Saturday 26 November 2011

500 sertai larian amal (27/11/2011)

LEBIH 500 peserta terdiri daripada golongan belia dan pelajar menyertai Program Larian amal Rakan Muda Daerah Bandar Baharu, di Dewan Sri Serdang, Bandar Baharu, baru-baru ini.
Pegawai Belia dan Sukan Daerah, Poh Swee Leong berkata program larian ini bertujuan mengumpul dana untuk Tabung Akaun Rakan Muda Kementerian Belia dan Sukan yang akan di gunakan untuk pembangunan Program Rakan Muda seperti pemantapan Kelab Rakan Muda, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan bantuan bencana alam.

Katanya sasaran pejabat belia daerah untuk mencapai penyertaan 500 orang berjaya malahan berjaya melebihi sasaran dan ini menunjukkan sikap positif di kalangan belia di daerah ini yang aktif dalam pembabitan aktiviti dianjurkan oleh pejabat belia.
“Sambutan yang diberi amat menggalakkan dan sasaran kami ialah 500 peserta tetapi peserta yang hadir lebih daripada sasaran dan selain daripada acara larian pihak kami turut mengadakan cabutan bertuah dengan hadiah yang menarik.

“Program sebegini juga dapat menarik minat masyarakat setempat terutama belia untuk membabitkan diri dalam aktiviti kecergasan, disamping melatih mereka untuk mengisi masa lapang dengan aktiviti berfaedah,” katanya Majlis pelepasan peserta larian di lakukan oleh wakil penyelaras Parlimen Kulim/Bandar Baharu, Helmy Abdul Khan.

Sementara itu Helmy berkata program seperti ini dapat mengelakkan golongan belia dan remaja daripada melakukan aktiviti yang tidak berfaedah.
Katanya aktiviti bersukan dan kecergasan adalah amat sesuai untuk golongan remaja dan belia terutama pelajar sekolah ketika musim cuti persekolahan penggal akhir.

“Bagi pelajar yang tidak pulang ke kampung atau melancong mereka boleh menyertai pelbagai program dan aktiviti yang dianjurkan oleh agensi kerajaan ataupun pejabat belia.
“Aktiviti yang di lakukan oleh pelajar terbabit menghindari diri mereka daripada terjebak dengan gejala sosial yang akan merugikan mereka.

“Sambutan yang diberi oleh pelajar dalam program ini amat memberangsangkan dan saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih serta syabas kepada penganjur dan peserta Larian Amal Rakan Muda ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment