdekat ini, bagi mendapatkan kepastian sama ada dia (Mohd Faiz) bersetuju bersama Negeri Sembilan atau sebaliknya. 

“Jika usaha yang dijalankan ini tidak berjaya, kita mungkin beralih dengan pasukan lain bagi mendapatkan pemain yang boleh membantu memantapkan lagi kekuatan pasukan demi merealisasikan sasaran merangkul kejuaraan Piala Malaysia musim ini,” katanya semalam. 

Mengenai persiapan latihan, bekas pengendali kebangsaan dan Kedah itu berkata, anak buahnya akan memulakan latihan minggu depan selepas mereka diberikan cuti seminggu sempena menyambut Ramadan dan latihan akan diadakan pada sebelah malam. 

“Bagi memastikan persiapan pasukan benar-benar memuaskan, kita juga sudah merangka beberapa perlawanan persahabatan termasuk yang terdekat membabitkan pasukan Johor FC dan Sarawak bagi menilai kemampuan dan persefahaman pemain,” katanya. 

Sertai Universiade. (2/8/2011)

RATU terjun negara, Pandelela Rinong bertekad beraksi di Sukan Universiti Dunia (Universiade) di Shenzhen, China, bulan ini walaupun terpaksa menanggung kesakitan gara-gara kecederaan. 

Namun, perkhabaran berlawanan pula buat jaguh berbasikal trek negara, Mohd Azizulhasni Awang yang disebut akan menarik diri pada temasya pada 12 sehingga 24 Ogos ini bimbang ia akan menjejaskan tumpuan ikon sukan itu ke Sukan Olimpik 2012.
Apapun, Pandelela, 18, yang tercedera di pinggang ketika beraksi pada Kejohanan Akuatik Dunia (FINA) di Shanghai pada 20 Julai lalu menyuarakan keazaman untuk tetap bersama kontinjen Malaysia ke Shenzen kerana ia adalah penyertaan pertamanya dalam kejohanan itu.


“Saya amat teruja ke sana kerana belum pernah beraksi untuk pasukan negara. Saya harap kesakitan ini tidak mengganggu tumpuan saya. 

“Kesakitan ini memberi kesan hingga di bahagian tengkuk dan merimaskan saya tapi ia semakin baik selepas saya ke Institut Sukan Negara bagi mendapatkan rawatan,” kata penerjun dari Sarawak itu, semalam. 

Sementara itu, difahamkan ketua jurulatih kebangsaan, John Beasly tidak membenarkan Azizul ke temasya di China kerana bimbang akan menjejaskan tumpuan Azizulhasni ke Sukan Olimpik. 

Pengurus skuad berbasikal negara ke Universiade 2011, Zufri Yazid berkata pihaknya bagaimanapun masih belum menggugurkan nama Azizulhasni dalam senarai skuad berbasikal kerana masih menunggu jawapan daripada Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN). 
“Nama Azizulhasni masih belum digugurkan kerana kita masih mengharapkan bahawa beliau akan dapat bersama kita. 

“Sekiranya beliau tidak dapat mengikuti, kita hanya membuat penarikan diri sebelum kejohanan,” katanya. 

Ramal beregu emas layak final kejohanan dunia (2/8/2011)

PADA firasat Rexy Mainaky, beregu emas negara - Koo Kien Keat dan Tan Boon Heong memiliki segala ramuan untuk layak ke final Kejohanan Badminton Dunia bagi menggapai impian memburu mahkota kejuaraan selepas dipalit kekecewaan pada edisi, tahun lalu. 

Jurulatih beregu berkenaan meletakkan sasaran tinggi itu pada kejohanan elit yang bermula di London pada 8 sehingga 14 Ogos ini dengan andaian akan berentap beregu nombor satu dunia dari China, Cai Yun dan Fu Haifeng.
Walaupun pasangan itu tidak memenangi sebarang gelaran pada kejohanan Grand Prix atau Siri Super kebelakangan ini, Rexy berkata beregu nombor empat dunia itu berjaya layak ke final Seluruh England, Mac lalu.


