Tuesday 29 November 2011

‘Perhalusi kegagalan’ (30.11.2011)

BERBICARA mengenai kegagalan skuad Olimpik negara dalam kempen kelayakan Sukan Olimpik London ibarat ‘nasi sudah menjadi bubur’. Namun bagi Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim yang turut dikenali sebagai pengkritik sukan tanah air mahu kegagalan itu diperhalusi supaya ia tidak terus berulang.
Kerana beliau berpendapat, skuad yang dibimbing jurulatih Ong Kim Swee itu seharusnya memberi lebih tumpuan kepada saingan berkelas lebih tinggi itu berbanding sibuk dengan misi mempertahankan gelaran raja Asia Tenggara di Sukan Sea Indonesia.

“Kita sudah memenangi pingat emas Sukan Sea di Laos dua tahun lalu jadi kenapa kita perlu memberi tumpuan kepada kejohanan itu, adalah lebih baik kelayakan Olimpik London menjadi keutamaan.
“Jika diambil kira, kelayakan Olimpik ini adalah peluang terbaik untuk kita mencapai taraf lebih tinggi dan bukannya hanya bermegah di peringkat Asia Tenggara. “Kita sudah mengambil bahagian di Sukan Olimpik sejak 1956 dan layak sebanyak dua kali di Sukan Olimpik Munich pada 1972 dan 1980 di Moscow. Jadi kenapa kita perlu terlalu bergembira dengan pencapaian di Sukan Sea kerana sepatutnya kita perlu berusaha untuk mencapai tahap lebih tinggi,” katanya.

Impian skuad bawah 22 tahun negara untuk mencari kedudukan sekurang-kurangnya di tangga kedua Kumpulan C bagi memburu tiket ke Olimpik London semakin sukar selepas menerima kekalahan ketiga di tangan Bahrain 3-2 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Ahad lalu.

Biarpun mendahului 2-0, skuad muda negara yang dihimpit kepenatan, kecederaan dan penggantungan pemain menyaksikan tidak berdaya untuk bertahan 10 minit terakhir apabila dibolosi tiga gol ketika Bahrain kehilangan seorang pemain.

Malah anak buah Kim Swee sebelum itu juga terpaksa mengerah keringat yang ada ketika tewas 2-0 kepada Syria biarpun hanya berehat selama sehari sebaik tiba dari Jakarta dengan membawa pulang pingat emas.

Malaysia satu-satunya wakil Asia Tenggara yang layak beraksi di peringkat kumpulan kelayakan Sukan Olimpik kini terperosok di tangga terakhir kumpulan yang diterajui Jepun dengan sembilan mata, Syria enam mata dan Bahrain tiga mata.

Biarpun berbaki tiga lagi perlawanan, kekalahan ketiga berturut-turut itu tampak menutup jalan Malaysia melakar sejarah layak ke Olimpik buat kali ketiga.

“Sikap orang Malaysia perlu berubah kalau kita mahu bersaing di peringkat antarabangsa. Jangan kita bergembira dengan kejayaan di peringkat bawah kerana kita tak boleh menang di peringkat lebih tinggi,” kata Kay Kim.

Penerjun perlu cari populariti (30.11.2011)

SELEPAS tiga penerjun negara melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2012, kini mereka perlu memburu populariti dalam siri Jelajah Eropah.
Penerjun berpengalaman negara, Yeoh Ken Nee berkata jelajah Eropah amat penting dalam usaha penerjun negara memburu pingat di London.

Pendedahan yang dimaksudkan bukan sekadar memberi pengalaman kepada penerjun negara menyertai kejohanan di pentas dunia, malah bertujuan mendedahkan atau memperkenalkan penerjun negara kepada juri di Eropah.
“Dalam sukan subjektif seperti terjun, soal ‘bias’ tidak dapat dielakkan jadi jurulatih Yang Zhuliang mahu kami memberi persepsi yang baik di kalangan pengadil di Eropah dengan membiasakan nama dan wajah agar dikenali mereka sebelum Sukan Olimpik,” kata Ken Nee.

Tiga penerjun negara yang sudah layak ke Olimpik adalah Bryan Nickson Lomas dalam acara 3m papan anjal dan 10m platform individu, Ken Nee 3m papan anjal individu serta Pandelela Rinong dalam acara 10m platform individu.

Kini penerjun negara menanti pelepasan daripada Majlis Sukan Negara (MSN) untuk kembali menjalani latihan di China sebelum semua penerjun elit bertanding di Piala Dunia Terjun Fina yang akan berlangsung di London Februari tahun depan, kejohanan terakhir yang menjadi tempat kelayakan ke Sukan Olimpik.

“Kita perlu memastikan sebanyak mungkin slot untuk penerjun negara beraksi di Olimpik kerana faktor jumlah penerjun negara di temasya itu juga akan mempengaruhi juri yang mungkin mewujudkan persepsi betapa Malaysia mempunyai ramai penerjun berkualiti,” katanya.

Selain memburu beberapa tempat lagi dalam acara individu, Piala Dunia di London itu juga bakal menjadi medan memburu slot acara terjun seirama.

Mengikut peraturan Olimpik, penerjun negara yang layak ke Sukan Olimpik tidak semestinya beraksi dalam acara ayng mereka layak secara merit tapi tempat itu boleh diberikan kepada penerjun lain dari negara yang sama.

Idea Zhuliang mempopularkan nama penerjun negara di pentas dunia cukup bijak kerana negara kuasa besar sukan itu seperti China juga melakukannya.

Selepas menyertai Piala Dunia, penerjun negara dijangka menyertai kejohanan bertaraf Grand Prix di Russia, Jerman, Kanada, Amerika Syarikat dan Sepanyol.

“Menjelang Sukan Olimpik, kami mahu dikenali di kalangan juri sebagai negara yang berpotensi besar dalam sukan ini, jadi mereka tidak akan teragak-agak memberi mata yang tinggi. “Apa yang berlaku di dunia ketika ini, penerjun yang mempunyai nama besar cukup mudah meraih mata yang tinggi dari juri jadi kita juga akan melakukannya,” kata Ken Nee yang akan bersara selepas Sukan Olimpik tahun depan.

Skuad hoki ulang penyakit lama (30.11.2011)

PENYAKIT lama berulang lagi. Itulah yang berlaku kepada skuad hoki negara yang turun pada perlawanan ketiga Cabaran Juara-Juara 1 bertemu Argentina semalam apabila tewas 2-5 meskipun mendahului lawan 1-0 selepas tamat babak pertama.
Apa yang dipamerkan itu samalah seperti yang berlaku pada perlawanan antarabangsa sebelum ini apabila mereka tidak beraksi konsisten dalam kedua-dua babak sekali gus mengundang padah mencatat kekalahan kedua dalam tiga perlawanan.

Namun kekalahan itu tidak menjejaskan peluang skuad negara yang tetap layak beraksi di suku akhir.
Azlan Misron memberi harapan awal kepada skuad negara apabila menyempurnakan pukulan sudut penalti dengan sempurna pada minit ke-20, namun selepas itu, corak serangan skuad negara mula longgar.

Memasuki babak kedua, Argentina terus melakukan tekanan dan hasilnya mereka berjaya menyamakan kedudukan hasil jaringan Pedro Ibarra menerusi jaringan padang.

Argentina kemudian terus berjaya menambah gol hasil jaringan Manuel Brunet, Rodrigo Vila dan Burnet sekali lagi untuk menjadikan kedudukan 4-1.

Ketika Argentina kerap melakukan asakan, skuad negara berjaya merapatkan jurang menerusi Muhammad Amin Rahim yang berjaya menyempurnakan pukulan sudut penalti untuk menjadikan kedudukan 4-2.

Namun impian skuad negara untuk sekurang-kurangnya memungut satu mata berkecai selepas Pedro menyumbang gol kelima Argentina ketika permainan hampir tamat.

Mantapkan mental Chong Wei: Tengku Kamil (30.11.2011)

KEKUATAN mental perlu diberi penekanan jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei jika mahu memenangi pingat emas Sukan Olimpik London tahun depan.
Timbalan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tengku Kamil Ismail Tengku Idris Shah, berkata berdasarkan prestasi semasa, Chong Wei dilihat tidak menghadapi masalah besar terutama dari segi kecergasan fizikal.

Namun, menurutnya, kekuatan mental dilihat menjadi halangan utamanya meraih kejayaan terutama membabitkan pertemuan dengan jaguh dunia, Lin Dan dari China.
“Pada pandangan peribadi saya, Chong Wei bukan saja perlu memberi tumpuan dari segi kecergasan fizikal tetapi mental harus diberi keutamaan jika mahu mencipta kejayaan besar terutama di pentas Sukan Olimpik.

“Jika dia (Chong Wei) dapat menanganinya, saya percaya pemain badminton seperti Lin Dan mampu ditewaskan,” katanya semalam.

Tengku Kamil Ismail berkata demikian ketika mengulas kegagalan Chong Wei menewaskan Lin Dan pada separuh akhir Terbuka China dan Terbuka Hong Kong baru-baru ini.

Kekalahan itu menyaksikan Chong Wei masih gagal menundukkan musuh ketatnya itu yang jelas sukar dijinakkan, sekaligus memberi petanda awal bahawa jaguh China itu bakal mempertahankan pingas emas seperti yang dilakukan pada Sukan Olimpik Beijing 2008.

Bagi memastikan prestasi Chong Wei berada pada tahap terbaik, menurut Tengku Kamil Ismail, dia diharap hanya memberi tumpuan pada kejohanan besar seperti Super Siri sahaja.

“Dengan memberi tumpuan pada kejohanan lebih berprestij, tempoh rehat Chong Wei lebih panjang berbanding jika dia menyertai semua kejohanan.

“Bagi saya, dia perlu memberi tumpuan pada kejohanan Super Siri. Saya harap kejohanan terdekat yang seharusnya menjadi tumpuan adalah Terbuka Korea dan Terbuka Malaysia Januari depan,” katanya.

