Saturday 26 November 2011

Tugas sukar Dalglish (27/11/2011)

LIVERPOOL: Pengurus Liverpool, Kenny Dalglish sedar tugas getir dihadapinya untuk mengakhiri rekod tanpa kalah milik Manchester City di Anfield, malam ini.
Jurulatih kelahiran Scotland itu tidak gentar melakukan rombakan terhadap pasukan seperti dilakukan ketika menurunkan Maxi Rodriguez dan Craig Bellamy buat pertama kali musim ini pada pertemuan menentang Chelsea, minggu lalu.

Tindakan berani itu membuahkan hasil apabila kedua-dua pemain bergandingan untuk meledak jaringan pertama pasukannya malam itu.
Selain itu, beliau turut memiliki pemain seperti Andy Carroll, Stewart Downing dan Jordan Henderson untuk disenaraikan.

Dalglish perlu membuat pilihan tepat kerana 48 jam selepas itu, beliau perlu mempersiapkan pasukannya untuk perlawanan suku akhir menentang Chelsea.

Namun, tumpuan utama pastinya memilih pasukan tepat untuk menjinakkan City. April lalu, Caroll yang dibeli dengan harga £35 juta (RM172.7 juta) menjaringkan dua gol pertama buat kelab barunya untuk membantu Reds menang 3-0.
Namun, keputusan itu tidak memberi sebarang makna kepada pemain yang beraksi hujung minggu ini.

“Anda perlu mengambil kira apa yang berlaku ketika ini. Andy menjaringkan dua gol tahun lalu dan mendapat ganjarannya,” kata Dalglish.
“Bagaimanapun, anda tidak boleh mengharap dia mengulanginya sekali lagi tahun ini kerana ia pasti mengundang masalah.

“Kami perlu mengatur langkah baru untuk perlawanan Ahad ini dan jika berjaya mengulangi keputusan yang sama, ia pasti menggembirakan semua pihak.” - Agensi

No comments:

Post a Comment