Friday 29 April 2011

TBSS mara (30/4/2011)

IKHWAN Ishak muncul wira Sekolah Menengah Tunku Besar (TBSS) apabila jaringan tunggalnya membolehkan skuad dari Tampin itu menjuarai Kumpulan B Divisyen Dua Liga Hoki Remaja Malaysia (MHJL) 2011, selepas menewaskan Perlis 1-0, semalam. 

Kemenangan itu bakal menemukan TBSS dengan Sekolah Tinggi Melaka (STM) atau MSSPP-USM dalam saingan separuh akhir timbal balik. MSSPP-USM dijadual menentang Politeknik PTK pada aksi terakhir liga hari ini dan andai menang, mereka akan menentang Johor pada saingan timbal balik.
Finalis Divisyen Dua akan menyertai enam pasukan Divisyen Satu di suku akhir bagi merebut gelaran keseluruhan.
Terdahulu, Ikhwan memberikan tiga mata penuh menerusi jaringan padang pada minit ke-26. 

Sementara itu, pada aksi Divisyen Satu, Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) menamatkan saingan liga di tangga ketiga dengan mengumpul 19 mata, selepas menewaskan Kelantan 2-1. 

Ia adalah keputusan luar jangkaan buat skuad juara berganda enam kali berturut-turut yang melakar gemilang pada 2003 hingga 2009. 

SSBJ bagaimanapun tetap menyertai lima pasukan lain ke suku akhir iaitu juara liga, UniKL, Sekolah Sukan Bandar Penawar (SSBP), SSBP Junior, SSBJ Junior dan Anderson. 

KEPUTUSAN 

Divisyen Satu 
MSSP-MPK 2 MBI Junior 1 
PHK/MSS Kelantan 1 SSBJ 2 
SSBJ Junior 2 MBPJ 1 

Divisyen Dua 
Kumpulan A 
BPSS-WHPC 1 Datuk Taha 3, 
STM 8 Sheikh Ahmad 0 

Kumpulan B 
Perlis 0 TBSS 1 

JADUAL HARI INI 

Divisyen Satu 
SSBJ Junior mln MBI Junior; 4.30ptg 
Kelantan mln Pahang; 4.30ptg 
Anderson mln SSBP Junior; 4.30ptg 

Divisyen Dua 
Kumpulan A 
Politeknik PTK mln MSSP-USM; 4.30ptg 

Kumpulan B 
MSSP Juniors mln MSSWP-KLHC; 4.30ptg 

Bakal dipasang di Malaysia (30/4/2011)

VARIASI model kereta sport Caterham, Caterham Seven yang mempunyai reputasi tinggi di kalangan peminat sukan permotoran, bakal dipasang di Malaysia. 

Peneraju Team Lotus Enterprise yang mengambil alih 100 peratus pegangan dalam syarikat Caterham Cars Limited, Datuk Kamarudin Meranun berkata, cadangan itu termasuk dalam pelan pengembangan syarikat itu yang mensasarkan Malaysia sebagai hab sukan permotoran dan pusat pengedaran jenama Caterham bagi rantau Asia.
“Kami menganggap pengambilalihan syarikat Caterham ini sebagai satu lagi platform untuk meneroka lebih jauh dalam sukan permotoran serta mengeluarkan kereta sport sendiri pada harga mampu dimiliki tanpa mengenepikan kualiti,” katanya selepas menghadiri majlis pengumuman rasmi Lotus Team Enterprise mengambil alih Caterham, pembuat kereta lumba pasang sendiri (kit) terkemuka dunia.
Jentera Caterham kini berlumba dalam 17 perlumbaan di seluruh dunia termasuk di Asia Barat, Amerika Syarikat, Jerman dan Perancis. Kemampuan Caterham Seven melakukan pecutan dari 0 hingga 100 kilometer sejam dalam masa kurang tiga saat, meletakkannya antara kereta terpantas dunia, setanding kemampuan Ferrari. 

Pengumuman itu dibuat bersama seorang lagi pemilik Lotus Team Enterprise, Datuk Seri Tony Fernandes yang bersama-sama Kamarudin dan Pengerusi Eksekutif Bersama Kumpulan Naza, SM Nasarudin SM Nasimudin, pemilik pasukan Formula Satu (F1), Team Lotus. 

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Caterham, Ansar Ali. 

