Saturday 30 July 2011

Sedia tukar wajah Chelsea (31/7/2011)

The Blues mahu buang imej pasukan paling tua dalam EPL 

MENANG atau kalah, Andre Villas-Boas seharusnya tabah menghadapi ujian getir terhadap kesopanan dan kesabarannya - dua isu yang sering kali dihadapi oleh pengurus baru Chelsea.
Dalam kebanyakan sidang akhbar, dia seharusnya bersedia untuk menepis soalan mengenai persamaan dan perbezaan dengan bekas pengurus kelab itu yang berjaya, Jose Maurinho dan isu yang sering diperdebatkan kini iaitu sijil kelahiran pemain veterannya yang kebanyakannya lahir dalam dekad sama dengan tarikh kelahiran Villas-Boas.


Villas-Boas, 33, berkata, usia bukan perkara penting, namun ia tetap mempengaruhi terutama dalam usaha untuk mencapai persefahaman dan keserasian antara kelompok pemain veteran itu dengan pengurus mereka yang hampir seusia. 

Persoalan bilakah Chelsea yang dilabel sebagai sebuah pasukan hebat akan mencatat banyak kejayaan juga sering dipersoalkan kebelakangan ini, malah ia turut dibangkitkan oleh pengurus Manchester United yang disegani, Sir Alex Ferguson, yang dua tahun lalu menyifatkan barisan pemain skuad Chelsea terlalu tua dan dia turut mengulangi pandangan sama tahun ini. 

Ferguson memang sudah sebati dengan sikap sedemikian tetapi komen seperti itu boleh dianggap bukan kebetulan tatkala pengurus United itu jelas boleh dianggap sebagai datuk kepada kebanyakan pemainnya. 

Bilakah pengurus baru Chelsea itu akan mengenepikan beberapa pemain veterannya adalah antara perancangan yang sedang diatur dalam usaha kelab itu membentuk skuad mantap pada masa depan - elemen baru yang sedang diusahakan Villas-Boas menerusi pembeliannya. 
Pengurus warga Portugal itu sudah menandatangani penjaga gol Belgium berusia 19 tahun, Thibaut Courtois dan bersetuju dengan Barcelona terhadap yuran perpindahan untuk seorang lagi pemain 19 tahun pemain tengah, Oriol Romeu, selain turut menunjukkan minat tinggi terhadap penyerang Anderlecht berusia 18 tahun, Romelu Lukaku. 

Ia tidak berakhir di situ dan pengurus baru Chelsea itu juga dikatakan turut mengintai beberapa pemain muda lain untuk pembelian selanjutnya. 

Apa yang tampak bakal dipamerkan oleh Villas-Boas ialah gabungan corak pengurusan yang progresif dan pragmatik yang dianggap sangat penting bagi jawatan seperti yang dipegangnya itu. 

Musim baru Liga Perdana Inggeris (EPL) yang bakal bermula Ogos ini mungkin menyaksikan permulaan Chelsea mengenepikan sedikit demi sedikit pemain veterannya seperti Didier Drogba, Nicolas Anelka, Frank Lampard, Ashley Cole, John Terry, Florent Malouda, Petr Cech dan beberapa lagi serta membina asas pasukan yang ditunjangi pemain lebih muda seperti David Luiz dan Ramires - antara pembelian mahal yang dilakukan oleh Chelsea musim lalu. 

Justeru, selain bermatlamat untuk mencipta kejayaan buat Chelsea, kemasukan Villas-Boas juga boleh dilihat sebagai usaha untuk menukar skuad yang dilabel pasukan paling tua dalam EPL itu kepada antara skuad termuda secara berperingkat. - Agensi 

PROFIL: 
Nama penuh: Luís André de Pina Cabral e Villas-Boas 
Tarikh lahir: 17 Oktober 1977 (33 tahun). 
Asal: Portugal 
Tinggi: 1.82 meter. 
Kelab Sekarang: Chelsea 
Kerjaya pengurus: 
2000–2001 British Virgin Islands 
2009–2010 Academica de Coimbra 
2010–2011 Porto 
2011– Chelsea 

Belum puas (31/7/2011)

'Kami masih perlu seorang pemain tengah, sayap' 

LONDON: Roberto Mancini mendedahkan Manchester City akan terus berbelanja musim panas ini, walaupun sudah menandatangani pemain antarabangsa Argentina, Sergio Aguero yang bernilai 38 juta pound (RM185.4 juta) minggu ini.
Aguero yang menyertai kelab itu dari Atletico Madrid, adalah pemain ketiga dibeli musim panas ini selepas Gael Clichy dan Stefan Savic dibawa ke Etihad Stadium, yang bakal menjadi tuan rumah dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah buat pertama kali musim depan.


