Monday 28 November 2011

Mata sokong taktik pengurus (29.11.2011)

LONDON: Juan Mata menegaskan pengurus, Andre Villas-Boas tetap menerima sokongan padu pemain skuad Chelsea.
Villas-Boas yang menggantikan Carlo Ancelotti musim panas lalu terpaksa menafikan laporan mendakwa beberapa pemain Chelsea tidak gembira dengan taktiknya.

Kekalahan kepada QPR, Liverpool, Arsenal dan Bayer Leverkusen baru-baru ini menyebabkan pengurus berusia 34 tahun itu tertekan namun bangkit dengan kemenangan selesa 3-0 ke atas Wolves di Stamford Bridge.
Mata membantu John Terry dan Daniel Sturridge meledakkan dua gol awal sebelum meletakkan nama sebagai penjaring pada hujung separuh masa pertama untuk membantu kemenangan Chelsea.

Pemain antarabangsa Sepanyol itu gembira melihat pasukannya kembali menang selepas menempuhi kesukaran dan dakwaan berlakunya perselisihan faham antara Villas-Boas dan pemain Chelsea. “Tidak mudah menerima keputusan yang tidak begitu bagus tapi kami mempunyai keyakinan penuh terhadap diri sendiri dan pasukan. Kami meletakkan kepercayaan penuh kepada jurulatih dan kualiti skuad ini,” kata Mata.

“Satu pertemuan diadakan minggu lalu semata-mata untuk mengatakan kami semua bersatu dan menuju matlamat yang sama dan kami membuktikannya ketika berdepan Wolves.

“Pasukan ini sentiasa bersatu dan yakin rahsia kejayaan di masa depan ialah dengan kekal kukuh dan bersatu.” - Agensi

No comments:

Post a Comment