Azraai buru 7 pemain baru musim depan (30.11.2011)

SELEPAS kehilangan lima pemain utama kerana berhijrah ke pasukan lain, Negeri Sembilan memerlukan sekurang-kurangnya tujuh pemain termasuk dua ‘awang import’ untuk persiapan menghadapi saingan Liga M musim depan yang dijadualkan bermula 7 Januari 2012.
Ketua jurulatih, Mohd Azraai Khor Abdullah, berkata pihaknya kehilangan ramai pemain utama musim 2011 yang memilih menyertai pasukan lain, namun yakin ia tidak menjejaskan persiapan membentuk skuad mantap musim depan.

Katanya, walaupun setakat ini ramai pemain sudah diuji termasuk 14 pemain import, keputusan muktamad belum dibuat, malah pemain import yang sudah diuji itu tidak menepati kriteria diinginkan kerana pasukan memerlukan pemain yang benar-benar berkualiti.
“Kita hanya akan mengambil pemain import dan tempatan yang berkualiti, walaupun kita sudah menguji seramai 14 pemain import antaranya dari Brazil dan Cameroon, namun semuanya tidak memenuhi kriteria malah jauh daripada kredibiliti yang kita tetapkan,” katanya.

Negeri Sembilan kehilangan pemain tonggak ketika menjulang Piala Malaysia Oktober lalu iaitu Hairuddin Omar, kembar Mohd Aidil Zafuan dan Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak, Irwan Fadly Idrus dan Mohd Farizal Harun yang semuanya menyertai Tentera.

Menurut pengendali berpengalaman itu yang mula mengambilalih tugas itu pada pertengahan musim berkata pihaknya tidak mahu terburu-buru memilih pemain terutama import kerana amat berpengalaman mengenai perkara itu.

“Kita tidak boleh membuat pilihan yang silap dalam memilih pemain import dan kalau boleh saya mahu pemain import seperti Marlon Alex James yang pernah beraksi bersama Kedah pada 2008,” katanya yang pernah membimbing skuad Hijau Kuning itu.

Hasrat James, Martin tidak kesampaian (30.11.2011)

IMPIAN peminat pasukan bola sepak Kedah untuk melihat kelibat dua pemain import yang pernah menyarung jersi hijau kuning, Marlon Alex James dan Nelson San Martin tidak kesampaian apabila mereka disahkan tidak akan menyertai pasukan itu tahun depan.
Jurulatih Kedah Wan Jamak Wan Hassan berkata kedua-duanya tidak dipilih oleh Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) disebabkan faktor umur dan kecederaan.

“Umur mereka dah lebih 30 tahun, dengan kecederaan dialami sehingga mengambil masa satu hingga dua bulan untuk pulih nyata merugikan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA),” katanya.
Beliau berkata jika pihak pengurusan mengambil dua pemain itu ia hanya akan membazirkan duit rakyat dan peminat kerana mungkin mereka tidak boleh beraksi dalam semua perlawanan musim depan.

“Saya harap peminat lupakan Marlon dan Nelson kerana saya mahu pemain import yang bermain untuk kesemua 56 perlawanan tahun depan melibatkan piala AFC, Piala FA, Liga Super dan Piala Malaysia,” katanya.

Marlon, 35, dan Nelson, 31 adalah bekas tonggak utama yang membantu Kedah muncul juara tiga piala - Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia dua musim berturut-turut pada 2007 dan 2008.

Wan Jamak turut mengakui lebih tertarik dengan tahap permainan yang ditunjukkan pemain tempatan berbanding import pada aksi persahabatan Kedah yang menewaaskan pilihan import 3-1, kelmarin.

Aksi samba Sabtu ini (30.11.2011)

PEMINAT bola sepak Malaysia berpeluang menyaksikan gaya permainan Samba apabila pasukan Liga Super Kuala Lumpur akan bertemu wakil Brazil, Joga Limpo, Sabtu ini di Stadium Bola Sepak KL Cheras.
Joga Limpo berada di negara ini sebagai salah satu usaha menerapkan corak permainan Samba dalam liga tempatan selepas FAM bersetuju dengan pengambilan pemain import musim depan.

Ketika beberapa pasukan sudah mengambil beberapa pemain import untuk memperkuatkan pasukan masing-masing musim depan, masih belum ada satu pun pemain dari Brazil yang berjaya memikat mana-mana pasukan tempatan.
Untuk itu, Pingat Gemilang Sdn Bhd mengambil inisiatif menjadi ejen kepada tujuh pemain Brazil yang berharap dapat beraksi di rantau ini.

Mencari peluang beraksi di Liga M, Liga Singapura, Liga Indonesia dan di beberapa negara rantau ini, Pingat Gemilang yakin langkah ini dapat meningkatkan tahap permainan bola sepak di Asia Tenggara.

“Brazil sering dikaitkan dengan corak permainan bola yang menarik dan menghasilkan banyak pemain berkelas dunia.

“Kami berharap dapat mencari bakat pemain Brazil yang menjadi bintang beraksi di Liga M,” kata Pengarah Pingat Gemilang, David Charles Leo.

‘Buru mata Olimpik’ (30.11.2011)

“SAYA harap Siri Piala Dunia Klasik yang kedua ini lebih baik daripada yang pertama,” kata pelumba harapan negara, Azizulhasni Awang menjelang saingan pembukaan siri kelayakan ke Olimpik Khamis ini.
Azizul buat kali kedua akan turun berentap dalam memburu mata kelayakan ke Olimpik pada saingan Siri Piala Dunia Klasik kedua di Cali, Colombia selepas gagal mengumpul sebarang mata pada aksi pertamanya dalam kejohanan kompetitif di Astana November lalu.

Bagaimanapun pelumba kelahiran Terengganu itu tetap optimis berhubung tahap keupayaannya untuk ke Olimpik terutama selepas berehat panjang kerana kecederaan yang dialami akibat tusukan kayu velodrom menembusi betis kakinya pada Februari lalu di Manchester.
“Saya akan mula menjalani latihan esok dan berharap Piala Dunia kedua ini lebih baik dari Astana. Mungkin terlalu awal untuk saya sasarkan kemenangan tapi jika dapat mara ke final dalam acara keirin itu sudah cukup bagi saya.

“Tapi dalam acara pecut saya harap dapat memperbaiki catatan masa. Di Astana saya lakukan 10.345s, mudah-mudahan dapat memperbaikinya di Cali. Saya harap semua rakyat Malaysia dapat mendoakan kejayaan saya,” kata Azizul yang juga pemenang rekod kebangsaan dalam acara pecut.

Carta kedudukan Piala Dunia acara keirin kini dikuasai pelumba Jerman, Christos Volikakis diikuti Chris Hoy serta Sergey Borisov manakala Josiah Ng menduduki tempat keempat selepas mengumpul tujuh mata.

Selain Azizul, penyertaan pelumba negara akan turut disertai oleh Josiah, Fatehah Mustapa yang menyumbang tiga emas di Sukan Sea Indonesia baru-baru.

Azizul dijangka akan kembali menguasai kancah perlumbaan antarabangsa di pada Siri Piala Dunia Klasik yang ketiga iaitu di Beijing, Januari ini.

Proton ungguli kategori 1.6 Siri Super Touring Car Malaysia (30.11.2011)

PROTON muncul juara kategori 1.6 Siri Super Touring Car Malaysia 2011 selepas dua pelumbanya menamatkan kedudukan 1-2 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).
Pelumbanya Faidzil Alang yang memandu Satria Neo muncul juara pusingan kelima dan terakhir untuk muncul juara keseluruhan.

Rakan sepasukan, Syafiq Ali yang memandu Proton Gen2 meneruskan penguasaan Proton apabila menamatkan perlumbaan di kedudukan kedua.
Syafiq memulakan perlumbaan di petak hadapan selepas mencatat kepantasan hanya 0.037s di depan Faidzil.

“Keputusan ini melengkapkan kejayaan Proton dalam dunia permotoran sepanjang tahun ini terutamanya buat Satria Neo yang cemerlang dalam kedua-dua perlumbaan litar dan rali antarabangsa,” kata Pengarah Pemasaran dan Jenama Kumpulan Proton, John Doody Chacko.

“Ia pencapaian luar biasa yang boleh menterjemahkan kecemerlangan Proton dan kejayaan ini memberi rangsangan besar dalam menyokong usaha kami untuk meningkatkan kesedaran jenama ini dan penerimaan orang ramai di peringkat domestik, serantau dan antarabangsa.” Katanya, apa yang dibuktikan oleh Satria Neo sepanjang tahun 2011 ini akan membantu mewujudkan satu asas kukuh bagi Proton dalam sukan permotoran antarabangsa.

Sementara itu, Ketua Pemotoran Proton, Datuk Abdul Razak Dawood berkata: “Kami berjaya melakukan tugas dengan baik pada peringkat Kejohanan Rali Asia Pacific apabila meraih lapan gelaran individu. “Kami kini fokus kepada pasukan pelumba R3 dan selepas melengkapkan semua lima pusingan MSS dan menamatkan perlumbaan di kedudukan 1-2, kami kini dalam fasa persediaan terakhir untuk menyertai saingan Sepang 1000km atau S1K minggu depan.”

MGF perlu namakan pengganti Wan Nin (30.11.2011)

PERSEKUTUAN Gimnastik Malaysia (MGF) perlu bersedia mencari pengganti bintang gimrama negara, Lee Wan Nin (gambar) secepat mungkin untuk berdepan saingan ujian kelayakan ke temasya Olimpik London 2012, Januari depan.
Presiden MGF, Profesor Datuk Zakaria Ahmad berkata, kecederaan Wan Nin begitu serius dan pihaknya akan mengadakan mesyuarat untuk memilih gimnas terbaik menggantikannya esok.

“Masa sudah suntuk, kami perlu bersedia secepat mungkin. Meskipun, peluang untuk Wan Nin masih samar-samar, berdasarkan pengalaman saya dia tidak sempat untuk cergas sepenuhnya menjelang saingan yang turut diadakan di London, Januari ini.
“Dalam masa sebulan saja lagi mustahil untuk Wan Nin pulih dan jika dia dibenarkan beraksi sekalipun pasti sukar buatnya melakukan yang terbaik. “Sebagai persediaan awal, kami sudah menyenaraikan sekurang-kurangnya tiga gimnas pilihan dan akan memilih yang terbaik pada mesyuarat itu nanti,” katanya.

