Saturday 26 November 2011

Belum boleh peluk tubuh (27/11/2011)

SEDAR atau tidak, keupayaan atlet negara melepasi sasaran di temasya sukan antarabangsa kini tidak boleh dipandang rendah. Apa saja sasaran (meskipun ada yang menganggapnya ‘selamat’), pasti mampu diatasi, seolah-olah semangat ‘Malaysia Boleh’ sudah terpahat dalam sanubari setiap atlet.
Trend ini dilihat ketara sejak beberapa tahun lalu apabila kontinjen negara melakar satu demi satu sejarah dalam temasya sukan antarabangsa disertai.

Misalnya pada 2006, kontinjen negara menepati sasaran tujuh pingat emas Majlis Sukan Negara (MSN) di Sukan Komanwel Melbourne, biarpun diikuti kegagalan menepati sasaran sembilan pingat emas di Sukan Asia Doha apabila pulang dengan lapan pingat emas.
Pada 2007, Malaysia meraih pencapaian pingat emas tertinggi di luar negara di Sukan Sea Korat dengan 68 pingat emas, melebihi sasaran 64 emas diikuti kejayaan melepasi sasaran, kali ini di Sukan Sea Vientiane dengan 40 emas, melebihi 30 hingga 35 sasaran emas sebelum temasya.

Dua temasya penting 2010 juga tidak mengecewakan apabila kontinjen negara melepasi sasaran 10 emas di Sukan Komanwel New Delhi dengan 12 emas manakala sasaran Sukan Asia Guangzhou iaitu sembilan emas, turut menjadi kenyataan.

Yang pasti tradisi menetapkan sasaran bukan baru tapi mula dipraktik sejak mantan Ketua Pengarah MSN, Datuk Wira Mazlan melaksana Program Jaya '98 dengan beliau meletakkan sasaran tujuh emas di Sukan Komanwel 1998, yang akhirnya berjaya membuahkan 10 pingat emas di Kuala Lumpur.
Ketua Pengarah MSN, Datuk Zolkples Embong berkata, di sebalik trend positif itu, persoalan yang timbul adalah bagaimana mengekalkan reputasi itu, apatah lagi dengan kehendak masyarakat yang sentiasa dahagakan kejayaan.

“Kejayaan penting tapi lebih penting adalah perkembangan sukan negara berjaya menggalakkan budaya bersukan di kalangan rakyat, apatah lagi ia menjadi medium perpaduan tanpa mengira latar belakang,” katanya.
Apatah lagi menurutnya, sukan berjaya mencipta ikon seperti Azizulhasni Awang, Datuk Lee Chong Wei dan Datuk Nicol David yang secara tidak langsung menggalakkan gaya hidup sihat dan menaikkan imej negara di mata dunia.

Begitupun di sebalik pelbagai kejayaan diraih atlet negara tahun ini terutamanya Sukan Sea yang menjadi kemuncak pencapaian, beliau menganggap misi memenuhi sasaran itu bukan mudah dilakukan apatah lagi dengan ‘bekalan atlet’ serta bajet yang terhad.

Menurutnya kejayaan di Sukan Sea baru-baru ini membayangkan penguasaan sebenar atlet yang berada dalam program Road To London, menerusi pencapaian atlet terjun dan memanah menjelang Sukan Olimpik London tahun depan.

“Pencapaian di Olimpik jauh lebih penting apatah lagi dengan matlamat membawa pulang pingat emas Olimpik pertama buat negara. “Apapun, kita tidak boleh mengharap saja, banyak lagi perlu dilakukan jika ingin berjaya di Olimpik,” katanya.

No comments:

Post a Comment