Sunday, 27 November 2011

Tuah penalti Korea (28.11.2011)

SEOUL: Korea Selatan menundukkan Arab Saudi 1-0 menerusi kemenangan penalti pada perlawanan Kelayakan Olimpik London 2012, semalam.
Disaksikan 27,000 penyokong di Stadium Piala Dunia Seoul, pemain tengah Cho Young-Cheol menjaringkan gol di minit ke-33 sekali gus meletakkan tuan rumah di tangga teratas Kumpulan A, dengan tujuh mata dari dua kemenangan dan seri.

Ketika tuan rumah bersedia untuk menerima tendangan percuma dari sayap kiri, pemain pertahanan Saudi, Ahme Walibi berlanggar dengan pemain lawan yang menghadiahkan penalti.
Menerusi penalti, Cho menewaskan penjaga gol, Hussain Shaian dengan menendang bola ke penjuru kanan gawang.

Cho adalah seorang daripada empat pemain Liga-Jepun yang menyertai skuad Olimpik. Bagaimanapun Jepun enggan melepaskan pemain lain beraksi menentang Qatar, Rabu lalu.

Korea Selatan mendominasi permainan babak pertama namun tandukan Cho pada minit ke-25 disingkirkan kerana ofsaid.
Cho hampir menjaringkan gol kedua pada minit ke-41 tetapi diselamatkan Shaian. Penjaga gawang itu turut berjaya menepis rembatan pemain gantian, Yun Suk-Young m-75.

Pasukan pelawat beroleh beberapa peluang tetapi hanya satu berjaya menguji kemampuan penjaga gawang, Lee Bum-Young m-66 menerusi pemain gantian Abdulrahim Jezawi, namun ditepis Lee.
Korea Selatan sekali lagi bertemu Saudi di tempat lawan pada 5 Februari depan, sebelum ke Oman. Perlawanan kelayakan final bakal berlangsung di laman sendiri menentang Qatar pada 14 Mac.

Mereka sedang dalam misi memburu kedudukan ke Olimpik buat kali ketujuh berturut-turut dan sembilan penampilan secara keseluruhan. Bagaimanapun Korea Selatan belum pernah memenangi pingat acara bola sepak di Olimpik. - AFP

No comments:

Post a Comment