Laung amaran awal (30/4/2011)

TAMPIL kali pertama bukan penghalang buat penunggang handalan Jepun, Katsuaki Fujiwara untuk mencatat masa terpantas pada sesi kelayakan pertama kategori SuperSports 600cc di pusingan pembukaan Kejuaraan Motosikal Asia PETRONAS (ARRC) di Litar Antarabangsa Sepang (Litar Utara), semalam.
Pelumba pasukan Manual-Tech Beet Kawasaki Racing itu muncul pelumba tunggal melakukan catatan di bawah 1:07 saat apabila merakam 1:06.811s manakala juara 2009, Chalermpol Polamai dari Yamaha Thailand Racing sekadar di tangga kedua (1:07.286s) diikuti pendatang baru 17 tahun, Michael Edward Jones (PETRONAS Syntium Moto Yamaha Raceline) yang mencatat 1:07.410s.
Walaupun muncul pelumba terpantas kategori SuperSports 600cc, Fujiwara enggan berpuas hati dengan catatan dilakukannya. 

“Saya gembira dapat mengukir nama di kedudukan teratas tetapi secara peribadi saya kurang puas hati dengan masa yang dilakukan. Saya gagal atasi 1:06.657s yang dilakukan Toshiyuki Hamaguchi pada 2008,” kata pelumba 36 tahun yang berpengalaman 13 tahun beraksi dalam Kejuaraan Superbike Dunia itu. 

Sementara itu, Zamri Baba dari PETRONAS Yamaha Malaysia sekadar mencatat 1:07.662s untuk berada di tangga ketujuh selepas terjatuh pada sesi latihan di sebelah pagi. 

“Selepas terjatuh, tahap keyakinan saya juga menurun dan tidak dapat memberi sepenuh perhatian pada sesi kelayakan tetapi saya mahu memperbaiki prestasi pada sesi latihan masa dan ujian masa kedua esok,” katanya. 
Dalam kategori Underbone 115cc, Rapid Topan Sucipto dari Indonesia melaung amaran awal untuk merebut gelaran tahun ini dengan catatan terpantas 1:24.408s, sekali gus memadamkan rekod dicatat Hadi Wijaya (1:24.456s) pada 2010. 

Hadi Wijaya dari Kawasaki NHK Rextor Manual Tech di tangga kedua manakala wakil negara, Zulsyafiz Rosli dari MOS Malaysia Racing di tangga ketiga dengan masa 1:25.494s. 

Bertekad tebus kekalahan (30/4/2011)

NEGERI Sembilan yang kembali mendapat keyakinan baru selepas mengutip satu mata dengan Harimau Muda A Selasa lalu, bertekad menebus kekalahan yang dialami apabila berdepan FELDA United, di Stadium KLFA Cheras, malam ini. 

Ketua jurulatihnya, Mohd Azraai Abdullah sudah merangka strategi mantap termasuk menyenaraikan barisan pemain terbaik untuk berdepan pasukan kelab itu dalam memastikan kemenangan sekalipun mengakui bakal berdepan tugas mencabar di gelanggang lawan.
Menurutnya, kehadiran semula penyerang harapan, Hairuddin Omar, dalam pasukan selepas tidak beraksi pada dua perlawanan akibat penggantungan, diyakini memantapkan lagi kekuatan barisan depan yang sebelum ini terpaksa bergantung kepada dua penyerang muda skuad Piala Presiden, Mohd Fiqri Adwan dan Mohd Khairul Ridzuan.
“Kita akan turun di Cheras esok (malam ini) dengan matlamat menebus kehampaan tewas di halaman sendiri 0-1 kepada lawan pada pusingan pertama lalu,” katanya, semalam. 

Tagih kerjasama pemain (30/4/2011)

BIARPUN skuad kendaliannya belum berada pada prestasi sebenar seperti awal musim Liga Super, Dollah Salleh tetap mengharapkan kemenangan apabila bertemu T-Team di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam ini. 

Dollah berkata, komitmen tinggi pemain ditagih kerana kerjasama berpasukan akan membuahkan hasil terutama jentera serangan selepas Mohd Faizol Hussain menemui semula sentuhan jaringan.
“Apa yang pasti, keinginan menebal pemain untuk menang seperti ketika menewaskan Perlis 2-1 Selasa lalu, boleh menjadi inspirasi terbaik untuk mempamerkan kebangkitan,” katanya semalam.