City sudah memiliki ramai pemain bintang, dengan pemain seperti Craig Bellamy, Roque Santa Cruz, Wayne Bridge, Emmanuel Adebayor dan Nedum Onuoha dianggap lebih daripada memenuhi keperluan mereka – namun tampak pemain baru akan lebih ramai menyusul. 

“Kami masih mahu dapatkan seorang pemain tengah dan seorang pemain sayap,” kata Mancini. “Jika kami mahu bersaing dengan pasukan handalan, kami perlukan lagi pemain.” 

Sementara itu, Mancini mengesahkan Aguero tidak akan beraksi pada perlawanan Piala Super Dublin hujung minggu ini, yang turut menampilkan Celtic, Airtricity XI dan Inter Milan. Sebaliknya, dia dijangka membuat penampilan sulung ketika menentang Manchester United dalam perlawanan Perisai Komuniti di Wembley, minggu pertama Ogos. 

Aguero berkata: “Dalam tempoh lima tahun, saya hanya ada satu cuti, maka saya sudah biasa dengan keadaan itu. Seminggu rehat dan beberapa hari menjalani latihan, saya sudah bersedia untuk bermain.” – Agensi. 

Pilih skuad kebangsaan secara terbuka (31/7/2011)

PENYERTAAN pemain skuad senior kebangsaan untuk kejohanan utama harus dibuat secara terbuka pada masa akan datang, bukan eksklusif kepada pasukan projek tertentu saja. 

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Annuar Musa mengemukakan cadangan itu rentetan kekalahan Harimau Malaya kepada Singapura dengan agregat 6-4 pada pusingan kedua kelayakan Piala Dunia, baru-baru ini.
Menurutnya, pemilihan harus dibuat secara merit berdasarkan pemain yang mempamerkan persembahan terbaik semasa dalam liga dan tidak terhad kepada saingan tempatan saja.


“Ini termasuk memanggil mana-mana pemain warga negara Malaysia, sama ada menerusi ibu atau ayah tetapi cemerlang di liga luar. Saya tahu, kita ada beberapa pemain seperti ini di Australia dan Eropah,” kata Anuar merujuk peraturan fleksibel FIFA. 

Begitupun, pembangunan bakat muda menerusi program projek tetap diteruskan. 

Menurutnya, semua maklum balas diterima selepas kekalahan negara baru-baru ini, akan dibincangkan bersama Jawatankuasa Pembangunan Pasukan Kebangsaan. 

Terdahulu, Annuar menyampaikan hadiah kepada pemenang Liga Bola Sepak Wanita Kebangsaan yang diungguli Sabah selepas menewaskan Polis 1-0 pada final di Stadium MBPJ, Kelana Jaya. 
Sihaya Ajad yang terpilih sebagai Pemain Terbaik Perlawanan Akhir, membolehkan Sabah membawa pulang RM10,000 selepas meledak gol kemenangan pada minit ke-56. 

KEPUTUSAN 
Final: Sabah 1 Polis 0 
Penentuan ketiga: Kuala Lumpur 4 Kedah 2 

Jadi 'bandar sukan' (31/7/2011)

Pusat perniagaan diwujud sekitar Kompleks Sukan Negara: Shabery 

SEBELUM ini sukan hanya dikaitkan terhadap pencapaian atlit, namun sukan bakal diubah kepada satu industri yang dapat meningkatkan pendapatan negara.
Bayangkan saja bagaimana industri pelancongan di negara kini yang menjadi penyumbang utama kepada pembangunan ekonomi negara, begitu jugalah industri sukan yang diharap mampu berkembang.


