Monday 28 November 2011

Bukan salah Balotelli (29.11.2011)

LIVERPOOL: Pengurus, Roberto Mancini menuduh pemain Liverpool sengaja menyebabkan Mario Balotelli dibuang padang pada perlawanan yang menyaksikan pendahulu Liga Perdana Inggeris, Manchester City seri 1-1 di Anfield.
Balotelli yang masuk sebagai pemain gantian menerima kad kuning kedua pada minit ke-83 selepas menyiku pemain pertahanan antarabangsa Slovakia, Martin Skrtel dan diperintah keluar padang selepas beraksi selama 18 minit.

Begitupun Mancini setuju dengan keputusan pengadil, Martin Atkinson melayangkan kad kepada pemain berusia 21 tahun itu selepas menarik baju Glen Johnson tetapi beliau menuduh pemain Liverpool itu mendesak pengadil supaya menghadiahkan kad kuning kedua.
“Saya rasa dia puncanya,” jawab Mancini ketika ditanya sama ada Skrtel menjadi punca insiden itu.

“Saya nampak pengadil menghadiahkan sepakan percuma dan tidak berniat mahu melayangkan kad kuning tapi keadaan bertukar selepas semua pemain Liverpool mengerumuni pengadil.

“Saya kecewa apabila Balotelli mendapat kad kuning pertama tapi bukan kad kedua. Bagi saya kad kuning kedua itu bukan keputusan yang betul. Malah saya tidak fikir pengadil mahu melayangkan kad kuning.


“Sudah banyak kali saya katakan Mario boleh lakukan apa saja. Kami tidak mampu mengubahnya dalam tempoh sebulan dan hari ini dia memang layak menerima hukuman itu,” kata pengurus dari Itali itu.

“Tiga bulan lalu dia bermain dengan cemerlang dan menjaringkan gol. Dia pemain yang penting buat kami.” Pengurus Liverpool, Kenny Dalglish menegaskan Balotelli perlu menyalahkan dirinya sendiri selepas menerima kad merah ketiga sejak menyarung jersi City pada Ogos 2010.

“Balotelli menyebabkan dirinya dibuang padang,” kata legenda Liverpool itu.

“Kadang kala anda menjadi punca diri sendiri dibuang padang. Jika melihat ke cermin anda akan mendapat jawapannya. Kadang kala dia langsung tidak membantu dirinya apa lagi orang lain dan mungkin juga dia tidak mendapat pengajaran.” - AFP

No comments:

Post a Comment