Ujian pertama (30/4/2011)

WARGA Hungary, Janos Krecska secara rasmi dilantik sebagai Ketua Jurulatih Perlis yang baru selepas mengikat kontrak dengan Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) di Kangar, semalam. 

Majlis bersejarah membabitkan pengendali 46 tahun itu berlangsung di pejabat Yayasan Pok dan Kassim (YPK) di Pengkalan Assam, dekat Kangar sambil disaksikan Presiden PFA, Datuk Seri Shahidan Kassim.
Turut hadir ialah Timbalan Presiden PFA, Azhar Ahmad yang juga Pengurus Perlis dan Setiausaha Eksekutif PFA, Ku Besry Ku Aziz serta beberapa pegawai pengurusan pasukan.
Berikutan itu, Janos mengambil alih tugas daripada pengendali sementara, Salim Tofel Mohamad yang dilantik mengisi kekosongan ditinggalkan, Mosthakeen Omar, 1 Mac lalu. 

Tugas pertama pengendali dari Hungary itu ialah apabila Perlis melayan kunjungan Harimau Muda A pada perlawanan ketiga pusingan kedua Liga Super, malam ini. 

Sementara itu, Shahidan berkata, pemilihan Krecska dibuat berdasarkan beberapa faktor termasuk pengalaman selaku bekas pemain dan jurulatih KL Plus pada kempen Liga Perdana musim lalu. 

“Kita yakin dengan pengalaman dan keupayaan Janos, Perlis pasti bangkit pada baki saingan selepas ini, malah tidak mustahil menang sekurang-kurangnya lapan daripada 11 baki perlawanan termasuk menentang Harimau Muda A, malam esok (ini),” kata Shahidan. 

Dahaga jaringan (30/4/2011)

PENYERANG berbisa Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha, mengakui dia memikul tanggungjawab besar untuk merobek gawang Kuala Lumpur ketika melayan pelawat Lembah Klang itu di Stadium Sultan Muhammad IV, malam ini. 

Namun penyerang kebangsaan yang meledak 11 gol untuk Kelantan itu mengharapkan kerjasama rakan sepasukan terutama kapten Mohd Badri Radzi, untuk membuat lorongan tepat bagi memudahkan tugasnya.
“Fokus utama malam esok (ini) ialah memastikan Kelantan menjaringkan gol awal yang sekali gus akan menyuntik semangat pemain untuk terus mengekalkan corak menyerang.
“Keyakinan saya semakin memuncak, lebih-lebih lagi selepas menjaringkan gol setiap kali turun beraksi dan ini memberi keyakinan kepada saya untuk kekal sebagai penjaring terbanyak liga,” katanya selepas sesi latihan di Kota Bharu, semalam. 

Norshahrul mengakui setiap kali turun beraksi, dia tetap berasa tertekan terutama untuk memenuhi jangkaan tinggi peminat The Red Warriors namun berharap peminat sedar bahawa rakan sepasukan lain seperti Mohd Nizab Ayub, Nurul Azwan Roya dan Mohd Badri juga berupaya meledak jaringan. 

Sementara itu, Ketua Jurulatih Datuk M Karathu tidak mahu anak buahnya leka apabila melayan Kuala Lumpur supaya tidak tercicir di laman sendiri. 

Kejayaan menewaskan Kuala Lumpur pada pusingan pertama lalu juga tidak seharusnya meletakkan pemain terlalu yakin, sebaliknya mereka perlu memberi tumpuan penuh bagi memastikan kemenangan. 
“Kelantan perlu menang setiap perlawanan termasuk dengan Kuala Lumpur malam esok (ini) sekiranya mahu terus menekan dua pasukan teratas, Selangor dan Terengganu,” katanya. 

Gagal pintas (30/04/2011)

PERTEMBUNGAN dua pasukan teratas Liga Super - pendahulu Selangor dan Terengganu yang hanya dibezakan satu mata - berakhir seri 1-1 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, untuk membolehkan Merah Kuning kekal di tangga teratas, malam tadi.
Pada babak pertama, pelawat yang cuba bangkit daripada kekalahan 1-0 di tangan Kelantan Selasa lalu, mengawal permainan sebaik bermula tetapi hanya menembusi gawang tuan rumah selepas minit ke-42.
Safiq Rahim yang bekerja keras memastikan Selangor tidak pulang dengan tangan kosong daripada dua kunjungan ke Pantai Timur, bijak melepasi perangkap ofsaid untuk menyempurnakan hantaran Amri Yahyah tiga minit sebelum rehat. 