Wan Nin, 16, yang menjadi prospek emas negara di Sukan Sea terpaksa melupakan impian beraksi di Indonesia selepas tempurung lututnya terkeluar ketika menjalani latihan di Majlis Sukan Negara (MSN), dua hari sebelum saingan.

Kini dia kemungkinan besar terpaksa melupakan saja saingan Olimpik 2012, walaupun Wan Nin dianggap sebagai gimnas terbaik negara selepas pengunduran mengejut Elaine Koon, awal tahun ini.


Fergie guna tenaga muda (30.11.2011)

MANCHESTER: Pengurus Manchester United, Alex Ferguson akan menggunakan perlawanan Piala Liga dengan Crystal Palace, awal pagi esok untuk mencipta kebangkitan selepas gagal mencatat kemenangan dalam dua perlawanan terakhir.
United masih perlu bekerja keras untuk melayakkan diri ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara serta hilang cengkaman dalam perebutan kejuaraan selepas gagal menewaskan Benfica dan Newcastle minggu lalu.

Namun Ferguson tetap mahu merehatkan beberapa pemain tonggak dan meletakkan kepercayaan kepada barisan pemain muda ketika pasukan juara empat kali itu memburu tempat ke separuh akhir Piala Liga.
Pemain seperti Wayne Rooney (gambar), Javier Hernandez dan Nani yang tampil ketika United seri 1-1 dengan Newcastle minggu lalu dijangka akan direhatkan sebelum berkunjung ke Aston Villa, Sabtu ini.

Antara yang bakal diturunkan pemain Perancis berusia 18 tahun, Paul Pogba yang akan membuat penampilan pertama bersama skuad senior bergandingan bersama seorang lagi pemain muda, Ravel Morrison di bahagian tengah.

Pemain pertahanan, Chris Smalling yang baru pulih daripada kecederaan retak tulang kaki antara beberapa pemain senior yang bakal beraksi manakala pemain simpanan seperti Mame Biram Diouf dan Federico Macheda juga bakal diturunkan.

“Saya akan melakukan perubahan,” kata Ferguson.

“Smalling kembali pulih dan saya mungkin akan menurunkannya. Dia masih muda dan saya akan menurunkan barisan pemain muda menentang Palace.

“Hanya bahagian tengah yang masih bermasalah. Mungkin saya akan menggunakan Pogba namun belum pasti. Saya memiliki ramai pemain, itu yang pasti.” Kali terakhir United menang Piala Liga pada 2010 selepas menewaskan Aston Villa di Wembley.

Ferguson secara terbuka menyatakan hasratnya untuk menjulang kembali trofi itu meskipun sasaran utama mereka adalah Liga Juara-Juara, Liga Perdana dan Piala FA.

“Saya fikir saingan Piala Liga semakin bagus,” tambahnya. “Kelab seperti United boleh menurunkan pemain muda dan jarang beraksi dalam skuad utama, ini memberi impak positif kepada kami.” - AFP

Polis soal Terry (30.11.2011)

LONDON: Polis Britain menyoal siasat kapten bola sepak Chelsea dan England, John Terry berhubung dakwaan dia mengeluarkan kata-kata berbaur perkauman ke atas pemain pertahanan QPR, Anton Ferdinand.
Jurucakap polis Metropolitan mengesahkan pemain berusia 30 tahun itu, dinamakan sebagai Terry oleh sumber BBC dan Sky News disoal siasat Jumaat lalu.

“Polis dimaklumkan mengenai insiden yang berlaku pada Ahad, 23 Oktober lalu membabitkan dakwaan mengeluarkan kata-kata berbaur perkauman,” tambah jurucakap itu.
“Kes ini disiasat pegawai dari Hammersmith dan Fulham.” Terry menafikan sekeras-kerasnya dakwaan itu ketika pertembungan setempat barat London di Loftus Road, 23 Oktober lalu.

Dakwaan ke atas Terry itu dikemukakan selepas tayangan video tersebar luas di Internet menunjukkan bintang England itu mengeluarkan kata-kata berbaur perkauman.

Terry menafikan mencerca Ferdinand dan mendakwa video itu diambil ketika dia mengajukan soalan kepada Ferdinand yang tersilap menganggap dia mengeluarkan kata-kata berbaur perkauman terhadapnya.

“Saya fikir Ferdinand menuduh saya mengeluarkan kata-kata berbaur perkauman ke atasnya. Saya menafikan ada mengeluarkan kata-kata seperti itu,” kata Terry.

Terry juga menegaskan, dia menganggap isu itu berakhir selepas berbual dengan Ferdinand dalam bilik persalinan selepas perlawanan itu. - AFP

Shearer sedih hilang sahabat (30.11.2011)

LONDON: Bekas kapten bola sepak England, Alan Shearer mengaku terkejut dengan berita kematian pengurus Wales, Gary Speed.
Shearer yang pernah beraksi bersama Speed di Newcastle United adalah teman rapat kepada bekas pemain tengah Wales itu yang ditemui mati tergantung dalam garaj kereta di rumahnya, Ahad lalu.

Shearer turut menceritakan dia dan Speed merancang untuk bercuti di Portugal tahun depan selepas muncul dalam rancangan “Football Focus” di stesen TV BBC.
“Saya bersamanya dan dia amat gembira dan berjenaka. Kami bergurau senda seperti biasa yang dilakukan setiap kali keluar bersama,” kata Shearer.

“Kami ketawa dan berjenaka mengenai rancangan bercuti bermain golf seperti yang kami lakukan bersama tahun lalu. Malah kami merancang untuk bercuti di Portugal musim panas akan datang bersama keluarga dan anak-anak.” Shearer berkata, mereka merancang untuk bertemu Jumaat ini.

“Kami merancang bertemu hujung minggu ini. Beliau akan ke sini bersama isteri dan tinggal di rumah saya malah kami akan menggunakan kesempatan itu untuk menghadiri majlis makan malam amal pada Jumaat dan Sabtu.

“Kami meninggalkan studio jam 2.30 petang dan terus ke Old Trafford untuk menyaksikan perlawanan Newcastle. Saya berjabat tangan dan saya katakan kita jumpa lagi hujung minggu depan, malangnya saya tidak dapat bertemunya lagi.

“Amat sukar. Saya masih kelu dan terkejut seperti orang lain. Anda mengetahuinya menerusi surat khabar dan ia tidak berlaku ke atas salah seorang rakan karib anda. Saya amat sedih dan kasihan kepada isteri, Louise serta dua anak lelaki dan ibu bapanya.” - AFP

Tolak tawaran Chelsea (30.11.2011)

LONDON: Selepas menolak tawaran dipinjamkan ke AC Milan, ejen Didier Drogba mendedahkan pemain itu turut mengetepikan tawaran melanjutkan kontrak setahun bersama Chelsea dengan memilih kelab yang mampu menawarkan bayaran lebih tinggi.
Penyerang berusia 33 tahun dari Ivory Coast itu dijangka meninggalkan Stamford Bridge secara percuma apabila kontraknya tamat musim panas tahun depan.

Ejennya, Thierno Seydi kini giat meninjau peluang lebih besar termasuk ke Amerika Syarikat (AS), Russia atau Asia.
“Didier menerima tawaran untuk melanjutkan kontraknya setahun lagi bersama Chelsea tapi ia tidak menepati kehendak kami. Kami mempunyai sasaran tersendiri dan hanya memilih tawaran hebat.

“AC Milan turut berminat mendapatkan Didier secara pinjaman dengan menyatakan hasrat untuk membelinya tapi saya lantas mengatakan tidak.

“Kami mungkin akan memilih AS, Russia, Qatar ataupun Asia kerana apabila sudah mencecah usia 30-an, anda perlu memilih kelab yang kukuh.

“Bagaimanapun, kami cenderung memilih LA Galaxy. Didier turut dikaitkan dengan Anzhi Makhachkala, Russia, kerana mereka menawarkan bayaran lumayan. Namun, kami masih belum menerima tawaran mereka,” katanya. - Agensi

Milan miliki sembilan hari (30.11.2011)

MILAN: Manchester City mempunyai sembilan hari untuk bersetuju dengan perjanjian pinjaman dengan AC Milan membabitkan penyerang bermasalah, Carlos Tevez.
Kelab gergasi Serie A itu mendahului saingan untuk mengikat Tevez selepas Juventus menafikan perpindahan buat pemain Argentina itu.

AC Milan bersetuju dengan Catania untuk meminjam Maxi Lopez namun perpindahan itu hanya akan berjaya sekiranya kelab San Siro itu gagal mendapatkan Tevez.
Tevez yang enggan memanaskan badan sebelum perlawanan Liga Juara-Juara City di Bayern Munich Oktober lalu dan kemudian gagal kembali ke kelab itu selepas pulang ke Argentina, muncul sebagai sasaran nombor satu Argentina apabila pasaran perpindahan dibuka semula Januari ini.

City bagaimanapun dikatakan hanya berminat menjual pemain berusia 27 tahun itu yang kali terakhir beraksi buat pasukan Roberto Mancini ketika menewaskan Birmingham City, 2-0 pada saingan Piala Liga 21 September lalu, namun harganya perlulah menepati penilaian mereka.

Bagaimanapun naib presiden AC Milan, Adriano Galliani membayangkan kelab gergasi Itali itu hanya bersedia untuk berbincang mengenai perjanjian pinjaman.

“Siapapun yang hadir di Milan Januari ini akan tampil secara pinjaman dan percuma, dengan pilihan untuk menjadikannya satu perjanjian tetap,” kata Galliani. “Tevez? Kami akan lihat, masih ada masa.” - Agensi

City tak mungkin juarai EPL musim ini: Beckham (30.11.2011)

JAKARTA: David Beckham yakin Manchester City tidak berpeluang bergelar juara Liga Perdana Inggeris musim ini.
Meskipun pasukan Roberto Mancini yang menampilkan barisan baru dan mahal itu berada di tangga teratas dengan kelebihan lima mata selepas 13 perlawanan, bekas bintang Manchester United itu menekankan pasukan yang pernah diwakilinya mampu menewaskan City.

