Sunday 27 November 2011

Legenda FC gah (28.11.2011)

PERJALANAN jauh dari Pulau Pinang ternyata berbaloi buat pasukan Legenda FC apabila muncul juara Kejohanan Futsal Giant 2011 selepas menewaskan wakil dari Terengganu, Tokku RC menerusi sepakan penalti 2-0 selepas terikat tanpa jaringan pada masa sebenar di Sports Planet Kuala Terengganu, kelmarin.
Dengan kejayaan itu, Legenda FC membawa pulang wang tunai RM3,000 manakala Tokku RC menerima RM1,500 manakala tempat ketiga dikongsi bersama Aby Team dan Gelombang yang masing-masing menerima RM1,000.

Hadiah kepada pemenang disampaikan Pengurus Besar Giant Kuala Terengganu, Ahmad Tajuddin Zakaria.
Kapten Legenda FC, Kamaruzzaman Abdul Malik, 36, berkata dia bersama rakan sepasukan gembira kerana berjaya memenangi pertandingan itu biarpun terpaksa mengharungi perjalanan agak jauh sebelum tiba ke Kuala Terengganu.

“Sebelum ini kami pernah mencuba nasib dalam di Karnival Futsal Harian Metro tahun lalu di Zon Utara namun sekadar muncul naib juara.

“Pada perlawanan ini, saya dan rakan sepasukan puas kerana berjaya memenangi kejohanan,” katanya.
Sebanyak 34 pasukan terutama dari Terengganu menyertai kejohanan.

Sementara itu, Pengurus Komunikasi Korporat Giant Malaysia, Zamri Maulan berkata, kejohanan peringkat ketiga di Pantai Timur itu mendapat sambutan membanggakan daripada peminat di negeri ini walaupun keadaan cuaca di Terengganu tidak menentu sejak beberapa hari lalu.
“Walaupun kali pertama dipertandingkan, ia tetap mencapai matlamat iaitu menarik minat golongan muda selain masyarakat setempat dan dengan sambutan hangat yang diberikan, kejohanan ini bakal dijadikan acara tahunan,” katanya.

No comments:

Post a Comment