Monday 28 November 2011

Pelumba Terengganu halangan impian Pahang (29.11.2011)

BEKAS jurulatih basikal kebangsaan, Aminuddin Sulaiman mengaku pasukan Terengganu menjadi halangan utama dalam memburu pingat emas temasya Sukan Malaysia (Sukma) XV Pahang 2012.
Menurut Aminuddin, kelebihan skuad basikal Terengganu diharap dapat disekat bagi memastikan sasaran meraih empat pingat emas menjadi kenyataan apabila beraksi di gelanggang sendiri.

“Terengganu adalah pencabar utama jika dibandingkan dengan pasukan lain seperti Kuala Lumpur, Selangor dan Melaka yang mempunyai peluang sama rata.
“Apapun, saya yakin kelebihan bertarung di gelanggang sendiri akan membantu kami mencapai sasaran empat emas atau lebih.

“Berbekal sokongan padu Persatuan Berbasikal Pahang (PBP) dan Majlis Sukan Pahang (MSP), pelumba Pahang akan mencipta kejayaan seperti yang diharapkan,” katanya semalam.

PBP menyandarkan harapan kepada 17 pelumba, 12 lelaki dan lima wanita dalam acara trek, lebuh raya, basikal bukit dan BMX.

Selaku ketua jurulatih Pahang, Aminuddin setakat ini puas hati dengan komitmen 20 pelumba yang menjalani latihan intensif.

Beliau bersama pembantunya, Abdul Aziz Aliasak melatih 10 pelumba di Temerloh manakala bakinya bersama skuad negara termasuk yang beraksi di Sukan Sea Indonesia.

“Semua pelumba mempamerkan prestasi terbaik terutama dari segi komitmen dan disiplin untuk memburu empat emas bagi memperbaiki pencapaian di Sukma Melaka tahun lalu. Di Melaka, kami meraih satu emas, empat perak dan tiga gangsa,” katanya.

Pada Sukma XV Pahang, 19 emas ditawarkan dengan Temerloh sebagai gelanggang utama.

No comments:

Post a Comment