Namun pada babak kedua, anak buah Irfan Bakti Abu Salim kembali mempamerkan rentak sebenar untuk mencari gol penyamaan dan Ismail Faruqi tidak mensia-siakan peluang di depan gawang Selangor ketika menyudahkan hantaran lintang Joseph Kalang Tie pada minit ke-62. 

Terengganu kembali mengawal permainan dan hampir menggandakan jaringan menerusi Ismail, tetapi tandukannya ditampan penjaga gol Selangor, Saiful Amar Sudar. 

Selangor kekal di tangga teratas dengan 33 mata, dengan Kelantan berpeluang memintas sekiranya merakam kemenangan ke atas Kuala Lumpur, di Kota Bharu malam ini. 
Di Stadium Perak, Ipoh, rekod tanpa kekalahan gelanggang sendiri tuan rumah akhirnya dicemari dengan kekalahan 3-1 kepada Kedah yang kini memintas lawan itu untuk menduduki tangga keempat dengan 27 mata. 

Gol Kedah dijaringkan Khyril Muhymeen Zambri (m-30), Mohd Firdaus Fauzi (m-75) dan gol sendiri pertahanannya, Mohd Syazwan Roslan (m-83) manakala sol sagu hati tuan rumah menerusi Mohd Noor Hazrul Mustafa pada masa kecederaan. 

Thursday 28 April 2011

United buru final (2011/04/28)

GELSENKIRCHEN: Pengurus Manchester United, Sir Alex Ferguson gembira dengan kemenangan 2-0 skuadnya dalam saingan separuh akhir pertama Liga Juara-Juara menentang Schalke 04 awal pagi semalam dan mengakui skuadnya kini berdepan tempoh tujuh hari yang penting. 

United akan berdepan Arsenal Ahad ini dan satu lagi pencabar kejuaraan Liga Perdana Inggeris, Chelsea pada hujung minggu depan selepas mereka mengharungi separuh akhir kedua Liga Juara-Juara menentang Schalke di pertengahan minggu.


“Saya harap kami memperoleh satu keputusan positif dalam perlawanan menentang Arsenal Ahad ini dan dari situ, bergantung kepada keputusan perlawanan, saya mungkin akan melakukan tiga perubahan terhadap perlawanan separuh akhir kedua minggu depan kerana kami akan menentang Chelsea pula pada hujung minggu,” kata Ferguson.
“Ia adalah tempoh tujuh hari yang penting bagi kelab. Saya rasa kami sudah sampai ke kemuncak prestasi kami.” 

United di ambang mencatat rekod kejuaraan Liga Inggeris ke-19, kini mendahului enam mata di depan Chelsea dan sembilan mata mengatasi Arsenal dengan berbaki empat perlawanan. 

Selepas kemenangan menarik awal pagi semalam, mereka tampak seperti hampir pasti menempah tempat ke final Liga Juara-Juara, 28 Mei ini untuk menentang sama ada Barcelona atau Real Madrid. 

Penjaga gol Schalke, Manuel Neuer, yang dilaporkan menjadi sasaran United, banyak menyelamatkan cubaan juara tiga kali itu sebelum gol menerusi gerakan pantas Ryan Giggs dan Wayne Rooney membolehkan United mencatat kemenangan. 
Keputusan itu meletakkan skuad Ferguson dalam kedudukan kukuh untuk mara ke final menjelang saingan separuh akhir kedua di Old Trafford, apabila mereka memburu kemaraan ke final Liga Juara-Juara buat kali ketiga dalam tempoh empat tahun. 

“Ia adalah persembahan yang sangat profesional malam ini,” kata Ferguson. 

“Tumpuan terhadap permainan, keupayaan serta hantaran bola semuanya bertaraf dunia. Mereka melakukan kesemuanya dengan begitu baik.” – AFP

Bakal beraksi Trofi Antarabangsa (2011/04/28)

PEMANDU F3 Malaysia, Jazeman Firhan Jaafar buat julung kali akan beraksi dalam Trofi Antarabangsa FIA l Formula 3 2011, pusingan pertama Siri Euro F3 di Litar Hockenheim di Jerman, hujung minggu ini. 

