Friday 25 November 2011

Perak garang belasah Johor (26.11.2011)

TUAN rumah Perak memberi tanda awal terhadap kemampuannya apabila membelasah Johor 5-1 dalam kempen Piala Emas Raja-Raja 2011 Kumpulan C di Stadium Perak, malam tadi.
Hamizul Izaidi Zulkifli dan Mohd Khalis Ibrahim masing-masing menyumbang dua gol manakala baki gol Perak dihasilkan Mohd Nurridzuan Abu Bakar.

Mendahului 2-1 pada babak pertama, skuad kendalian Abu Bakar Fadzim menggandakan usaha untuk menambah tiga jaringan pada pertengahan separuh kedua untuk melenyapkan sisa-sisa perjuangan Johor.
Johor sekadar mampu memberi saingan selama 60 minit namun selepas itu kubu mereka runtuh dalam baki 30 minit untuk saingan selanjutnya.

Sementara itu, Majlis Sukan Universiti Malaysia (Masum) juga membuat permulaan baik apabila menumpaskan Selangor 1-0 .

Jaringan tunggal Mohamad Syafiq Mohd Mokhtar pada m-65 sudah mencukupi buat skuad kendalian Azman Eusoff mengutip mata penuh dalam kumpulan bersama Johor dan tuan rumah, Perak itu.
Pada perlawanan itu, Masum mempamerkan corak permainan lebih sistematik untuk menguasai saingan tetapi dikecewakan penyudahan lemah.

Selangor yang lebih banyak bergantung pada serangan balas, menghadapi kesukaran menembusi benteng kental lawan.
Selepas terikat 0-0 pada separuh pertama, kesungguhan Masum akhirnya berhasil apabila Syafiq melambung bola yang melepasi penjaga gol Selangor, Mohd Fairus Firdaus. hasil hantaran ke belakang rakan sepasukan.

Walaupun Selangor yang menurunkan ramai pemain muda cuba bangkit, pasukan Lembah Klang itu terpaksa akur dengan kepincangan serta kekurangan pengalaman pemainnya.

Tindakan memasukkan tiga tenaga baru dalam usaha meningkatkan kemampuan pasukan juga gagal menyelamatkan mereka daripada kekalahan pertama.

No comments:

Post a Comment