Monday 28 November 2011

City miliki kelebihan (29.11.2011)

LONDON: Penyokong enam kelab Liga Perdana Inggeris yang masih bersaing dalam Piala Liga musim ini akan mengetahui sejauh mana kepentingan pertandingan itu buat pengurusan kelab masing-masing menjelang aksi suku akhir, minggu ini.
Sejak beberapa tahun lalu, saingan Piala Liga tidak menjadi sasaran kelab teratas liga yang lebih memberi tumpuan memenangi Liga Juara-Juara, Liga Perdana dan Piala FA.

Manchester City kini memiliki kelebihan lima mata di tangga teratas Liga Perdana dan memburu kejuaraan domestik pertama dalam tempoh lebih 40 tahun. Ia bakal mendorong pengurus Roberto Mancini untuk merehatkan pemain bintang mereka menentang Arsenal.
Secara tradisi, pengurus Gunners, Arsene Wenger turut melakukan perkara sama.

Namun pengendali dari Perancis itu yang menyaksikan anak buahnya tewas di tangan Birmingham pada final musim lalu tidak mampu terlepas kejuaraan lagi memandangkan Arsenal sudah tidak memenangi sebarang trofi utama selama enam tahun.

Bagaimanapun, dengan kedua-dua kelab masih berentap dalam Liga Juara-Juara, barisan pemain yang akan diturunkan di Stadium Emirates sukar diramal.

“Saya akan menukar pemain kerana beberapa pemain kurang cergas,” kata Wenger.

City dan Arsenal akan turun beraksi selepas masing-masing merekod keputusan seri 1-1 menentang Liverpool dan Fulham.

Sementara itu, dalam perlawanan yang membabitkan pasukan teratas menyaksikan Chelsea berdepan Liverpool di Stamford Bridge.

Rentetan kekalahan Chelsea berakhir dengan kemenangan 3-0 ke atas Wolves dan kejayaan menempah tempat ke final pertama musim ini akan meredakan tekanan terhadap pengurus Andre Villas-Boas.

Pengurus Liverpool, Kenny Dalglish menjuarai Piala Liga beberapa kali sebagai pemain ketika zaman kegemilangannya bersama kelab Anfield itu. - AFP

No comments:

Post a Comment