Tuesday 29 November 2011

Polis soal Terry (30.11.2011)

LONDON: Polis Britain menyoal siasat kapten bola sepak Chelsea dan England, John Terry berhubung dakwaan dia mengeluarkan kata-kata berbaur perkauman ke atas pemain pertahanan QPR, Anton Ferdinand.
Jurucakap polis Metropolitan mengesahkan pemain berusia 30 tahun itu, dinamakan sebagai Terry oleh sumber BBC dan Sky News disoal siasat Jumaat lalu.

“Polis dimaklumkan mengenai insiden yang berlaku pada Ahad, 23 Oktober lalu membabitkan dakwaan mengeluarkan kata-kata berbaur perkauman,” tambah jurucakap itu.
“Kes ini disiasat pegawai dari Hammersmith dan Fulham.” Terry menafikan sekeras-kerasnya dakwaan itu ketika pertembungan setempat barat London di Loftus Road, 23 Oktober lalu.

Dakwaan ke atas Terry itu dikemukakan selepas tayangan video tersebar luas di Internet menunjukkan bintang England itu mengeluarkan kata-kata berbaur perkauman.

Terry menafikan mencerca Ferdinand dan mendakwa video itu diambil ketika dia mengajukan soalan kepada Ferdinand yang tersilap menganggap dia mengeluarkan kata-kata berbaur perkauman terhadapnya.

“Saya fikir Ferdinand menuduh saya mengeluarkan kata-kata berbaur perkauman ke atasnya. Saya menafikan ada mengeluarkan kata-kata seperti itu,” kata Terry.

Terry juga menegaskan, dia menganggap isu itu berakhir selepas berbual dengan Ferdinand dalam bilik persalinan selepas perlawanan itu. - AFP

No comments:

Post a Comment