Sebelum ini, kajian yang dijalankan membuktikan aktiviti berkaitan sukan menyumbang lima peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2009 dengan jumlah kira-kira RM30.2 bilion. 

Jumlah itu mewakili lima peratus daripada keseluruhan KDNK dan melambangkan betapa industri sukan mempunyai potensi untuk dibangunkan. 

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mensasarkan supaya pembangunan industri sukan dipacu sepenuhnya oleh sektor swasta, dengan persatuan sukan tidak lagi bergantung kepada bantuan kewangan kerajaan menjelang 2020. 

Bukan saja daripada segi peningkatan pendapatan negara, pembangunan industri sukan diharap memberi manfaat kepada masyarakat dalam menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan, melahirkan lebih ramai usahawan sukan dan menjadikan sukan sebagai kerjaya yang lebih terjamin. 
Industri sukan bukan saja memerlukan atlit namun lebih banyak lagi pengkhususan kerjaya seperti peguam, jurugambar, pengulas, ahli psikologi, ejen atlit, arkitek stadium dan banyak lagi peluang pekerjaan lain. 

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek ketika pelancaran Tahun Industri Sukan 2011/2012 Khamis lalu berkata, paling penting ialah kesedaran mengenai perspektif dalam industri sukan dapat disemai kepada semua pihak. 

“Dalam masa 10 tahun lagi, kerajaan berharap dapat menghampiri kepada model industri negara maju di dunia dengan menjadikan sukan sebagai perniagaan,” katanya yang turut memberi gambaran kemungkinan KBS tidak lagi wujud seperti negara maju di Jepun dan Amerika Syarikat yang mempunyai industri sukan yang berjaya. 

Buat permulaan, Shabery berkata Kompleks Sukan Negara di Bukit Jalil akan dibangunkan sebagai bandar sukan dengan menghidupkan kawasan di sekitar stadium sebagai pusat perniagaan berasaskan sukan. 

Usaha Tahun Industri Sukan bermula apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengisytiharkan 2011 sebagai Tahun Industri Sukan pada Konvensyen Industri Sukan 2009 (KISMAS 09) namun perkara itu baru direalisasikan bersempena kiraan detik setahun Sukan Olimpik London 2012. 

Pelbagai aktiviti dan program dirancang sepanjang tahun ini seperti konvensyen, persidangan, bengkel dan seminar dengan laman web (www.sid.my) menyebarkan maklumat terkini mengenai berita industri sukan dalam dan luar negara. 

KBS juga menubuhkan Bahagian Industri Sukan yang berfungsi menyusun strategi merealisasikan sukan sebagai antara penjana pertumbuhan ekonomi negara. 

Terima maaf FAM (31/7/2011)

Isu ejekan berbaur anti Semitik terhadap Benayoun 

HONG KONG: Chelsea menerima permohonan maaf daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhubung ejekan berbaur anti Semitik terhadap pemain tengah berbangsa Israel, Yossi Benayoun dalam perlawanan pra musim di Kuala Lumpur, dua minggu lalu.
Kelab London itu mengemukakan bantahan rasmi selepas Benayoun diejek ketika perlawanan jelajah Asia Chelsea pada 21 Julai lalu.


Chelsea pada awalnya cuba meredakan insiden itu tetapi terus mengemukakan bantahan selepas menilai semula perlawanan itu. Kini kelab itu yang turut bermain di Bangkok dan Hong Kong tanpa sebarang insiden, sudah melupakan perkara itu. 

“Kami hargai perhatian serta-merta FAM terhadap bantahan kami,” kata kelab itu dalam satu kenyataan. 

“Kelab Bola Sepak Chelsea komited untuk menghapuskan semua bentuk perlakuan diskriminasi dalam sukan ini, dan meminta FAM mengambil langkah sewajarnya untuk membanteras perlakuan seperti ini di masa akan datang. 

