Friday 25 November 2011

‘Tahniah Kim Swee’ (26.11.2011)

AKSI perlawanan menentang Syria kelmarin menghidangkan pengalaman yang terbaik buat pasukan juara Sukan Sea kita.
Perlawanan ini membuktikan jurang antara kita dan negara Asia Barat tidak lagi begitu besar.

Situasi dialami pasukan selepas memenangi pingat emas menunjukkan kita harus bergantung kepada diri kita dalam apa jua keadaan.
Tiada pemain boleh berpuas hati dengan kekalahan itu tapi harus bertekad memperbaiki dan meningkatkan lagi persembahan.

Tahniah kepada pasukan Sukan Sea kita selepas berjaya mempertahankan pingat emas dan kini Sukan Sea 2013 menjadi sasaran. Diharap program Sukan Sea 2013 sudah bermula supaya dapat melahirkan satu lagi generasi pemain untuk memberi tekanan kepada pemain sedia ada.

Selain pemain sedia ada dalam skuad kebangsaan, pasukan dikendalikan Ong Kim Swee menonjolkan beberapa pemain yang sudah membuktikan kebolehan mereka untuk beraksi di peringkat senior.
Selama hampir satu jam, Nazmi Faiz beraksi di posisi pemain tengah menyerang berbanding posisi biasa sebagai pemain tengah yang memegang bola. Jelas sekali, hampir sejam Nazmi kurang selesa di posisi itu dan hanya selepas K Gurusamy dikeluarkan, Nazmi kembali ke posisi asal dan baru kita mula mempunyai serangan yang tersusun.

Pemain muda ini sudah boleh digandingkan bersama Amar Rohidan di bahagian tengah pasukan senior dengan Safiq Rahim diberi tugas sebagai pemain tengah menyerang.
Pujian juga harus diberi kepada ‘back five’ (lima pertahanan) kita iaitu Khairul Fahmi Che Mat, Mahali Jasuli, Muslim Ahmad, Fadhli Shas serta Asraruddin Putra kerana begitu kental membentuk persefahaman jitu antara satu sama lain. Tidak keterlaluan jika dikatakan, kemenangan pingat emas di Indonesia itu dibina sekitar tonggak ‘back five’ ini.

Tahniah kepada Kim Swee sebagai jurulatih kerana berjaya menghadapi beberapa cabaran, terutamanya mempertahankan pingat emas Sukan Sea ini.

Berikutan kejayaan itu, Kim Swee secara tidak langsung meletakkan dirinya sebagai pencabar Datuk K Rajagobal untuk mengendali pasukan senior.

Di sini juga satu dilema bagi Persatuan Bola Sepak Malaysia kerana kedua-dua jurulatih ini sudah menunjukkan kebolehan mengendalikan pasukan remaja di kejohanan peringkat umur rantau ini. Adakah kita mempunyai jurulatih yang berkaliber bagi mengganti Rajagobal di peringkat Bawah 23 tahun? Jawapannya jelas dengan kemunculan Kim Swee, tetapi soalnya pula, adakah kita sudah mengenal pasti pengganti beliau pula? Dalam pembangunan bola sepak di negara kita, pembangunan jurulatih juga begitu penting.

Akhirnya, syabas kepada Zainal Abidin Rawop serta Razip Ismail kerana 100 peratus berat sebelah sewaktu mengulas perlawanan menentukan pingat emas Sukan Sea!

No comments:

Post a Comment