Perlumbaan itu, antara enam perlumbaan paling berprestij dalam kalendar perlumbaan antarabangsa F3, adalah kejohanan baru diperkenalkan khusus meningkatkan profil F3 dan membangunkan kerjaya pelumba muda.


“Trofi Antarabangsa memberi peluang kepada saya untuk berlumba di beberapa litar yang belum pernah saya beraksi, bertanding dengan pemandu terbaik F3 dan mendapatkan lebih banyak pengalaman di peringkat F3, serta memberi saya peluang meningkatkan kemahiran pemanduan saya,” kata Jazeman dalam satu kenyataan, semalam.
Jazeman akan memandu kereta F3 Carlin British yang dibina khusus untuk memenuhi peraturan Siri Euro F3 termasuk menggunakan tayar Kumho pada perlumbaan di Hockenheim. 

Perlumbaan Siri Euro F3 Hockenheim akan disusuli dengan Grand Prix Pau F3 (litar jalan raya) di Perancis, Siri F3 British di Spa di Belgium, Zandvoort Masters di Litar Park Zandvoort di Belanda, Grand Prix Macau di Litar Guia, Macau dan Grand Prix F1 Korea di Litar Antarabangsa Korea di Yeongam.

RM565,000 setahun (2011/04/28)

SEJUMLAH RM565,000 setahun akan disediakan oleh Kerajaan Negeri Terengganu sebagai pemberian biasiswa khas kepada setiap pelajar sekolah sukan dan atlit SUKMA di semua sekolah di negeri berkenaan. 

Ia diumumkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said untuk menunjukkan komitmen kerajaan negeri selepas kontinjen dari Pantai Timur itu menjuarai Sukan Malaysia (SUKMA) dua kali berturut-turut sejak 2008.


“Pemberian biasiswa ini adalah tanda pengiktirafan kerajaan negeri terhadap kecemerlangan atlit negeri dalam bidang sukan dan kita harap dengan ini kita akan terus mengekalkan dominasi dalam pelbagai bidang sukan terutama dalam SUKMA,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat EXCO di Wisma Darul Iman, di Kuala Terengganu, semalam.
Pemberian biasiswa berjumlah RM60 setiap bulan kepada 690 pelajar yang sebahagian besarnya belajar di Sekolah Sukan Bukit Nenas, Setiu dan atlit SUKMA di pelbagai sekolah di seluruh negeri akan mula disalurkan mulai Jun ini. 

Ahmad Said menjelaskan peruntukan RM565,000 setahun itu akan dimasukkan sebagai sebahagian daripada bajet negeri. Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Rozi Mamat dan Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Mazlan Ngah. 

Terengganu menjadi juara SUKMA pada 2008 di Terengganu dan 2010 di Melaka. Pada 2008, Terengganu mengejutkan peminat sukan tempatan apabila muncul juara dengan memperoleh 61 emas, 39 Perak dan 47 gangsa manakala di Melaka, pasukan negeri ini meraih keseluruhan 120 pingat - emas (47), perak (30) dan gangsa (43).

Devan terima kekalahan (2011/04/28)

KETUA Jurulatih Selangor, K Devan akur pemainnya tidak memberi persembahan tahap sebenar ketika menentang Kelantan, malam kelmarin sehingga membolehkan tuan rumah mengutip mata penuh pada pertemuan yang dianggap ibarat buku dengan ruas itu. 

"Saya akui permainan Selangor tidak seperti permainan biasa mereka dan ini mungkin sebab kita sudah bermain di Sabah dan terpaksa terbang ke Kelantan pula, sedangkan pasukan tuan rumah mempunyai kelebihan rehat tiga hari yang cukup selepas menentang Perlis Jumaat lalu, di gelanggang sama.


"Meletakkan hanya ketua pasukan, Mohd Amri Yahyah pada bahagian depan juga gagal merobek gawang Kelantan, walaupun ada melakukan beberapa serangan bahaya.
"Saya yakin jika kami berjaya menjaringkan gol, perlawanan ini sudah tentu berkesudahan dengan seri," katanya selepas perlawanan di Stadium Sultan Muhammad Keempat, Kota Bharu, malam kelmarin. 

Kelantan mendapat gol tunggal menerusi tandukan pemain kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha seawal minit kelima yang disaksikan lebih 25,000 penyokong The Red Warriors.

