Monday 28 November 2011

Baning calon terbaru awang import Kijang (29.11.2011)

SELEPAS berjaya memburu tiga pemain import, Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) menguji seorang pemain import dari Cameroon bagi memperkuatkan pasukan dalam menghadapi beberapa pertandingan bola sepak musim depan, termasuk Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) yang disertai skuad ‘Kijang’ buat pertama kali.
Setakat ini, Kafa berjaya mengikat tiga pemain import iaitu penyerang Lubnan, Muhammed Ghaddar Mahmoud dan dua pemain Ghana, Emannuel Okine (tengah) serta Denny Antwi (penyerang untuk Piala AFC).

Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa berkata, Albert Baning yang juga bekas pemain skuad Olimpik 2008 Cameroon baru tiba di negara ini beberapa hari lalu dan akan menjalani ujian di bawah jurulatih Peter Butler.
“Sekiranya dia menepati kriteria, kita akan ikat kontrak pemain itu kerana AFC membenarkan empat pemain import. Kami akan pilih dua pemain import terbaik untuk bermain dalam Liga M,” katanya.

Mengulas persediaan skuad ‘The Red Warriors’ untuk saingan musim depan, Annuar yang juga Timbalan Presiden FAM berkata, pihaknya sudah mengatur beberapa perlawanan persahabatan tempatan dan juga antarabangsa.

Beliau berkata, antaranya dengan Negeri Sembilan esok dan Perak pada 1 Disember di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, 15 dan 16 Dis dan menentang kelab dari Qatar dan Syria serta pertemuan dengan Terengganu pada 31 Disember ini di Kota Bharu. “Semua perancangan kita untuk musim depan berjalan dengan baik dan pemain kini menjalani latihan di Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan ekoran hujan lebat yang melanda Kelantan,” katanya.

Ditanya sasaran untuk musim ini, Annuar berharap pemain dapat merangkul seberapa banyak piala yang boleh.

“Kami mensasarkan untuk mempertahankan Piala Liga Super yang dimenangi pada musim ini selain merangkul Piala Malaysia dan Piala FA.

“Berdasarkan persiapan rapi yang dijalankan, kami yakin mampu menang,” katanya sambil berkata semua pegawai dan pemain diberikan Petunjuk Prestasi Indeks (KPI) bagi memastikan prestasi mereka tidak merudum.

No comments:

Post a Comment