“Kelab dan Yossi menerima permohonan maaf, dan perkara ini kini ditutup.” – AFP 

Buka babak baru (31/7/2011)

Kim Swee mahu pastikan Harimau Muda mengaum dalam kelayakan Olimpik 

LUPAKAN episod duka babak kegagalan dalam saingan kelayakan Piala Dunia dan buka babak baru ke arah kelayakan Sukan Olimpik 2012 pula.
Sekalipun tampak bukan mudah, ia juga bukan mustahil. Itu gambaran jurulatih skuad Olimpik, Ong Kim Swee mengenai sasarannya untuk meraih kemenangan daripada tiga perlawanan pusingan ketiga kelayakan Olimpik 2012 di gelanggang keramat Stadium Nasional Bukit Jalil.


“Pada peringkat kumpulan ini, kita berdepan gergasi Asia - Jepun, Bahrain dan Syria - dan untuk membuat kejutan ke atas pasukan sebegini, kami memerlukan sokongan segenap sudut,” kata Kim Swee ketika dihubungi di Slovakia mengendalikan latihan 23 pemain skuad Olimpik. 

“Saya faham peminat mahukan sesuatu daripada pasukan ini selepas kempen kelayakan Piala Dunia skuad kebangsaan tersekat, tetapi kita perlu realistik dengan sasaran diletakkan. 

“Saya tidak mahu berangan-angan tinggi dengan meletak sasaran tidak rea­listik, tetapi apa yang boleh saya janjikan, tempoh persediaan panjang ini akan digunakan sebaiknya untuk memberikan persembahan terbaik apabila beraksi pada peringkat kumpulan nanti.” 

Skuad Olimpik negara - wakil tunggal Asia Tenggara beraksi di dalam kelompok 12 pasukan terbaik Asia merebut tempat ke London tahun depan - mara ke pusingan ketiga kelayakan Olimpik buat pertama kali sejak 1984, selepas mengetepikan cabaran Pakistan dan Lubnan pada peringkat awal. 
“Saya akan mengambil pendekatan sama seperti kita tewaskan Pakistan dan Lubnan,” kata Kim Swee yang melihat anak buahnya merakam satu kemenangan pada siri perlawanan persahabatan di Slovakia apabila menewaskan kelab Divisyen 1, Moldova 1-0, hasil jaringan Wan Zack Haikal. 

“Latihan sebulan di Slovakia ini bertujuan memperbaiki mutu permainan pasukan dan individu, selain memberi lebih banyak pendedahan antarabangsa kepada pemain. 

“Penekanan saya lebih kepada disiplin di dalam permainan di mana setiap pemain perlu menjalankan tugas masing-masing dengan penuh komited. Sedikit kelalaian akan membawa padah. Saya harap selepas tamat sesi latihan di sini, mutu pasukan ini bertambah baik.” 

Kata Kim Swee, tujuh pemain skuad Olimpik yang bersama skuad kebangsaan kemungkinan menyertai kem latihan di Slovakia tetapi keputusan mengenainya hanya ditentukan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) minggu ini. 

Sertai WGC Bridgestone (30/7/2011)

Aksi pertama di kejohanan Dunia selepas hampir 3 bulan berehat 

AKRON, Ohio: Tiger Woods, juara 14 kejohanan utama yang bergelut dengan kecederaan lutut kiri, akan beraksi dalam kejohanan kompetitif pertamanya di kejohanan Dunia minggu depan selepas hampir tiga bulan berehat.
Bekas pemain nombor satu dunia itu mengumumkan dalam laman webnya kelmarin, dia akan beraksi dalam kejohanan Jemputan WGC Bridgestone bernilai AS$8.5 juta (RM27.2 juta) di Firestone Country Club dekat Akron - yang menyaksikan dia sudah memenangi tujuh kejuaraan di lapangan itu.


“Saya tidak sabar untuk kembali beraksi di luar sana,” kata Woods. 
Woods tidak beraksi sejak 12 Mei apabila menarik diri selepas sembilan lubang di Kejuaraan Pemain yang menyaksikan kecederaan lutut dan tendon kirinya yang dialaminya di kejohanan Masters pada April bertambah teruk. 

“Saya rasa sudah bersedia dan cergas untuk beraksi di Firestone minggu depan. Teruja untuk beraksi semula di luar sana,” kata Woods. 