“Saya rasa City tidak mempunyai peluang.
“Musim ini mereka mempunyai pasukan yang baik dengan pemain hebat tapi United lebih berpengalaman dan tahu cara untuk merebut kejuaraan,” kata bekas kapten England itu yang kini berada di Indonesia untuk Jelajah Asia bersama LA Galaxy.

Beckham yang dikaitkan dengan perpindahan ke Paris St Germain mengaku perlu mencapai keputusan penting namun enggan mendedahkan perancangannya. - Agensi

Barca perlu meningkat (30.11.2011)

MADRID: Juara liga Sepanyol, Barcelona sudah mempamerkan aksi terbaik, namun mereka perlu meningkat ke satu tahap lagi, kata jurulatihnya, Pep Guardiola.
Barcelona ketika ini mengejar seteru utama, Real Madrid yang selesa dengan kelebihan enam mata selepas anak buah Guardiola tewas mengejut 0-1 kepada Getafe, Sabtu lalu dan Guardiola meminta pemainnya mempamerkan aksi lebih baik apabila bertemu Rayo Vallecano, hari ini.

“Kami sudah beraksi baik pada musim ini,” kata pengendali berusia 40 tahun itu yang sudah membimbing kelab itu meraih tiga kejuaraan sepanjang tiga tahun kendaliannya.
“Tapi ia masih belum mencukupi. Oleh itu, kami perlu meningkatkan lagi aksi kami. Adakah ia cukup untuk menobatkan kami sebagai juara? Saya tidak mempunyai jawapan tepat.” Guardiola yang mengecapi kegemilangan sepanjang kariernya sebagai pemain Barcelona iaitu dengan memenangi enam kejuaraan liga serta Piala Eropah pada 1992, bagaimanapun tidak bersetuju dengan pendapat Real Madrid adalah pasukan terbaik setakat ini.

Beliau turut mengaku pasukannya memperoleh keputusan hambar di tempat lawan yang menyaksikan mereka hanya meraih sembilan daripada 18 mata maksimum.

“Aksi di tempat lawan menjejaskan kami. Tapi kami juga sebenarnya tidak mahu mencicirkan mata.


“Dalam setiap perlawanan di tempat lawan, kami mencipta banyak peluang berbanding lawan.

“Namun ia masih belum mencukupi. Kami perlu beraksi lebih baik lagi selepas ini.” - AFP

Malaga kekal rekod (30.11.2011)

MADRID: Malaga yang beraksi dengan 10 pemain mengekalkan rekod cemerlang di tempat sendiri selepas menewaskan Villarreal, 2-1 kelmarin sekali gus menyaksikan mereka berada pada landasan tepat untuk menempah tiket ke saingan Eropah.
Malaga yang kini berwajah baru, meletakkan sasaran menewaskan pasukan gergasi Liga Sepanyol selepas pelaburan besar oleh pemilik kelab dari Qatar, Sheikh Abdullah Al Thani dan ketika ini menduduki tempat kelima liga.

Malaga yang setakat ini sudah memenangi semua perlawanan di La Rosaleda kecuali tewas kepada Real Madrid, bermula baik apabila pemain tengah Perancis, Jeremy Toulalan (gambar) meledakkan gol selepas empat minit perlawanan.
Villarreal menyamakan kedudukan menerusi Marco Ruben selepas menerima hantaran cantik dari Borja Valero.

Pelawat meneruskan asakan tetapi lima minit sebelum tamat perlawanan Malaga menambah gol kedua menerusi Isco Alarcon, selepas cubaan Jose Rondon diselamatkan oleh penjaga gol Villarreal, Diego Lopez.

Villarreal yang tidak pernah menang di tempat lawan sejak menewaskan Athletic Bilbao lapan bulan lalu, terus melakukan asakan dengan tuan rumah terpaksa bermain 10 pemain apabila Toulalan dilayangkan kad kuning kedua.

Kemudian pada minit ke-76, cubaan Valero hanya melepasi palang gol. - AFP

Zico rancang cari pemain baru skuad Iraq (30.11.2011)

RIO DE JANEIRO: Selepas mengemudi kemaraan Iraq ke peringkat seterusnya pada kelayakan Piala Dunia Zon Asia, Zico merancang meluaskan pencarian pemain untuk pasukan itu beraksi buat kali pertama di pusingan akhir Piala Dunia Brazil 2014.
Zico, bekas pemain tengah Brazil berkata, sejak mengambil alih jawatan jurulatih Iraq Ogos lalu, beliau tergesa-gesa membentuk pasukan untuk pusingan kelayakan yang sudah hampir dan tidak dapat memilih pemain yang benar-benar dikehendakinya.

Beliau bersama barisan kejurulatihan tahu serba sedikit mengenai pemain Iraq ketika membentuk pasukan yang terdiri daripada 27 pemain termasuk 17 pemain dari liga semi-pro kebangsaan negara itu.
“Kami tewas perlawanan pertama dan menang baki empat perlawanan lalu untuk layak ke peringkat berikutnya,” kata bekas jurulatih Jepun, Zico selepas pasukannya mengiringi Jordan daripada Kumpulan A.

“Kini kami ada masa untuk memilih pemain, menonton kejohanan liga dan meluaskan skop pemilihan,” kata jurulatih berusia 58 tahun itu.

“Saya akan sentiasa memanggil pemain baru untuk mewakili pasukan kebangsaan. Saya akan memimpin pasukan bersaing dalam Liga Arab dan cuba membawa seramai mungkin pemain simpanan yang kebanyakannya layak beraksi di Olimpik.” Zico berkata, cabaran di Iraq sama seperti melatih kelab besar seperti beliau melatih Fenerbahce di Turki atau Olympiakos dari Greece.

Katanya Baghdad masih belum pulih daripada kemusnahan sepenuhnya akibat perang dan masih tidak dapat menganjurkan perlawanan antarabangsa. - Reuters

Raikkonen sah kembali (30.11.2011)

HELSINKI: Lotus Renault GP mengesahkan bekas juara dunia, Kimi Raikkonen akan kembali bersaing dalam Formula Satu (F1) musim depan selepas menandatangani kontrak dua tahun bersama pasukan itu.
Pelumba Finland yang meninggalkan F1 pada hujung 2009 kerana mahu beraksi pada Kejohanan Rali Dunia (WRC) selama dua tahun pernah menjulang gelaran juara F1 pada 2007 ketika bersama Ferrari.

Lotus Renault GP akan turut mengumumkan seorang lagi pelumba selepas Robert kubica mengesahkan tidak akan kembali untuk musim depan minggu lalu kerana masih dalam proses pemulihan berikutan kecederaan yang hampir meragut nyawanya Februari lalu.
Mengulas kemunculan semula dalam kancah F1, Raikkonen berkata: “Saya gembira dapat kembali beraksi dalam F1 selepas berehat selama dua tahun dan amat berterima kasih kepada Lotus Renault GP kerana menawarkan peluang ini.

“Sepanjang beraksi pada Kejohanan Rali Dunia, ia memberi satu pengalaman yang berguna dalam karier seorang pelumba namun saya tidak dapat menafikan keinginan saya untuk kembali beraksi dalam F1 begitu meluap-luap.

“Ia adalah satu pilihan yang mudah untuk kembali bersama Lotus Renault GP kerana saya begitu kagum dengan cita-cita pasukan ini. Kini saya perlu memandang ke depan dan memainkan peranan penting bagi memastikan pasukan ini sentiasa berada di petak utama.” Pemilik pasukan Gerard Lopez berkata: "Sepanjang tahun, kami sentiasa mengatakan pasukan kami akan menggunakan satu kitaran jenama baru. Mereka yang berada di belakang tabir sentiasa berusaha keras bagi membentuk satu struktur terbaik untuk memastikan kami mampu bersaing pada tahap tertinggi.

“Keputusan Raikkonen untuk kembali dalam F1 bersama kami adalah langkah awal daripada beberapa pengumuman yang akan menyaksikan kebangkitan kami sebagai pesaing utama pada masa depan. Sudah tentu kami teruja untuk bekerjasama dengan juara dunia.

“Bagi kakitangan kami, kami mengalu-alukan kedatangan Raikkonen ke Enstone yang sentiasa dikenali dengan pendekatan kemanusiaan dalam F1." Sebelum berehat selama dua tahun, Raikkonen meraih 18 kemenangan, 62 podium dan 16 petak utama. - Agensi

McIlroy buru trofi pertama Hong Kong (30.11.2011)

HONG KONG: Pemain nombor dua dunia, Rory McIlroy hadir di Hong Kong dengan keazaman tinggi untuk merangkul kejuaraan yang sudah lama menjadi idamannya sekali gus menamatkan 12 bulan yang gemilang.
“Hebat untuk menamatkan musim dengan kemenangan, ia satu kejohanan yang saya terlalu inginkan selama beberapa tahun,” kata pemain berusia 22 tahun itu.

“Hong Kong adalah satu kejohanan yang muncul pertama dalam jadual saya setiap tahun. Saya amat sukakan tempat itu dan jatuh cinta kali pertama tiba di sini pada 2005,” kata McIlroy.
Sejak kunjungan terakhirnya ke bandar selatan China itu pada 2010, McIlroy mengalami persembahan turun naik apabila gagal bertindak hebat pada pusingan akhir Masters AS pada April sebelum tampil dengan empat pusingan yang hampir sempurna pada Terbuka AS Jun lalu untuk menang dengan lapan pukulan.

“Ia tahun yang menarik buat saya,” kata bintang Ireland Utara itu. “Ada beberapa perubahan di lapangan golf dan di luar lapangan dan saya menikmati setiap saat.” Perpisahan dengan pengurus, Andrew Chandler dan percintaannya dengan pemain tenis nombor satu dunia, Caroline Wozniacki memastikan McIlroy tidak pernah lekang daripada tumpuan utama media.

“Daripada memiliki peluang besar pada permulaan tahun di Augusta (Masters AS) dan tidak berjaya di sana, saya belajar mengenai diri sendiri dan apa yang saya harus lakukan untuk muncul juara kejohanan utama dan saya fikir ia dilaksana pada Terbuka AS,” kata McIlroy.

