Sunday, 27 November 2011

‘Tak tau nak cakap apa’ (28.11.2011)

PENGENDALI skuad Olimpik negara, Ong Kim Swee jelas kecewa selepas menyaksikan anak-anak buahnya kecundang pada 10 minit terakhir Kelayakan Olimpik Zon Asia kepada Bahrain, semalam.
Tiga gol dilepaskan itu membolehkan pelawat yang beraksi dengan 10 pemain memenangi perlawanan dengan keputusan 3-2 walaupun mendahului dua jaringan pada awalnya.

“Saya tidak tahu bagaimana mahu cakap. Lima minit, semuanya berubah. Saya terpaksa menerima hakikat skuad ini tidak mempunyai ramai pemain tengah,” katanya.
Tambahnya, barisan pemain muda negara kehilangan kawalan selepas penjaring gol pertama, Mohamad Nazmi Faiz Mansor dan rakannya di jentera tengah, Mohd Affize Faisal Mamat dikeluarkan kerana kecederaan. “Lawan bergerak dengan selesa selepas ketiadaan mereka (bermula minit ke-60), kita hilang kawalan pada bahagian tengah. “Manakala Irfan Fazail terpaksa menamatkan perlawanan walaupun mengalami kecederaan (sudah melakukan tiga pertukaran),” katanya. Sementara itu pengendali Bahrain, Salman Shareeda berkata adalah sesuatu yang menakjubkan apabila bangkit mencatatkan kemenangan pertama selepas tewas pada dua perlawanan sebelum ini.

“Sebelum datang ke sini saya sudah menyatakan kepada pemain bahawa Malaysia adalah sebuah pasukan yang bagus dan perlu bersedia. Saya gembira kerana ini kemenangan pertama kami,” katanya.

Tambahnya walaupun kehilangan seorang pemain kerana mendapat kad merah, beliau melakukan pertukaran yang membuahkan hasil apabila mengeluarkan dua pemain tengah bertahan dan memasukkan dua pemain tengah menyerang.
“Nyata ia membuahkan hasil. Pada pandangan saya, kedua-dua pasukan menang hari ini kerana mempamerkan permainan yang bagus serta jarang satu perlawanan kita dapat saksikan lima jaringan dilakukan,” katanya.

No comments:

Post a Comment