Woods, yang merudum ke tangga ke-21 ranking dunia, gagal memenangi kejuaraan sejak Masters Australia kira-kira 20 bulan lalu, sebelum skandal seksnya terbongkar yang menjejaskan imej di kalangan peminat dan menyebabkan perceraian dengan isterinya, Elin Nordergen. 
Woods tidak beraksi di Terbuka Amerika Syarikat dan British atas nasihat doktor yang mahu dia berehat untuk membolehkan dia menjalani proses pemulihan lututnya kirinya, hanya mula berlatih memukul bola baru-baru ini. – AFP 

Harap kekal lama di Man United (30/7/2011)

Kontrak bersama Red Devils berakhir musim depan 

HARRISON, New Jersey: Bintang Korea Selatan, Park Ji-Sung berkata, dia berminat beraksi bersama Manchester United seberapa lama yang boleh.
Pemain 30 tahun yang bersara daripada tugas antarabangsa awal tahun ini, menjadi pemain penting dalam skuad United dengan menjaringkan gol buat juara Liga Perdana Inggeris itu ketika menewaskan Pilihan Bintang MLS, 4-0 dalam perlawanan persahabatan, kelmarin.


Kontraknya bersama United akan berakhir musim depan, tetapi Ji-Sung berkata, dia berharap kontraknya disambung selepas pengurus United, Sir Alex Ferguson mendedahkan minggu lalu bahawa pemain itu ditawarkan lanjutan kontrak dua tahun lagi. 

“Mengapa tidak?,” Ji-Sung memberitahu saluran televisyen, MUTV. 

“Saya sentiasa berkata, saya mahu tinggal di sini beberapa tahun lagi dan membantu United memenangi sesuatu. Mudah-mudahan, satu hari nanti kami akan dapat bersama.” 

Satu gol yang dijaringkan Ji-Sung ketika membantu United menewaskan Pilihan Bintang MLS membolehkan dia menghimpun tiga gol daripada empat perlawanan sepanjang jelajah pra musim di Amerika Syarikat. 
Pemain tengah yang terkenal dengan sikap rajinnya, berharap dia lebih konsisten menjaringkan gol musim depan. 

“Agak mengejutkan saya!” katanya. “Saya cuba membantu pasukan untuk menang tetapi saya tahu saya mampu menjaringkan gol, dan harap saya mampu menjaringkan lebih banyak gol berbanding musim lalu,” katanya. – AFP

483 atlit (30/7/2011)

Kontinjen bola tampar, petanque, shoriji kempo, akuatik, angkat berat belum beri senarai atlit 

SERAMAI 483 atlit disenarai akan mewakili negara dalam 35 acara pada Sukan SEA Indonesia, November depan.
Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Sieh Kok Chi berkata, senarai itu bagaimanapun tidak termasuk lima acara lagi yang disertai kontinjen Malaysia iaitu bola tampar, petanque, shoriji kempo, akuatik dan angkat berat.


“Kelima-lima sukan ini diberi peluang menghantar senarai nama atlit mereka sebelum pertengahan Ogos ini bagi membolehkan kami memuktamadkan bilangan sebenar kontinjen negara,” katanya. 

Dalam mesyuarat pemilihan Sukan SEA selama dua hari berakhir Rabu lalu, MOM memutuskan 294 atlit disenaraikan di bawah kategori A manakala 189 atlit lagi menyertai di bawah kategori B. 

Kok Chi berkata, mesyuarat itu turut memutuskan 14 sukan yang ditanggung sepenuhnya di bawah kategori A adalah memanah yang menyenaraikan 16 atlit, badminton (20), bola keranjang (24), bowling (12), tinju (7), ekuestrian (8), bola sepak (20), golf (7), gimnastik (11), karate (21), silat (24), sepak takraw (17), menembak (16), pingpong (4). 

Temasya Sukan SEA yang akan diadakan di Palembang dan Jakarta, 11 hingga 22 November depan mempertandingkan 48 acara sukan. 

