Sunday 27 November 2011

Redknapp rasa bersalah (28.11.2011)

BIRMINGHAM: Pengurus Tottenham, Harry Redknapp mengakui beliau merasa bersalah terhadap Jermain Defoe selepas penyerang itu memastikan kehadirannya membantu kemenangan pasukan dengan meledak gol penting ketika menentang West Bromwich Albion, kelmarin.
Ketika kedudukan terikat di Hawthorns, Defoe memanfaatkan peluangnya selepas ketiadaan Rafael Van der Vaart kerana kecederaan apabila meledak gol pada minit ke-81 untuk membolehkan Spurs mencatatkan kemenangan 3-1.

Redknapp menegaskan sebelum perlawanan bahawa pemain antarabangsa England yang sudah tidak beraksi dalam Liga Perdana sejak 2 Oktober tidak akan dijual pada Januari.
Selepas memuji persembahan separuh masa kedua Defoe, beliau mengakui pemain antarabangsa England itu tidak bernasib baik kerana berada di bangku simpanan.

Redknapp berkata: “Kami kehilangan Rafael kerana hamstring namun Jermain mempamerkan persembahan yang hebat. Terdapat perlawanan pasukan simpanan pada Selasa dan dia meledak lima gol menentang Charlton serta kelihatan tajam.

“Sesetengah permainannya pada separuh masa kedua adalah hebat. Dia tidak bernasib baik. Saya cuma boleh menurunkannya atau Rafa yang beraksi dengan baik dan menjaringkan gol.
“Dia sudah meledak lima atau enam gol, jadi adalah sukar untuk Jermain dan saya merasa kesal untuk dia. Saya memberitahunya, tiada apa yang boleh saya lakukan. Saya mempunyai (Emmanuel) Adebayor dan satu posisi untuk beraksi dengannya.” Kemenangan terbabit adalah kelima berturut-turut untuk skuad kendalian Redknapp meletakkan mereka dua mata ketinggalan kepada Manchester United selain kemenangan pertama dalam enam cubaan di Hawthorns. -AFP

No comments:

Post a Comment