“Semuanya sudah berlaku tapi saya tidak mungkin mahukan sebaliknya,” katanya.

Pemain Ireland Utara itu dua kali muncul naib juara pada Terbuka Hong Kong, pada 2008 dan 2009, manakala tahun lalu dia berpeluang untuk menang hingga pertengahan saingan pusingan akhir sebelum merudum menduduki tangga keenam, empat pukulan di belakang juara, Ian Poulter. - AFP

Hamilton yakin kekal di McLaren (30.11.2011)

SAO PAULO: Lewis Hamilton membayangkan akan terus bersama McLaren untuk tempoh yang panjang.
Kontrak juara Formula Satu (F1) 2008 dari Britain itu akan tamat pada hujung tahun depan namun dia memaklumkan kepada wartawan sudah mengadakan perbincangan berhubung penyambungan kontraknya selepas tamat saingan Grand Prix Brazil.

“(Bos) Martin (Whitmarsh) sudah berbincang dengan saya berhubung kontrak baru dan kami akan duduk berbincang lebih lanjut,” katanya.
Ditanya sama ada dia yakin akan terus kekal di situ, dia berkata: “Ya, sudah tentu saya mahu.” Rakan sepasukan Hamilton, Jenson Button yang juga juara dunia 2009 bersama Brawn GP, menandatangani kontrak lanjutan awal tahun ini dan berkata, perjanjian itu tidak mungkin yang terakhir.

Ketika Button menamatkan musim dengan baik apabila berada di tempat kedua keseluruhan, kedudukan Hamilton dalam senarai keseluruhan dipintas rakan sepasukannya buat pertama kali dalam karier permotorannya.

Tahun ini diwarnai dengan kemalangan, kontroversi dan masalah peribadi namun Hamilton yang menjuarai tiga perlumbaan termasuk di Abu Dhabi, menunjukkan tanda-tanda dia gembira dengan keputusan yang dilakar pada penghujung saingan.

“Yang penting bagi saya tahun depan adalah untuk kembali ke prestasi terbaik, kembali mencatat kemenangan dan kembali menikmati hidup,” kata pelumba berusia 26 tahun itu yang membuat penampilan pertama bersama McLaren pada 2007. - Reuters

Ilmu baru akhir musim (30.11.2011)

MOHD RAMDAN Mohd Rosli berharap pengalaman beraksi di luar negara dapat digunakan bagi membantunya mencatat keputusan terbaik pada pusingan penutup tirai Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas di Padang Kota Lama, Pulau Pinang hujung minggu ini.
Ketika kebanyakan pasukan menggunakan tempoh rehat dua minggu selepas pusingan kesembilan di Sepang untuk melakukan persediaan, pelumba muda CP130 itu terus menimba pengalaman berharga apabila terbang ke Indonesia bersama juara Wira 2011, Zulsyafiz Rosli (MOS Malaysia Racing) bagi menyertai pusingan terakhir siri Indoprix yang berlangsung pada 19 dan 20 November lepas.

Ini adalah aksi luar negara ketiga Ramdan musim ini selain bersaing dalam saingan Underbone 115cc Kejuaraan Motosikal Asia Petronas dan dua penyertaannya dalam Kejuaraan Motosikal Thailand FMSCT.
Berlangsung di Litar Balipat, Ramdan berjaya menamatkan perlumbaan kategori 125cc di tempat ke-13 daripada 42 pelumba.

Sentiasa dahagakan peningkatan dalam karier perlumbaannya, Ramdan menjelaskan pembabitan dalam Indoprix membantu dia lebih memahami bagaimana untuk bersaing dengan lebih baik dalam perlumbaan underbone.

“Dari segi jentera, kedua-dua perlumbaan Cub Prix dan Indo Prix menggunakan jentera Underbone namun persaingan di sana begitu sengit apabila 42 pelumba berada di petak mula.

“Ramai di antara mereka cukup berbakat. Di samping itu, jumlah pusingan perlumbaan perlu ditamatkan lebih jauh iaitu 20 pusingan.

“Bersaing dalam Kejuaraan Kebangsaan Indonesia ini memerlukan pelumba beraksi dengan agresif dan mempunyai tahap kecergasan tinggi.

“Tanpa kedua-dua aspek ini, amat sukar mencapai keputusan yang baik. Ia merupakan satu pendedahan yang baik dan saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pengurusan pasukan dan penaja, Petronas kerana memberi saya peluang beraksi di luar negara seperti ini,” kata pelumba Petronas Syntium Moto Yamaha AHM itu.

Pelumba kelahiran Klang itu berharap pada perlumbaan akhir di Padang Kota Lama mengulangi memori manis memenangi gelaran CP115 di situ musim lalu.

“Matlamat saya adalah untuk menaiki podium bagi menebus kegagalan di Sepang. Setakat ini saya 80 peratus yakin mampu melakukannya.

“Baki 20 peratus lagi bergantung kepada pelarasan enjin dan juga tunggangan saya nanti. Selain itu, saya turut akan mempraktikkan kemahiran baru yang saya pelajari di Indonesia pada perlumbaan minggu ini,” tambah pelumba berusia 15 tahun itu.

Selepas sembilan pusingan, Ramdan kini menghuni tangga kelapan senarai keseluruhan CP130 dengan 78 mata manakala pelumba Harian Metro TEQ SCK Honda Racing, Norizman Ismail mendahului dengan mengumpul 113 mata diikuti rakan sepasukannya, Mohd Affendi Rosli, 104 mata.

Abdul Muhaimin Roslan dari Yamaha Maju Motor Racing di tangga ketiga dengan 88 mata.

MSS disusun semula (30.11.2011)

KEJOHANAN sukan permotoran terulung negara, Malaysian Super Series (MSS) akan disusun semula selaras dengan pengenalan kategori baru Moto3 pada Kejohanan Grand Prix Motosikal Dunia (MotoGP) tahun depan.
Suruhanjaya Grand Prix Persekutuan Motosikal Antarabangsa (FIM) memperkenalkan kelas Moto3 bagi menggantikan kelas 125cc dengan menggunakan enjin empat lejang berkuasa 250cc.

Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Razlan Razali berkata, selaku penganjur siri MSS, pihaknya juga akan memperkenalkan acara 250cc untuk pelumba tempatan bagi memudahkan mereka menyertai saingan MotoGP Dunia.
“Mulai tahun depan, kelas 125cc akan diganti dengan kelas Moto3 dan tiket ‘wildcard’ dalam acara Moto3 disediakan.

“Oleh itu MSS adalah platform terbaik untuk pelumba tempatan memburu tempat ke MotoGP Dunia,” katanya.


Iktiraf kecemerlangan (30.11.2011)

JAGUH badminton, Datuk Lee Chong Wei dan ratu skuasy negara Datuk Nicol Ann David dinobat Olahragawan dan Olahragawati Pulau Pinang 2010 sekali gus mengulangi pencapaian cemerlang mereka selama tiga musim berturut-turut.
Kedua-dua atlet negara itu bagaimanapun tidak dapat hadir menerima anugerah itu daripada Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas pada Majlis Anugerah Sukan 2010 di Tanjung Bungah, semalam.

Chong Wei yang diwakili abangnya, Lee Chong Eng, 36, tidak dapat hadir kerana menyertai kejohanan terbuka Macau minggu ini.


Lebih manis apabila dia turut menggondol Anugerah Perdana TYT Negeri Pulau Pinang 2010.

Sementara itu, Nicol yang diwakili bapanya, Desmond David, 64 terikat dengan latihan di Amsterdam dan dijadual berlepas pulang ke tanah air minggu depan.


Chong Wei dan Nicol, masing-masing membawa pulang piala pusingan, piala iringan, sijil penghargaan dan wang tunai RM3,000.




Anugerah Olahragawan Harapan pula diraih atlet badminton, Nelson Heg Wei Keat, 18, yang muncul naib juara acara beregu lelaki Kejohanan Badminton Remaja Dunia tahun lalu.

Atlet karate, Sek Jia Wen, 16, dianugerah Olahragawati Harapan 2010 atas kejayaannya memenangi pingat perak acara individu Remaja Kebangsaan ke-20 dan pingat emas acara berpasukan.


Mereka berdua masing-masing membawa pulang piala pusingan, piala iringan, sijil penghargaan, dan wang tunai RM2,000.

Anugerah Pasukan terbaik 2010 pula dimenangi Pasukan Karate bagi kategori lelaki dan wanita berdasarkan pencapaian mereka yang membanggakan dalam Kejohanan Hong Kong ke-10 (emas) dan Kejohanan Koi Dunia Greece ke-19 (emas).





UiTM kuasai bowling IPT (30.11.2011)

UNIVERSITI Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam muncul juara keseluruhan Kejohanan Tenpin Bowling Terbuka Institusi Pengajian Tinggi (IPT) 2011 yang berlangsung di Pusat Bowling Antarabangsa Melaka (MIBC), baru-baru ini.
UiTM dinobat juara keseluruhan selepas mengungguli kategori perseorangan wanita, berpasukan wanita dan masters wanita untuk membawa pulang wang tunai RM2,000, piala pusingan dan iringan.

Naib juara, Segi University College (Segi) meraih RM1,000 dan piala iringan diikuti MMU Cyberjaya ketiga, RM500 dan piala iringan.
Bagi kategori berpasukan wanita, UiTM menundukkan Majlis Sukan Kolej Komuniti (Maskom) dengan catatan 5,299, Maskom 2,488 pin dan ketiga Segi 4,165 jatuhan pin.

Sementara bagi kategori berpasukan lelaki, MMU Cyberjaya muncul juara selepas melakukan 5,169 jatuhan pin mengalahkan Segi, 4,859 pin dan UiTM Melaka, 4,650 jatuhan pin.

Atlet UiTM Shah Alam, Nazrinnah Kamil yang melakukan 1,253 jatuhan pin dinobat juara perseorangan wanita untuk menyingkirkan rakan sepasukan, Dina Nurnadia Zainal Abidin, 1,248 pin dan ketiga Natasya Adam dari Universiti Tenaga Nasional (Uniten), 1,227 pin.