“Keadaan adalah sama seperti tahun lalu. Mereka tidak menang apa-apa pada GP dan Siri Super, tetapi mereka cemerlang dalam Kejohanan Dunia. Nampaknya mereka membuat persediaan untuk ini,” katanya, semalam. 

Beregu nombor satu Malaysia itu layak ke final Kejohanan Dunia tahun lalu namun gagal menjulang gelaran setelah tumpas kepada Cai Yun dan Fu Haifeng 21-18, 18-21, 14-21. 

Rexy, yang mempunyai keyakinan tinggi terhadap prestasi pasangan itu berkata skuad negara juga membuat persiapan lebih baik tahun ini dengan menjalani sesi latihan di Bath, London, kira-kira dua minggu sebelum kejohanan. 

Koo dan Tan, yang mendapat bye pada pusingan pertama, dijangka bertemu pasangan China, Liu Xiaolong/Qiu Zihan pada pusingan kedua. 

‘jatuh hati’ di Bath (2/8/2011)

Jaguh negara sedia fokus ke arah kejuaraan dunia di Arena Wembley 

LEE Chong Wei sudah mula ‘jatuh hati’ kepada pusat latihan di Universiti Bath yang terletak di barat daya England selepas menyepikan diri, tahun lalu bagi misi Kejohanan Badminton Dunia.
Pemain nombor satu dunia itu bakal mengetuai cabaran skuad negara di Arena Wembley, London yang bermula pada 8 hingga 14 Ogos ini sudah pun mula menjalani latihan intensif di Pusat Latihan Sukan Prestasi Tinggi (PLPT) itu sejurus tiba, Rabu lalu sehingga mereka bertolak ke London, Khamis ini.


Pengurus Besar BAM, Kenny Goh berkata semua pemain di situ turut diselia lapan pegawai Institut Sains Sukan Negara (ISN) dan juga dua tukang masak. 

“Laporan yang saya terima ada menyebut semua pemain berpuas hati dengan kemudahan dan perkhidmatan disediakan di universiti itu. Chong Wei sudah bersuara mahu berlatih di tempat yang sama bagi persiapan Olimpik 2012 nanti,” katanya, semalam. 

Kenny berkata lapan pegawai ISN - kebanyakan fisioterapi dan jurulatih fizikal banyak membantu skuad negara disamping dengan juadah cita rasa Malaysia disediakan tukang masak yang dibawa khas. 

“Mereka gembira apabila dapat menjalan latihan tanpa ada gangguan dan dapat memberi fokus sepenuhnya. Pada sebelah malam pula, mereka dapat membuat perbincangan dan membuat analisis video perlawanan,” katanya. 
Selain Chong Wei yang akan cuba merangkul gelaran dunia pertama buatnya, skuad badminton negara yang menjalani latihan di Universiti Bath ialah Koo Kien Keat-Tan Boon Heong, Mohd Zakry Abdul Latif-Hoon Thien How, Chan Peng Soon-Lim Khim Wah, Wong Pei Tty-Chin Eei Hui, Ng Hui Lin-Ng Hui Ern, Ong Jian Guo-Sabrina Chong dan Goh Liu Ying (yang akan digandingkan dengan Peng Soon dalam beregu campuran). 

Seorang lagi pemain perseorangan negara, Wong Choong Hann berlepas ke London, Jumaat ini. 

'pulang' sertai Harimau Malaya (2/8/2011)

Aksi garang ketika wakili Malaysia XI tambat hati FAM 

KELIBAT garang Norhafiz Zamani Misbah merantai kemas pergerakan Fernando Torres dan Didier Drogba ketika Malaysia menentang Chelsea dalam siri persahabatan pada 21 Julai lalu berjaya menambat hati Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Semalam, kenyataan daripada badan induk itu menyebut pemain pertahanan itu adalah antara 25 pelatih tersenarai dalam skuad kebangsaan untuk menjalani latihan pusat di Wisma FAM, Kelana Jaya.


Aksi goyah benteng negara ketika menentang Singapura dalam pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2014 harus memberi opsyen lebih kepada ketua jurulatih, Datuk K Rajagobal dengan kehadiran Norhafiz yang disebut boleh memantapkan kubu negara. 

