Tuesday 29 November 2011

Proton ungguli kategori 1.6 Siri Super Touring Car Malaysia (30.11.2011)

PROTON muncul juara kategori 1.6 Siri Super Touring Car Malaysia 2011 selepas dua pelumbanya menamatkan kedudukan 1-2 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).
Pelumbanya Faidzil Alang yang memandu Satria Neo muncul juara pusingan kelima dan terakhir untuk muncul juara keseluruhan.

Rakan sepasukan, Syafiq Ali yang memandu Proton Gen2 meneruskan penguasaan Proton apabila menamatkan perlumbaan di kedudukan kedua.
Syafiq memulakan perlumbaan di petak hadapan selepas mencatat kepantasan hanya 0.037s di depan Faidzil.

“Keputusan ini melengkapkan kejayaan Proton dalam dunia permotoran sepanjang tahun ini terutamanya buat Satria Neo yang cemerlang dalam kedua-dua perlumbaan litar dan rali antarabangsa,” kata Pengarah Pemasaran dan Jenama Kumpulan Proton, John Doody Chacko.

“Ia pencapaian luar biasa yang boleh menterjemahkan kecemerlangan Proton dan kejayaan ini memberi rangsangan besar dalam menyokong usaha kami untuk meningkatkan kesedaran jenama ini dan penerimaan orang ramai di peringkat domestik, serantau dan antarabangsa.” Katanya, apa yang dibuktikan oleh Satria Neo sepanjang tahun 2011 ini akan membantu mewujudkan satu asas kukuh bagi Proton dalam sukan permotoran antarabangsa.

Sementara itu, Ketua Pemotoran Proton, Datuk Abdul Razak Dawood berkata: “Kami berjaya melakukan tugas dengan baik pada peringkat Kejohanan Rali Asia Pacific apabila meraih lapan gelaran individu. “Kami kini fokus kepada pasukan pelumba R3 dan selepas melengkapkan semua lima pusingan MSS dan menamatkan perlumbaan di kedudukan 1-2, kami kini dalam fasa persediaan terakhir untuk menyertai saingan Sepang 1000km atau S1K minggu depan.”

No comments:

Post a Comment