Membutirkan hasil lumayan (2011/04/28)

LANGKAH ketua jurulatih, Norizan Bakar merehatkan beberapa pemain senior dan digantikan dengan tenaga muda membutirkan hasil lumayan ketika menewaskan Kuala Lumpur dalam saingan Liga Super di Ipoh, malam kelmarin. 

Tindakan mengekalkan hanya tiga pemain utama iaitu kapten, Shahrulnizam Mustapha, Mohd Khairi Zainuddin dan Akmal Rizal Ahmad Rakhili itu dianggap bertepatan untuk mengembalikan ‘kesegaran’ pasukan sehingga mampu merakam kemenangan 5-3.


Pada perlawanan malam kelmarin, pemain muda seperti Wan Hussin buat pertama kali diberi kepercayaan berada dalam kesebelasan pasukan dan walaupun gugup pada aksi awal permainan tetapi berjaya memainkan peranan secara, terutama pada babak kedua memantapkan bahagian tengah bersama Shahrulnizam, Isma Aliff dan Mohd Fazrul Hazli.
Manakala di benteng pertahanan, Khairi berjaya mengemudi benteng dengan baik bersama Mohd Hisyamuddin, Mohd Noor Hazrul dan Mohd Syazwan Roslan walaupun pintu gol Perak tetap dibolosi tiga kali. 

Naib Presiden 1 Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa), Khairuddin Ahmad berasakan langkah itu wajar dilakukan kerana kerana Seladang tampak hilang rentak sehingga menyaksikan Perak seperti dibuli ketika bertemu Terengganu, baru-baru ini apabila tewas 0-3. 

“Pemain Perak terutama yang sudah berusia tidak bermaya selepas mengharungi jadual yang ketat. Langkah ini berjaya memberi kesegaran kepada corak pasukan,” katanya.

Yang penting tak kalah (2011/04/28)

"SAYA tidak salahkan pemain, mereka sudah mencuba dan apa yang penting Harimau Muda A tidak mengalami kekalahan semasa bertemu Perlis nanti.” Itu kata pengendali Harimau Muda A, Ong Kim Swee yang mengharapkan anak didiknya dapat mengekalkan momentum permainan ketika bertemu Negeri Sembilan, malam kelmarin. 

Kim Swee yang juga mengendali skuad Olimpik negara, berkata dia sedar akan kepenatan dialami pemain dalam mengharungi jadual padat sejak beberapa bulan ini dalam memenuhi kehendak Liga Super selain mengharungi kelayakan Olimpik.


“Kita masih mempunyai baki 10 perlawanan dalam Liga Super sebelum menghadapi kelayakan Olimpik dan mereka terlalu keletihan. Perlawanan hari ini (semalam) nampak lemah dan saya banyak kali melakukan pertukaran pemain dan ia perlu dilakukan selagi pasukan tidak mengalami kekalahan dan saya berdoa supaya pemain utama (skuad Olimpik) tidak mengalami kecederaan.
“Bukan saya merungut tetapi pada saya pasukan lain mempunyai agenda tersendiri untuk menang (Liga Super) tetapi untuk saya, saya perlu terus ke hadapan memikirkan bagaimana keadaan pemain saya menghadapi kelayakan Olimpik,” katanya selepas seri 1-1 ketika menentang Negeri Sembilan. 

Untuk saingan pusingan kedua ini, Malaysia diundi bertemu Lubnan pada 19 dan 23 Jun ini di Beirut dan Kuala Lumpur selepas menundukkan Pakistan dengan agregat 2-0 pada pusingan pertama.

Lega kutip 3 mata (2011/04/28)

KETUA jurulatih Kelantan, Datuk M Karathu menyifatkan jaringan awal Norshahrul Talaha sebagai elemen penting membantu pasukan mengutip mata penuh mengatasi Selangor dalam saingan penting Liga Super di halaman sendiri, malam kelmarin.


“Ini adalah satu kemenangan baik untuk memastikan Kelantan dapat kembali menguasai takhta liga memandangkan berjaya menumpaskan Selangor yang disegani masa kini terutama dengan ramai pemain berpengalaman.
“Bagaimanapun, Kelantan lebih mampu meraih kemenangan dengan jaringan awal itu sehingga mengecewakan Selangor walaupun ada ketika hampir menyamakan kedudukan,” katanya. 

Karathu menegaskan ketua pasukan, Mohd Badri Radzi sudah memberi persembahan yang baik walaupun melepaskan banyak peluang, menyebabkan penonton kecewa dengan permainannya. 