Mohon maaf kepada Benayoun (30/7/2011)

Insiden cemuhan penonton terhadap Benayoun 

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) memohon maaf kepada pemain tengah Chelsea, Yossi Benayoun dan kelabnya atas insiden cemuhan penonton ketika perlawanan persahabatan menentang Malaysia XI sempena Jelajah Asia Chelsea 2011 ke Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Ia susulan aduan rasmi diterima badan induk bola sepak kebangsaan mengenai dakwaan kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu bahawa Benayoun menjadi subjek ejekan anti semitik oleh segelintir kecil penyokong pada perlawanan itu.


FAM berkata, daripada pemerhatian, jika pun berlaku insiden itu ketika perlawanan, ia hanya membabitkan sekelompok kecil penonton, dan pastinya tidak menggambarkan perasaan sebahagian besar penyokong negara yang cintakan bola sepak. 

“FAM ingin menegaskan kami tidak menyokong sebarang bentuk sikap perkauman dalam bola sepak. Jika insiden seumpama itu berlaku, kami ingin meminta maaf kepada pemain terbabit dan kelab bola sepak Chelsea,” kata FAM dalam satu kenyataannya, semalam. 

Dalam perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil 21 Julai lalu berkesudahan 1-0 memihak Chelsea hasil jaringan kontroversi sepakan percuma Didier Drogba, Benayoun menjadi pemain Israel pertama beraksi di Malaysia yang menyokong perjuangan rakyat Palestin serta tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel. 

Pemain tengah itu diejek setiap kali menyentuh bola dan Chelsea dalam kenyataan di laman webnya berkata: “Walaupun sebahagian besar penyokong berkelakuan bersesuaian malam itu, kami percaya Yosssi menjadi subjek anti semitik beberapa penyokong ketika permainan.”

Maafkan saya (30/7/2011)

'Gol itu menyentap semangat pasukan'

AKSI Khairul Fahmi Che Mat yang tersandar di tiang gol sejurus wisel penamat ditiupkan membuktikan betapa kecewanya penjaga gol itu.
Selepas tangkas menafikan pelbagai ancaman dari setiap sudut, akhirnya pemain naturalisasi Singapura, Shi Jiayi membolosi gawangnya pada minit ke-71, sekali gus menyaksikan harapan Harimau Malaya yang pada mulanya kembali menyala selepas gol Safee Sali pada minit ke-57, mula padam.


“Saya minta maaf kerana gagal menghalang jaringan itu, apalagi tugas menghalang bola daripada memasuki gawang sukar kerana hanya berdepan satu dengan satu pemain lawan itu. Saya akui jaringan itu menyentap terus semangat pasukan yang sedang ghairah memburu gol kedua,” katanya.

Sebelum jaringan itu, Safee yang mengambil alih tugas kapten daripada Safiq Rahim yang digantung perlawanan, menggamatkan Stadium Nasional Bukit Jalil apabila melepaskan rembatan padu untuk meletakkan Malaysia di depan, sekali gus hanya perlu memburu satu gol lagi untuk menyamakan kedudukan agregat.

Namun semuanya musnah selepas gawang Khairul yang lebih mesra dengan panggilan ‘Apek’ dibocori lawan yang mengikat kedudukan 1-1 dan agregat 4-6.

“Saya tidak mahu menyalahkan benteng pertahanan kerana semua pemain sudah bekerja keras dan bersemangat untuk menewaskan lawan. Apalagi, kami mahu membalas semula sokongan penyokong yang memenuhi setiap tempat duduk. 
“Nampaknya tuah tidak bersama kami,” katanya yang diturunkan semula selepas tidak beraksi dalam perlawanan pertama di Stadium Jalan Besar ketika skuad negara tewas 3-5. 

Masih ada sinar (30/7/2011)

Rajagobal harap pemain muda tidak dipisahkan untuk misi Piala Asia 2015 

IBARAT hempedu, kekalahan me­­mang sukar ditelan. Apatah lagi jika tewas di tangan musuh tradisi, Singapura yang selama ini menjadi ukuran kemajuan pembangunan sukan bola sepak di kedua-dua negara.
Skuad ke­­bang­­­­­­­saan ken­­dalian Datuk K Rajagobal yang turun dengan reputasi sebagai juara Asia Tenggara apabila menjuarai Sukan SEA 2009 dan Piala AFF Suzuki 2010, tersingkir di tangan Singapura de­ngan agregat 4-6, selepas tewas 5-3 dan seri 1-1 pada pu­singan kedua kelayakan Piala Dunia 2014.