Juara perseorangan lelaki disandang atlet Politeknik Port Dickson, Ros Qusairy Ros Sahar, 1,475 pin, menewaskan Mohd Shafiq Hashim dari MMU Cyberjaya, 1,337 pin dan ketiga atlet UiTM Melaka, Mohd Azlan Norani 1,336 pin.

Bagi beregu wanita, Segi yang menjatuhkan 2,581 pin menundukkan UiTM Shah Alam, 2,344 jatuhan diikuti Maskom 2,295 pin.

Sukan pantai terbesar (30.11.2011)

MAJLIS Sukan Universiti Malaysia (Masum) dengan kerjasama Universiti Teknologi Mara (UiTM) akan mengadakan sukan pantai terbesar pernah diadakan di negara ini pada 2 hingga 4 Disember ini.
Kejohanan Sukan Pantai 2011 itu bakal berlangsung di Pantai Bagan Pinang, Port Dickson dengan penyertaan semua 20 Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) membabitkan seramai 850 atlet dan pegawai pasukan.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UiTM, Prof Datuk Dr Abdullah Mohamad Said berkata, objektif kejohanan itu adalah memperkenalkan acara sukan pantai kepada golongan mahasiswa.
“Kita juga mahu mengasah bakat dan mencari atlet berkebolehan kerana atlet yang hebat di gelanggang biasa belum tentu boleh beraksi dengan cemerlang di acara sukan pantai.

“Diharap Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dapat mempertimbangkan atlet kita menyertai Kejohanan Sukan Asia di China pada tahun hadapan,” katanya pada sidang akhbar penajaan Kejohanan Sukan Pantai 2011 itu semalam.

Pada majlis itu, Masum menerima beberapa tajaan daripada Nestle PowerBar dan Berjaya Corporation Berhad.

Mengenai Kejohanan Sukan Pantai 2011, Dr Abdullah berkata, sebanyak lima acara sukan dipertandingkan iaitu bola sepak pantai, bola tampar pantai, sepak takraw pantai, bola jaring pantai dan larian pantai.

Katanya, diharap sukan pantai itu mampu menyemarakkan budaya sukan terutamanya di IPTA dan meluaskan budaya sukan mahasiswa berbanding hanya terbabit di dalam permainan sukan gelanggang saja.

Dr Abdullah turut menyeru masyarakat sekitar Port Dickson datang beramai-ramai menyokong sukan pantai terbesar itu.

“Kita juga menjadikan kejohanan ini untuk mengasah bakat dan mencari atlet berkebolehan dalam sukan pantai kerana sebelum ini negara kita pernah menyertai Kejohanan Sukan Asia di Bali.

“Kami berpendapat mereka boleh mencungkil bakat atlet untuk menyertai kejohanan terdekat di China tahun depan,” katanya.

SMSKM pamer belang (30.11.2011)

SEKOLAH Menengah Seri Kota Melaka (SMSKM) meraih 10 emas, enam perak dan tujuh gangsa untuk muncul naib juara olahraga Karnival Sekolah Sukan Malaysia di Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.
Kejayaan itu amat manis buat pasukan terbabit selepas menduduki tangga keempat pada kejohanan sama tahun lalu di Kedah.

Mengungguli saingan adalah Sarawak dengan 13 emas, nyata diberi saingan getir atlet SMSKM walaupun akhirnya terpaksa akur di tangga kedua.
Penyelaras Sukan Jabatan Pelajaran Negeri Melaka, Kamarudin Othman gembira dengan prestasi ditunjukkan pasukan bimbingan Fuad Hassan itu sepanjang kejohanan berlangsung.

Menurutnya, kejayaan itu turut disumbang oleh kuartet 4X100 lelaki selain 400m lelaki serta lompat kijang dan lompat jauh lelaki yang meraih emas.

Katanya, walaupun atlet SMSKM mendapat tentangan getir daripada 14 pasukan lain, prestasi yang diterjemahkan mereka menghasilkan kejayaan membanggakan.

Sementara itu, dalam saingan bola sepak, skuad SMSKM tewas di suku akhir manakala pasukan bola jaring sekadar meraih tempat ketiga dan sepak takraw, keempat.

Minta izin KBS (30.11.2011)

PERSATUAN Sepak Takraw Malaysia (PSM) meminta kebenaran Kementerian Belia Dan Sukan (KBS) menjadikan Gelanggang Sukan Rakyat untuk tujuan latihan skuad negeri.
Presiden PSM, Datuk Ahmad Ismai berkata, skuad negeri dibelenggu masalah tempat latihan hingga terpaksa mengeluarkan perbelanjaan sendiri untuk menyewa dewan bagi mengadakan latihan.

“Saya meminta jasa baik KBS untuk memberi kebenaran kepada kami untuk menggunakan Gelanggang Sukan Rakyat sebagai tempat latihan kekal memandangkan sepak takraw adalah satu sukan tradisi,” katanya.

Monday 28 November 2011

‘Gilap pemain muda’ (29.11.2011)

SECARA realistik, skuad Olimpik negara sudah boleh mengucapkan selamat tinggal lebih awal kempen kelayakan Sukan Olimpik negara meskipun saingan peringkat Kumpulan C masih berbaki tiga perlawanan.
Tewas dalam tiga perlawanan termasuk dikejutkan dengan kebangkitan Bahrain 3-2 dalam aksi di Stadium Bukit Jalil, kelmarin meletakkan skuad negara terperosok di tangga terbawah kumpulan yang diterajui pasukan pilihan Jepun yang mengumpul sembilan mata, diikuti Syria enam mata di tangga kedua.

Aksi Malaysia selepas ini menentang Bahrain di Manama pada 5 Februari 2012, Jepun di Kuala Lumpur (22 Februari) dan Syria di gelanggang berkecuali (14 Mac) bolehlah dianggap sekadar pelengkap jadual. Hanya juara kumpulan layak secara automatik manakala pasukan di tangga kedua akan beraksi di play off untuk menempah tiket ke London.
Bagaimanapun, Kim Swee tetap serius menghadapi aksi pusingan kedua kumpulan itu yang disifatkan sebagai medan terbaik untuknya membuat persiapan bagi Sukan Sea 2013 di Myanmar dan Sukan Asia 2014 di Incheon, Korea Selatan.

“Secara realistik memang sukar untuk kita layak walaupun sebagai pasukan kedua terbaik kumpulan tapi baki tiga perlawanan lagi akan saya gunakan untuk pendedahan pemain muda yang bakal beraksi pada Sukan Sea 2013 dan Sukan Asia 2014.

“Pada perlawanan dengan Bahrain semalam (kelmarin) saya hanya menurunkan tiga pemain yang tidak boleh beraksi di Sukan Sea 2013 iaitu Mahali Jasuli, Khairul Fahmi Che Mat dan Affize Faisal Mamat kerana mereka akan berusia lebih 23 tahun.

“Pemain pertahanan Mohd Amer Saidin yang baru berusia 19 tahun beraksi dengan baik dalam perlawanan dengan Bahrain dan pemain muda seperti ini perlu diberikan lebih banyak peluang selepas ini,” katanya.

Malaysia yang layak ke Sukan Olimpik 1972 di Munich dan 1980 di Moscow tewas kepada Jepun 0-2 pada perlawanan pertama kemudian tewas dengan jumlah jaringan yang sama kepada Syria, dua hari selepas muncul juara Sukan Sea Indonesia.

Mengulas kekecewaan ditanggung anak buahnya apabila tewas pada perlawanan ‘hidup atau mati’ menentang Bahrain, Kim Swee menganggap ia sebagai pengajaran berguna untuk semua pemain.

“Menang atau kalah adat permainan tapi untuk tewas dalam tempoh 10 minit terakhir dengan pasukan yang beraksi dengan 10 pemain cukup pahit untuk ditelan. Sukar untuk dipercayai seminggu lalu kami adalah juara dan selepas enam hari kami dimalukan. Saya sedih kerana pemain tidak dapat meraikan nikmat sebagai juara dan memohon maaf kepada penyokong,” katanya.

Semua pemain diberikan cuti sebelum melaporkan diri semula pada 5 Disember depan dan akan berangkat ke Australia lima hari selepas itu bagi siri perlawanan persahabatan dengan tiga kelab Liga A.

‘Noraseela tak salah’ (29.11.2011)

JAGUH 400 meter lari berpagar negara, Noraseela Khalid mempunyai hak untuk menyuarakan rasa tidak puas hatinya terhadap pengurusan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) yang didakwa mengabaikan kebajikan atlet olahraga negara.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, selaku atlet senior dalam skuad kebangsaan, Noraseela mempunyai hak untuk menyuarakan pendapat bagi memastikan kebajikan atlet lain termasuklah atlet pelapis terjamin.

“Kita melihat Noraseela atlet senior yang banyak berjasa kepada sukan olahraga selain menjadi pembimbing kepada atlet lain termasuk atlet junior.
“Tidak salah sekiranya dia meluahkan apa yang terbuku di hati sebagai seorang atlet olahraga,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kritikan anggota majlis KOM, S Rajasegram terhadap Noraseela yang seolah-olah tidak tahu menghargai jasa dicurahkan badan induk itu kepada atlet itu selama ini.

Noraseela sebelum itu dilapor mengkritik pengurusan KOM yang dikatakan tidak menghargai jasa dan pengorbanan atlet olahraga selepas mempertahankan pingat emas 400 meter lari berpagar pada Sukan Sea Indonesia, baru-baru ini

Ahmad Shabery berkata, isu pertikaman lidah antara KOM dan atlet olahraga negara sebenarnya sudah terlalu lama timbul namun gagal diselesaikan mengikut saluran dan cara yang betul.

“Saya tidak akan campur tangan dalam isu ini kerana ia isu dalaman KOM dan mereka harus selesaikan masalah itu sendiri,” katanya sambil berharap agar Noraseela terus menyumbang bakti kepada sukan olahraga negara.

