Monday 28 November 2011

Tengku Abdullah kecewa aksi hambar (29.11.2011)

PRESTASI hambar skuad hoki negara selepas mengharungi dua perlawanan Cabaran Juara-Juara 1 di Johannesburg, Afrika Selatan mengundang rasa kecewa Presiden Persekutuan Hoki Malaysia (PHM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.
Apa tidaknya, skuad negara yang diharap dapat memberi impak pada kejohanan yang dianggap penting oleh PHM sepanjang tahun ini, gagal mempamerkan aksi sebenar apabila tewas 1-3 kepada Kanada sebelum sekadar seri 2-2 bertemu Jepun, kelmarin.

Tengku Abdullah yang menyaksikan aksi anak buah Tai Beng Hai di Johannesburg mengaku persembahan skuad negara ketika ini adalah di bawah prestasi sebenar dan mereka sebenarnya mampu beraksi lebih baik.
“Sudah tentu saya tidak gembira dengan kekalahan kepada Kanada dan seri bertemu Jepun.” “Selepas menyaksikan dua perlawanan ini, saya dapati ada beberapa kelemahan dalam pasukan. Saya tidak mahu memperbesarkan isu ini tapi saya sudah bercakap dengan jurulatih dan dia akan menangani isu ini secepat mungkin,” katanya.

Mengenai kemungkinan skuad negara gagal mempamerkan aksi konsisten sepanjang dua perlawanan itu, Tengku Abdullah berkata: “Jurulatih akan melihat perkara ini dengan serius kerana pusingan kelayakan (Sukan Olimpik) akan berlangsung pada Mac depan dan kita juga akan menyertai Piala Sultan Azlan Shah pada Februari.

“Pihak pengurusan sedar masalah ini dan mereka mempunyai tempoh tiga bulan untuk memperbaikinya sebelum pusingan kelayakan.” Skuad negara yang akan turun pada perlawanan ketiga bertemu Argentina hari ini berharap dapat menamatkan saingan di kedudukan lima terbaik seperti yang disasarkan PHM.


No comments:

Post a Comment