Kali terakhir pemain berusia 30 tahun itu mewakili skuad negara adalah di Sukan Asia 2010. Turut dipanggil menjalani latihan skuad kebangsaan ialah pemain tengah Kedah, Mohd Khyril Muhymeen Zamri yang juga sudah lama tersisih selepas kali terakhir pada kelayakan Piala Asia, hujung tahun lalu. 

Penyerang Pelita Jaya FC, Safee Sali yang diberi penghormatan selaku kapten pada perlawanan kedua pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2014 menentang Singapura di Stadium Nasional Bukit Jalil, Khamis lalu, turut tersenarai bersama kapten skuad kebangsaan, Mohd Safiq Rahim yang tidak beraksi di Bukit Jalil minggu lalu, akibat penggantungan selepas dilayangkan kad merah pada perlawanan pertama menentang Singapura di republik berkenaan sebelum itu. 

Pemain lain yang turut dipanggil ialah Amar Rohidan, Mohamad Azmi Muslim, Baddrol Bakhtiar, Mohd Amirulhadi Zainal, Mohd Asraruddin Putra Omar, Mohd Farizal Marlias, S Kunanlan, Mohd Ashaari Samsudin, Mohd Sharbinee Allawee. 
FAM dalam kenyataannya berkata, semua pemain itu diminta melapor diri di Wisma FAM pada jam 4 petang esok. Sesi latihan di bawah kendalian Rajagobal itu akan berlangsung lima hari sebelum skuad kebangsaan berlepas ke Oman mengadakan perlawanan persahabatan dari 8 hingga 10 Ogos ini. 

INFO 
Senarai 25 pelatih Harimau Malaya
 

Amar Rohidan (Kedah) 
Mohamad Azmi Muslim (Kedah) 
Baddrol Bakhtiar (Kedah) 
Mohd Khyril Muhymeen Zamri (Kedah) 
Mohd Amirulhadi Zainal (Selangor) 
Mohd Asraruddin Putra Omar (Selangor) 
Safiq Rahim (Selangor) 
Norhafiz Zamani Misbah (N Sembilan) 
Mohd Farizal Marlias (N Sembilan) 
Kunalan Subramaniam (N Sembilan) 
Mohamad Ashaari Samsudin (Terengganu) 
Mohd Sharbinee Allawee (Terengganu) 
Helmi Remeli (Terengganu) 
Abdul Hadi Yahaya (Terengganu) 
Ismail Faruqi Ashari (Terengganu) 
Joseph Kalang Tie (Terengganu) 
Mohd Farisham Ismail (Kelantan) 
Chanturu Suppiah (Kelantan) 
Mohd Rizal Fahmi Ab Rosid (Kelantan) 
Mohd Shakir Shaari (Kelantan) 
Mohd Shahrom Abdul Kalam (KL) 
Norazlan Razali (KL) 
Shahrizal Mohd Saad (Johor FC) 
Mohd Faizal Muhamad (Harimau Muda A) 
Mohd Safee Mohd Sali (Pelita Jaya FC, Indonesia) 

Milik Man Utd? (2/8/2011)

Pengurus Inter bidas Ferguson, berunding secara profesional 

LONDON: Wesley Sneijder memberi bayangan yang kian jelas betapa dia akan berpindah ke Manchester United bagi aksi Liga Perdana Inggeris.
Semalam, bintang Inter Milan bernilai £35 juta (RM175 juta) berkata: “Sudah pasti ada peluang sesuatu akan berlaku. Kita tunggu dan lihat.”


Apabila diajukan persoalan sama ada berminat beraksi di England, pemain antarabangsa Belanda berusia 27 tahun itu menjawab: “Mungkin....saya sudah bermain dalam banyak kejohanan besar di Belanda, Sepanyol dan Itali. Saya masih di sini.” 

Apapun pengurus Inter Milan, Gian Piero Gasperini tampil menegur United bahawa Sir Alex Ferguson perlu berunding dengan kelabnya, bukan pemain itu, jika mahu melengkapkan urusniaga berkenaan. 

Ferguson pula menyuarakan The Red Devils kini mahu mencari seorang pemain bertaraf dunia menguatkan cabaran mereka dan mesej itu lebih terarah kepada usaha membawa Sneijder ke Old Trafford. - Agensi