Tengku Abdullah kecewa aksi hambar (29.11.2011)

PRESTASI hambar skuad hoki negara selepas mengharungi dua perlawanan Cabaran Juara-Juara 1 di Johannesburg, Afrika Selatan mengundang rasa kecewa Presiden Persekutuan Hoki Malaysia (PHM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.
Apa tidaknya, skuad negara yang diharap dapat memberi impak pada kejohanan yang dianggap penting oleh PHM sepanjang tahun ini, gagal mempamerkan aksi sebenar apabila tewas 1-3 kepada Kanada sebelum sekadar seri 2-2 bertemu Jepun, kelmarin.

Tengku Abdullah yang menyaksikan aksi anak buah Tai Beng Hai di Johannesburg mengaku persembahan skuad negara ketika ini adalah di bawah prestasi sebenar dan mereka sebenarnya mampu beraksi lebih baik.
“Sudah tentu saya tidak gembira dengan kekalahan kepada Kanada dan seri bertemu Jepun.” “Selepas menyaksikan dua perlawanan ini, saya dapati ada beberapa kelemahan dalam pasukan. Saya tidak mahu memperbesarkan isu ini tapi saya sudah bercakap dengan jurulatih dan dia akan menangani isu ini secepat mungkin,” katanya.

Mengenai kemungkinan skuad negara gagal mempamerkan aksi konsisten sepanjang dua perlawanan itu, Tengku Abdullah berkata: “Jurulatih akan melihat perkara ini dengan serius kerana pusingan kelayakan (Sukan Olimpik) akan berlangsung pada Mac depan dan kita juga akan menyertai Piala Sultan Azlan Shah pada Februari.

“Pihak pengurusan sedar masalah ini dan mereka mempunyai tempoh tiga bulan untuk memperbaikinya sebelum pusingan kelayakan.” Skuad negara yang akan turun pada perlawanan ketiga bertemu Argentina hari ini berharap dapat menamatkan saingan di kedudukan lima terbaik seperti yang disasarkan PHM.


Wan Nin terpaksa lupakan saingan Olimpik 2012 (29.11.2011)

IBARAT sudah jatuh ditimpa tangga. Perumpamaan itu menghantui Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF) yang dihimpit isu kecederaan selepas seorang lagi gimnasnya, Lee Wan Nin mungkin gagal menyertai saingan ujian temasya Olimpik di London, Januari depan.
Dengan baki sebulan saja lagi, mustahil buat Wan Nin yang mengalami kecederaan serius dua hari sebelum temasya Sukan Sea Indonesia lalu akan pulih sekelip mata.

Wan Nin, 16, yang menjadi prospek emas negara terpaksa melupakan impian beraksi di Sukan Sea selepas tempurung lututnya terkeluar ketika menjalani latihan di Majlis Sukan Negara (MSN).
Kini dia kemungkinan besar terpaksa melupakan saja saingan Olimpik 2012.

“Saya tidak pasti tahap kecederaan ini, pastinya ia makin pulih tapi peluang menyertai saingan ujian ke Olimpik yang turut diadakan di London samar.

“Kecederaan ini serius dan kesakitan yang saya alami tidak mampu dibayangkan. Kini, saya direhatkan tapi tidak pasti berapa lama.

“Minggu depan saya akan menjalani pemeriksaan susulan, mungkin selepas itu saya akan diberi bayangan nasib sepanjang tahun depan,” katanya kesal.

Baning calon terbaru awang import Kijang (29.11.2011)

SELEPAS berjaya memburu tiga pemain import, Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) menguji seorang pemain import dari Cameroon bagi memperkuatkan pasukan dalam menghadapi beberapa pertandingan bola sepak musim depan, termasuk Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) yang disertai skuad ‘Kijang’ buat pertama kali.
Setakat ini, Kafa berjaya mengikat tiga pemain import iaitu penyerang Lubnan, Muhammed Ghaddar Mahmoud dan dua pemain Ghana, Emannuel Okine (tengah) serta Denny Antwi (penyerang untuk Piala AFC).

Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa berkata, Albert Baning yang juga bekas pemain skuad Olimpik 2008 Cameroon baru tiba di negara ini beberapa hari lalu dan akan menjalani ujian di bawah jurulatih Peter Butler.
“Sekiranya dia menepati kriteria, kita akan ikat kontrak pemain itu kerana AFC membenarkan empat pemain import. Kami akan pilih dua pemain import terbaik untuk bermain dalam Liga M,” katanya.

Mengulas persediaan skuad ‘The Red Warriors’ untuk saingan musim depan, Annuar yang juga Timbalan Presiden FAM berkata, pihaknya sudah mengatur beberapa perlawanan persahabatan tempatan dan juga antarabangsa.

Beliau berkata, antaranya dengan Negeri Sembilan esok dan Perak pada 1 Disember di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, 15 dan 16 Dis dan menentang kelab dari Qatar dan Syria serta pertemuan dengan Terengganu pada 31 Disember ini di Kota Bharu. “Semua perancangan kita untuk musim depan berjalan dengan baik dan pemain kini menjalani latihan di Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan ekoran hujan lebat yang melanda Kelantan,” katanya.

Ditanya sasaran untuk musim ini, Annuar berharap pemain dapat merangkul seberapa banyak piala yang boleh.

“Kami mensasarkan untuk mempertahankan Piala Liga Super yang dimenangi pada musim ini selain merangkul Piala Malaysia dan Piala FA.

“Berdasarkan persiapan rapi yang dijalankan, kami yakin mampu menang,” katanya sambil berkata semua pegawai dan pemain diberikan Petunjuk Prestasi Indeks (KPI) bagi memastikan prestasi mereka tidak merudum.

Fadzli setuju sertai T-Team (29.11.2011)

KELIBAT bekas penyerang Selangor, Mohd Fadzli Shaari bakal mewarnai skuad T-Team musim depan selepas pemain itu bersetuju menyarung jersi pasukan berstatus kelab itu bersama penjaga gol yang juga rakan sepasukannya dari Selangor, Mohd Iqbal Suhaimi.
Jurulatih T-Team, Yunus Alif berkata, selain dua bekas pemain Selangor itu, turut tersenarai dalam pasukan musim depan adalah tiga bekas pemain Perlis, Azmizi Azmi, Faiz Subri dan Wan Khairul Wan Kamaruddin.

Menurut Yunus, bagi memperkuatkan lagi cabaran musim depan, beliau menyenaraikan tiga bekas pemain Terengganu, Wan Mohd Alif Wan Jasmin, Hassan Basri dan Mohd Zharif Hasna.
“Semua lapan pemain baru itu termasuk Mohd Fadzli sudah bersetuju menyarung jersi T-Team musim depan dan kini rundingan di peringkat akhir untuk membincangkan kontrak.

“Dengan kehadiran mereka, saya percaya T-Team bakal menjadi antara pencabar utama Liga Super musim depan,” katanya.

Mengenai pemain import, Yunus berkata, setakat ini hanya seorang berjaya menambat hatinya iaitu penyerang dari Zambia, Zacharia Simokonda.


Jeremy gagal (29.11.2011)

MASIH di takuk laItulah pencapaian pelayar negara, Jeremy Koo di Piala Monsun selepas tirai penutup edisi ketujuh kejohanan itu dilabuhkan di Pulau Duyong, kelmarin.ma.
Tersenarai di kedudukan 161 pelumba terbaik dunia, jurumudi pasukan Abdullah Chan - Koo Racing Team itu belum mampu untuk bersaing dengan pemegang kad Siri Jelajah Perlumbaan Kapal Layar Dunia (WMRT) yang bertanding di sirkit terakhir untuk musim ini di perairan Pulau Duyong.

Pelayar berusia 30 tahun itu layak ke Piala Monsun selepas menang pertandingan kelayakan peringkat kebangsaan bulan lalu.
Namun hasrat Jeremy untuk menang satu perlumbaan di Piala Monsun sebagai hadiah awal perkahwinannya gagal dicapai selepas tewas semua 11 perlumbaan pusingan awal, sama seperti tahun lalu apabila bertanding buat kali pertama di Piala Monsun.

Menurutnya, prestasi pasukan dianggotai Sean Ong, Looi Sing Yew, Fariz Sawal and Fauzi Mustaffa lebih memberangsangkan jika dibanding persembahan mereka musim lalu.

“Kami masih berada di tangga tercorot namun kali ini kami hampir memenangi dua perlumbaan menentang pelumba New Zealand, William Tiller dan pelumba Denmark, Jesper Radich.

“Tetapi selepas mendahului hampir satu pusingan, mereka berjaya meninggalkan kami di belakang semula kerana mempunyai kelebihan apabila berlumba ketika angin bertiup kencang,” katanya.

Jeremy berkata, hampir semua pasukan yang mengambil bahagian di Piala Monsun mempunyai berat badan terkumpul mencapai 430kg, iaitu berat maksimum bagi setiap pasukan untuk dibenarkan bertanding.

“Pasukan kami pula mempunyai berat badan terkumpul kurang daripada 350kg kerana saya seorang saja yang mempunyai berat badan 72kg, itupun selepas meningkatkan berat badan sebanyak 2kg beberapa minggu sebelum pertandingan bermula.

“Kami sebenarnya mempunyai kelebihan jika berlumba tanpa angin bertiup laju tetapi pasukan yang berat memiliki kelebihan di Piala Monsun kerana angin sering bertiup melebihi 15 knot dan adakalanya mencapai hampir 40 knot,” katanya. Bagaimanapun, Jeremy tetap pulang dengan RM50,000 sebagai hadiah tempat terakhir dan dia berjanji kembali semula ke Pulau Duyong untuk mencari kemenangan pertama yang diimpikannya itu.

Azam untuk pulang ke Pulau Duyong turut disuarakan pelayar Great Britain yang juga pemenang berganda kejuaraan dunia dan Piala Monsun, Ian Williams, yang mengetuai pasukan GAC Pindar.

Pelayar berusia 34 tahun itu sudahpun menjadi juara dunia tiga kali dan juara Piala Monsun dua kali namun dia masih bertekad untuk datang semula ke Pulau Duyong untuk meraih kejuaraan dunia kali keempat dan menang Piala Monsun buat kali ketiga tahun depan.

“Kami tidak bernasib baik kerana gagal berlumba cemerlang sepanjang dua tahun lalu namun tidak pernah putus asa dan kali ini, kami berjaya mengulangi kecemerlangan dikecapi pada 2007 apabila muncul juara dunia dan menjadi johan Piala Monsun di sini,” katanya.

