Tuesday 29 November 2011

Zico rancang cari pemain baru skuad Iraq (30.11.2011)

RIO DE JANEIRO: Selepas mengemudi kemaraan Iraq ke peringkat seterusnya pada kelayakan Piala Dunia Zon Asia, Zico merancang meluaskan pencarian pemain untuk pasukan itu beraksi buat kali pertama di pusingan akhir Piala Dunia Brazil 2014.
Zico, bekas pemain tengah Brazil berkata, sejak mengambil alih jawatan jurulatih Iraq Ogos lalu, beliau tergesa-gesa membentuk pasukan untuk pusingan kelayakan yang sudah hampir dan tidak dapat memilih pemain yang benar-benar dikehendakinya.

Beliau bersama barisan kejurulatihan tahu serba sedikit mengenai pemain Iraq ketika membentuk pasukan yang terdiri daripada 27 pemain termasuk 17 pemain dari liga semi-pro kebangsaan negara itu.
“Kami tewas perlawanan pertama dan menang baki empat perlawanan lalu untuk layak ke peringkat berikutnya,” kata bekas jurulatih Jepun, Zico selepas pasukannya mengiringi Jordan daripada Kumpulan A.

“Kini kami ada masa untuk memilih pemain, menonton kejohanan liga dan meluaskan skop pemilihan,” kata jurulatih berusia 58 tahun itu.

“Saya akan sentiasa memanggil pemain baru untuk mewakili pasukan kebangsaan. Saya akan memimpin pasukan bersaing dalam Liga Arab dan cuba membawa seramai mungkin pemain simpanan yang kebanyakannya layak beraksi di Olimpik.” Zico berkata, cabaran di Iraq sama seperti melatih kelab besar seperti beliau melatih Fenerbahce di Turki atau Olympiakos dari Greece.

Katanya Baghdad masih belum pulih daripada kemusnahan sepenuhnya akibat perang dan masih tidak dapat menganjurkan perlawanan antarabangsa. - Reuters

No comments:

Post a Comment