“Badri sudah menunjukkan satu permainan yang baik, namun gagal menggunakannya sehingga penonton tidak suka terhadapnya. Namun saya memujinya bekerja keras dan menyimpannya sebelum bertindak mengeluarkan pada lima minit terakhir,” katanya. 

Apapun, dia tetap akur betapa Selangor bukan satu pasukan mudah ditumbangkan kerana skuad Merah Kuning itu mempunyai ramai pemain berkualiti serta berpengalaman.

Mudah lepasi halangan (2011/04/28)

PEMAIN nombor satu dunia, Lee Chong Wei memulakan kempen Super Siri Terbuka India di New Delhi, semalam dengan menumpaskan pemain tuan rumah Ajay Jayaram. 
Chong Wei mengambil masa kira-kira 37 minit untuk menumpaskan Ajay dengan 21-19, 21-18. 


“Saya bermula agak perlahan, dan dapat menyesuaikan diri dengan keadaan angin serta kepantasan bulu tangkis. Ia perlawanan yang agak mudah, saya pernah tewaskan dia (Ajay) sebelum ini,” katanya. Pemain berumur 28 tahun itu belum pernah menjuarai kejohanan Terbuka India, yang kini di naik taraf kepada Super Siri, dan sebelum ini dalam penampilannya pada 2009 beliau kalah dalam pusingan pertama ekoran mengalami keracunan makanan.

Dengan kemenangan itu, Chong Wei akan berdepan Lee Hyun Il dari Korea Selatan yang menewaskan pemain Indonesia Dionysius Hayom Rumbaka 21-16, 21-19. 

Terdahulu, beregu lelaki Malaysia Mohd Zakry Abdul Latif-Thien How Hoon menewaskan pasangan India Utsav Mihsra-Ravinder Singh 21-19, 21-17. 

Terbuka India di Kompleks Sukan Sri Fort bermula semalam sehingga 1 Mei ini menawarkan hadiah berjumlah AS$200,000 (RM600,000).

Layak suku akhir Asia (2011/04/28)

NICOL Ann David layak ke suku akhir Kejohanan Skuasy Individu Asia selepas menewaskan Jerryca Teo dari Singapura di Pusat Skuasy Antarabangsa Nicol David di Dumbar, Pulau Pinang, semalam. 

Pemain nombor satu dunia itu yang mendapat ‘bye’ pusingan pertama menewaskan lawan 11-2, 11-6, 11-4 dalam saingan pusingan kedua untuk menentang pemain Hong Kong, Chan Ho-Ling dalam suku akhir, hari ini.


Pemain berusia 27 tahun itu yang menang dalam tempoh 25 minit berkata dia gembira memenangi perlawanan pertama di gelanggang sempena namanya.
“Sudah pasti ia satu perasaan hebat apabila menang dalam perlawanan pertama kejohanan dan lega dapat layak ke suku akhir,” katanya. 

Juara dunia lima kali itu berkata dia akan lebih fokus, hari ini dan mengerti cabaran lebih getir menunggunya apabila menentang Ho-Ling yang terdahulu menewaskan pemain Korea selatan, Eun Tschan Ahn (KOR) 11-4, 6-11, 11-7, 11-1dalam tempoh 38 minit. 

Dalam kategori lelaki, pilihan pertama, Ong Beng Hee menewaskan Kamran Khan 12-10, 11-8,11-9untuk menentang pemain senegara, Elvinn Keo Jinn Chung untuk memburu tiket ke separuh akhir. 

HARI INI 
Suku Akhir 

Lelaki
 

Muhd Asyraf Azan (MAS) mln Mohd Nafiizwan Mohd Adnan (MAS) 
Abdullah Khalid H Al-Mezayen (KUW) mln Siddharth Suchde (IND) 
[1] Ong Beng Hee (MAS) mln Elvinn Keo Jinn Chung (MAS) 
[2] Farhan Mehboob (PAK) mln Harinder Pal Singh Sandhu (IND) 

Wanita 

Au Wing-Chi Annie (HK) mln Song Sun Mi (KOR) 
Low Wee Wern (MAS) mln Siti Munirah Jusoh (MAS) 
Delia Odette Arnold (MAS) mln Dipika Pallikal (IND) 
Nicol David (MAS) mln Chan Ho-Ling Joey (HK)