Sunday 27 November 2011

Ego Barca kena ragut (28.11.2011)

MADRID: Barcelona dikejutkan dengan kekalahan 0-1 kepada Getafe, kelmarin dan kini hanya ketinggalan enam mata di belakang Real Madrid yang bangkit selepas ketinggalan satu gol untuk menewaskan Atletico Madrid 4-1 yang beraksi dengan sembilan pemain.
Ia adalah kekalahan pertama yang dialami Barcelona musim ini dengan Getafe memperoleh gol tunggal sumbangan Juan Valera pada minit ke-20 yang menanduk masuk ke gawang lawan.

Pada perlawanan itu, pemain Getafe, Nikolas Miku melakukan cubaan tepat pada minit ke-20 sementara cubaan Alexis Sanchez dinafikan penjaga gawang Getafe, Miguel Moya sebelum berakhir babak pertama.
Barcelona meneruskan tekanan tapi Getafe akhirnya memperoleh gol selepas Valera yang tidak dikawal rapi, menanduk masuk boleh ke penjuru gawang Barcelona pada minit ke-67.

Ketika memasuki masa kecederaan, Lionel Messi berpeluang menyamakan kedudukan tapi rembatannya hanya melepasi gawang gol.

Kali terakhir Barcelona tewas adalah pada 30 April lalu iaitu di tangan Real Sociedad. Barcelona bakal bertemu Real pada 10 Disember ini.
“Ia bukanlah kekalahan yang teruk dan laluan kami masih panjang pada musim ini,” kata jurulatih Barcelona, Pep Guardiola.

“Kami perlu bangkit semula. Selepas ini kami bertemu Rayo, Levante dan Real Madrid.
“Kami bermain baik ketika menentang pasukan yang bagus. Mereka adalah pasukan yang mempunyai barisan kuat, jadi sudah pasti perlawanan ini agak sukar.

Real menewaskan Atletico 4-1, namun Atletico di depan terlebih dulu menerusi Adrian Lopez pada minit ke-14.

Kunci kebangkitan Real hadir pada pertengahan separuh masa pertama apabila Karim Benzema dijatuhkan penjaga gol Atletico yang terus dilayangkan kad merah dan Ronaldo menyempurnakan sepakan penalti itu dengan tenang.

Memasuki babak kedua, Angel Di Maria menjaringkan gol kedua sebelum pemain gantian, Gonzalo Higuain menyumbang gol ketiga pada minit ke-64.

Atletico terus ditimpa malang apabila Diego Godin dibuang padang kerana mengasari Higuain dan Ronaldo sekali lagi berjaya menyempurnakan tugas untuk gol keempat Real sembilan minit sebelum tamat perlawanan. - AFP

No comments:

Post a Comment