Tuesday, 29 November 2011

Mantapkan mental Chong Wei: Tengku Kamil (30.11.2011)

KEKUATAN mental perlu diberi penekanan jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei jika mahu memenangi pingat emas Sukan Olimpik London tahun depan.
Timbalan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tengku Kamil Ismail Tengku Idris Shah, berkata berdasarkan prestasi semasa, Chong Wei dilihat tidak menghadapi masalah besar terutama dari segi kecergasan fizikal.

Namun, menurutnya, kekuatan mental dilihat menjadi halangan utamanya meraih kejayaan terutama membabitkan pertemuan dengan jaguh dunia, Lin Dan dari China.
“Pada pandangan peribadi saya, Chong Wei bukan saja perlu memberi tumpuan dari segi kecergasan fizikal tetapi mental harus diberi keutamaan jika mahu mencipta kejayaan besar terutama di pentas Sukan Olimpik.

“Jika dia (Chong Wei) dapat menanganinya, saya percaya pemain badminton seperti Lin Dan mampu ditewaskan,” katanya semalam.

Tengku Kamil Ismail berkata demikian ketika mengulas kegagalan Chong Wei menewaskan Lin Dan pada separuh akhir Terbuka China dan Terbuka Hong Kong baru-baru ini.

Kekalahan itu menyaksikan Chong Wei masih gagal menundukkan musuh ketatnya itu yang jelas sukar dijinakkan, sekaligus memberi petanda awal bahawa jaguh China itu bakal mempertahankan pingas emas seperti yang dilakukan pada Sukan Olimpik Beijing 2008.

Bagi memastikan prestasi Chong Wei berada pada tahap terbaik, menurut Tengku Kamil Ismail, dia diharap hanya memberi tumpuan pada kejohanan besar seperti Super Siri sahaja.

“Dengan memberi tumpuan pada kejohanan lebih berprestij, tempoh rehat Chong Wei lebih panjang berbanding jika dia menyertai semua kejohanan.

“Bagi saya, dia perlu memberi tumpuan pada kejohanan Super Siri. Saya harap kejohanan terdekat yang seharusnya menjadi tumpuan adalah Terbuka Korea dan Terbuka Malaysia Januari depan,” katanya.

No comments:

Post a Comment