Namun di sebalik kegagalan itu, ada sinar baru buat bola sepak negara kerana rata-rata pemain kebangsaan yang beraksi pada perlawanan itu masih muda dan boleh beraksi untuk tempoh sekurang-kurangnya 10 tahun lagi, sedangkan Singapura hanya berharap kepada lima tonggak import yang mungkin mampu bertahan sehingga tamat pusingan kelayakan ini. 

“Kita perlu lihat perkembangan ini sebagai langkah positif untuk bola sepak negara,” kata Rajagobal. “Selepas menjuarai dua kejohanan peringkat Asia Tenggara, sasaran seterusnya tentulah peringkat Asia. 

“Sebab itu saya sering tekankan, sasaran utama ialah melayakkan diri untuk beraksi di Piala Asia 2015, sambil mengekalkan kejuaraan di peringkat Asia Tenggara - itu sasaran paling rea­listik selepas berjaya menamatkan kemarau kejuaraan di rantau ini. 

“Sebagai jurulatih, saya berbangga melihat perkembangan pemain muda ini di mana saya sudah lama bersama mereka. Kegagalan layak ke pusingan ketiga Piala Dunia adalah satu pengalaman baru buat mereka, dan ini adalah proses pembelajaran yang baik. 
“Sekiranya saya tidak menjadi jurulatih lagi, saya harap kumpulan pemain ini tidak dipisahkan.” 

Menurut Rajagobal, walaupun saingan kelayakan Piala Dunia kali ini bukan sasaran utamanya, peluang yang ada tetap digunakan sebaik mungkin oleh anak buahnya. 

“Mereka sudah berusaha sedaya upaya, tetapi apabila kita melakukan kesilapan, kita terpaksa menanggung akibatnya,” kata Rajagobal merujuk kepada kesilapan yang dilakukan benteng pertahanan dalam perlawanan pertama di Stadium Jalan Besar dan gol penyamaan Singapura di Stadium Nasional Bukit Jalil. 

Apa yang mengharukan Rajagobal adalah perubahan dalam senario bola sepak negara terutama pertambahan jumlah pemain berpotensi untuk mewakili negara serta kepulangan puluhan ribu penyokong ke stadium untuk memberi sokongan padu kepada skuad kebangsaan. 

“Ini titik tolak yang bagus untuk bola sepak negara. Semakin ramai pemain diberi pendedahan di peringkat antarabangsa, semakin berkualiti pasukan kebangsaan kita. Sokongan terhadap mereka juga tidak boleh berhenti setakat ini,” kata Rajagobal. 

Friday 29 July 2011

Jadi bandaraya sukan (29/7/2011)

Bakal pusat perkembangan industri sukan elak stadium jadi gajah putih

BUKAN sekadar menjadi tumpuan pada kejohanan tertentu, Kompleks Sukan Negara di Bukit Jalil bakal ‘dihidupkan’ menjadi bandaraya sukan yang akan menjadi tumpuan kepada industri sukan di negara ini. 

Seiring dengan pelancaran Tahun Industri Sukan 2011/2012 semalam, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata cadangan bandar sukan itu dikemukakan kepada Unit Perancangan Ekonomi (EPU) dan diharap mampu dilaksanakan segera.
Katanya, bandar sukan itu nanti bakal menjadi pusat perkembangan industri sukan di mana segala perkhidmatan atau barangan berkaitan sukan akan ditempatkan di situ.


“Kita tidak mahu stadium dilihat sebagai ‘gajah putih’ dan melihatnya daripada perspektif yang berbeza. Bendanya (stadium) sudah ada tetapi kita tidak menjana keuntungan sepenuhnya daripada itu lagi. 

“Jika berjaya model (di Bukit Jalil), kita boleh membawa contoh itu kepada kerajaan negeri pula untuk menjadikan stadium masing-masing sebagai pusat keuntungan,” katanya. 