Sementara itu, Pengarah T-Best Events Sdn Bhd, Datuk Wan Hisham Wan Salleh berkata, sebagai penganjur, dia berasa Piala Monsun kali ini paling menarik.

Pencapaian Azizul tak membimbangkan (29.11.2011)

PENCAPAIAN pelumba negara Azizulhasni Awang (gambar) di Kejohanan Siri Klasik Piala Dunia pertama di Astana, Kazakhstan dari 4 hingga 6 November lalu sememangnya sudah diduga.
Biarpun gagal mencipta sebarang keputusan membanggakan dalam acara kegemarannya, keirin, Azizul dilihat sudah mampu menyesuaikan diri dengan keadaan velodrom apabila menamatkan cabaran di tempat kedua di belakang Sergey Borisov.

Ketua jurulatih, John Beasley, dia tidak meletakkan sebarang sasaran untuk Azizul melakar impak sebaliknya cukup sekadar jika Azizul mampu mempamerkan kayuhan mantap.
“Seperti yang saya katakan, saya tidak meletakkan sasaran kepada Azizul pada penampilan pertamanya di Astana. Masih terlalu awal buat Azizul melakarkan kemenangan selepas berehat panjang.

“Pada penampilan kedua di Siri Piala Dunia Klasik di Cali juga begitu. Tapi kali ini mungkin ada peningkatan dari segi kayuhannya. Saya mahu dia memberikan persembahan terbaik dalam acara keirin dan juga pecut,” katanya.

Azizul menamatkan saingan di tempat kedua pada pusingan kelayakan acara keirin dan menduduki tempat ketiga acara Repechage.

Dia seterusnya menyertai Siri Piala Dunia Klasik kedua di Cali, Khamis ini sebelum berkunjung ke Beijing untuk mempertahankan emas dimenangi dalam acara keirin pada 13 hingga 15 Januari ini.

Olahragawan negara itu terpaksa berehat panjang akibat kecederaan kaki kerana tusukan kayu velodrom menembusi betis kakinya pada Februari lalu di Manchester.

Carta kedudukan Piala Dunia kini dikuasai oleh pelumba Jerman, Christos Volikakis diikuti Chris Hoy serta Sergey Borisov manakala Josiah Ng menduduki tempat keempat selepas mengumpul tujuh mata.

Bukan salah Balotelli (29.11.2011)

LIVERPOOL: Pengurus, Roberto Mancini menuduh pemain Liverpool sengaja menyebabkan Mario Balotelli dibuang padang pada perlawanan yang menyaksikan pendahulu Liga Perdana Inggeris, Manchester City seri 1-1 di Anfield.
Balotelli yang masuk sebagai pemain gantian menerima kad kuning kedua pada minit ke-83 selepas menyiku pemain pertahanan antarabangsa Slovakia, Martin Skrtel dan diperintah keluar padang selepas beraksi selama 18 minit.

Begitupun Mancini setuju dengan keputusan pengadil, Martin Atkinson melayangkan kad kepada pemain berusia 21 tahun itu selepas menarik baju Glen Johnson tetapi beliau menuduh pemain Liverpool itu mendesak pengadil supaya menghadiahkan kad kuning kedua.
“Saya rasa dia puncanya,” jawab Mancini ketika ditanya sama ada Skrtel menjadi punca insiden itu.

“Saya nampak pengadil menghadiahkan sepakan percuma dan tidak berniat mahu melayangkan kad kuning tapi keadaan bertukar selepas semua pemain Liverpool mengerumuni pengadil.

“Saya kecewa apabila Balotelli mendapat kad kuning pertama tapi bukan kad kedua. Bagi saya kad kuning kedua itu bukan keputusan yang betul. Malah saya tidak fikir pengadil mahu melayangkan kad kuning.


“Sudah banyak kali saya katakan Mario boleh lakukan apa saja. Kami tidak mampu mengubahnya dalam tempoh sebulan dan hari ini dia memang layak menerima hukuman itu,” kata pengurus dari Itali itu.

“Tiga bulan lalu dia bermain dengan cemerlang dan menjaringkan gol. Dia pemain yang penting buat kami.” Pengurus Liverpool, Kenny Dalglish menegaskan Balotelli perlu menyalahkan dirinya sendiri selepas menerima kad merah ketiga sejak menyarung jersi City pada Ogos 2010.

“Balotelli menyebabkan dirinya dibuang padang,” kata legenda Liverpool itu.

“Kadang kala anda menjadi punca diri sendiri dibuang padang. Jika melihat ke cermin anda akan mendapat jawapannya. Kadang kala dia langsung tidak membantu dirinya apa lagi orang lain dan mungkin juga dia tidak mendapat pengajaran.” - AFP

Evra mahu United lupakan kekecewaan (29.11.2011)

MANCHESTER: Patrice Evra percaya Manchester United perlu memandang ke depan dan melupakan kekecewaan berhubung sepakan penalti yang tidak sepatutnya diberikan ketika beraksi di Old Trafford, Sabtu lalu.
Rio Ferdinand mengaku kecewa berhubung perkara itu dalam laman Twitter selepas seri 1-1 dengan Newcastle tapi tidak dapat meluahkan perasaan sebenarnya terhadap penjaga garisan, John Flynn kerana bimbang dikenakan hukuman berat.

Ferdinand sempat berjenaka sejurus selepas pengadil, Mike Jones enggan membatalkan keputusan dibuat penolongnya, sekalipun sebelum itu menganggap terjahan ke atas Hatem Ben Arfa hanya layak menerima sepakan sudut.
Sir Alex Ferguson kemudian mempersoal sama ada Flynn layak dipilih mengadili perlawanan Liga Perdana Inggeris berikutnya dan menimbulkan isu jurang antara pengadil sepenuh masa dan pengadil sambilan.

Beliau mungkin berdepan tindakan Persatuan Bola Sepak Inggeris terutama apabila stesen televisyen United MUTV memotong temubual Ferguson selepas perlawanan.

“Pengadil bertanggungjawab. Beliau bertemu dengan penjaga garisan. Beliau berkata, adakah anda pasti?,” kata Evra.

“Beliau berkata beliau pasti ia penalti dan pengadil percayakan penolongnya. Apa yang anda boleh katakan lagi mengenainya?” - Agensi

Mata sokong taktik pengurus (29.11.2011)

LONDON: Juan Mata menegaskan pengurus, Andre Villas-Boas tetap menerima sokongan padu pemain skuad Chelsea.
Villas-Boas yang menggantikan Carlo Ancelotti musim panas lalu terpaksa menafikan laporan mendakwa beberapa pemain Chelsea tidak gembira dengan taktiknya.

Kekalahan kepada QPR, Liverpool, Arsenal dan Bayer Leverkusen baru-baru ini menyebabkan pengurus berusia 34 tahun itu tertekan namun bangkit dengan kemenangan selesa 3-0 ke atas Wolves di Stamford Bridge.
Mata membantu John Terry dan Daniel Sturridge meledakkan dua gol awal sebelum meletakkan nama sebagai penjaring pada hujung separuh masa pertama untuk membantu kemenangan Chelsea.

Pemain antarabangsa Sepanyol itu gembira melihat pasukannya kembali menang selepas menempuhi kesukaran dan dakwaan berlakunya perselisihan faham antara Villas-Boas dan pemain Chelsea. “Tidak mudah menerima keputusan yang tidak begitu bagus tapi kami mempunyai keyakinan penuh terhadap diri sendiri dan pasukan. Kami meletakkan kepercayaan penuh kepada jurulatih dan kualiti skuad ini,” kata Mata.

“Satu pertemuan diadakan minggu lalu semata-mata untuk mengatakan kami semua bersatu dan menuju matlamat yang sama dan kami membuktikannya ketika berdepan Wolves.

“Pasukan ini sentiasa bersatu dan yakin rahsia kejayaan di masa depan ialah dengan kekal kukuh dan bersatu.” - Agensi

City miliki kelebihan (29.11.2011)

LONDON: Penyokong enam kelab Liga Perdana Inggeris yang masih bersaing dalam Piala Liga musim ini akan mengetahui sejauh mana kepentingan pertandingan itu buat pengurusan kelab masing-masing menjelang aksi suku akhir, minggu ini.
Sejak beberapa tahun lalu, saingan Piala Liga tidak menjadi sasaran kelab teratas liga yang lebih memberi tumpuan memenangi Liga Juara-Juara, Liga Perdana dan Piala FA.

Manchester City kini memiliki kelebihan lima mata di tangga teratas Liga Perdana dan memburu kejuaraan domestik pertama dalam tempoh lebih 40 tahun. Ia bakal mendorong pengurus Roberto Mancini untuk merehatkan pemain bintang mereka menentang Arsenal.
Secara tradisi, pengurus Gunners, Arsene Wenger turut melakukan perkara sama.

Namun pengendali dari Perancis itu yang menyaksikan anak buahnya tewas di tangan Birmingham pada final musim lalu tidak mampu terlepas kejuaraan lagi memandangkan Arsenal sudah tidak memenangi sebarang trofi utama selama enam tahun.

Bagaimanapun, dengan kedua-dua kelab masih berentap dalam Liga Juara-Juara, barisan pemain yang akan diturunkan di Stadium Emirates sukar diramal.

“Saya akan menukar pemain kerana beberapa pemain kurang cergas,” kata Wenger.

City dan Arsenal akan turun beraksi selepas masing-masing merekod keputusan seri 1-1 menentang Liverpool dan Fulham.

Sementara itu, dalam perlawanan yang membabitkan pasukan teratas menyaksikan Chelsea berdepan Liverpool di Stamford Bridge.

Rentetan kekalahan Chelsea berakhir dengan kemenangan 3-0 ke atas Wolves dan kejayaan menempah tempat ke final pertama musim ini akan meredakan tekanan terhadap pengurus Andre Villas-Boas.

Pengurus Liverpool, Kenny Dalglish menjuarai Piala Liga beberapa kali sebagai pemain ketika zaman kegemilangannya bersama kelab Anfield itu. - AFP