Shabery berharap pelancaran itu mampu memberi pendedahan dan ilmu menjadikan negara sebagai negara industri sukan pada 2020.

Julang Piala Audi (29/7/2011)

Alcantara muncul wira jaring kedua-dua gol kemenangan gergasi Sepanyol

MUNICH: Pemain tengah, Thiago Alcantara menjaringkan kedua-dua gol bagi membantu juara Eropah, Barcelona menundukkan Bayern Munich 2-0 untuk memenangi kejohanan pra musim Piala Audi. 

Barcelona, yang beraksi tanpa tonggak seperti Lionel Messi, Xavi dan Carles Puyol, jarang diancam barisan Bayern yang akan memulakan sepak mula liga mereka minggu depan.
“Kami berhak atas kemenangan ini kerana kami banyak mencipta peluang,” kata pemain 20 tahun itu yang menggegar jaring pada minit ke-42 dan 75 itu.


Kedua-dua pasukan banyak menggunakan pemain muda yang jarang diturunkan dalam kesebelasan utama, terutama Barcelona, serta melakukan banyak pertukaran. 
Bintang Bayern, Franck Ribery dan Arjen Robben tidak beraksi dalam permainan itu kerana kecederaan buku lali. 

Dalam perlawanan penentuan tempat ketiga, kelab Brazil Internacional menewaskan AC Milan menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2. 

Robinho mencipta kedua-dua gerakan jaringan Milan. Zlatan Ibrahimovic menjaringkan gol tiga minit sebaik permainan bermula tetapi disamakan Leandro Damiao sebelum Alexandre Pato kembali meletak Milan di depan sebelum Andres D’Alessandro memaksa permainan ditentukan dengan sepakan penalti. – Agensi 

Chelsea menang besar (29/7/2011)

HONG KONG: Chelsea menggunakan kelebihan fizikal yang dimiliki apabila mudah menundukkan juara Hong Kong, Kitchee 4-0, sekali gus mara ke final Trofi Barclays Asia, kelmarin. 

Selain penalti dan gol sendiri, Didier Drogba dan Daniel Sturridge juga tidak ketinggalan mencatat nama dalam senarai penjaring. Mereka akan menentang Aston Villa di final selepas lawan itu menang tipis 1-0 ke atas Blackburn Rovers.
“Pemain sentiasa bekerja keras dan berpeluh,” kata pengurus Chelsea, Andre Villas-Boas.


“Mereka menikmati permainan dan mengekalkan komitmen serta kesungguhan sejak mula dan ini satu petanda baik untuk kami.” 

Perlawanan ketiga Chelsea dalam Jelajah Asia itu menunjukkan peningkatan prestasi kelab London itu selepas prestasi hambar di Kuala Lumpur sebelum bangkit dengan persembahan lebih meyakinkan apabila menang 4-0 di Bangkok. 

Pemain tengah, Yossi Benayoun mencipta gerakan untuk gol pertama pada minit ke-36 apabila mempamerkan gerakan menarik sebelum dikasari dalam kotak penalti. 

Villas-Boas menurunkan barisan terkuat dan menggunakan formasi 4-3-3-1 dengan beberapa pemain beraksi di formasi berbeza berbanding lazim termasuk Frank Lampard yang di banyak bertahan dan Benayoun yang lebih banyak membantu serangan. – AFP 

Singapura ganggu rentak kami (29/7/2011)

Raja soal gelagat pemain lawan; Avramovic anggap mutu pengadilan teruk

“SAYA harap kami dapat balas keyakinan peminat dengan lebih baik lagi,” kata ketua jurulatih kebangsaan, Datuk K Rajagobal selepas Harimau Malaya tersingkir pada pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2014, malam tadi. 

“Kita harus menang perlawanan ini tetapi beberapa insiden kecederaan pemain Singapura, yang saya tidak pasti tulen atau tidak, mengganggu rentak permainan.
“Saya akui masalah bahagian pertahanan, terutama selepas kehilangan Aidil (Zafuan Abdul Radzak) di pertengahan babak pertama, tetapi secara keseluruhan kita berjaya mengekang asakan Singapura.”


Rajagobal turut memuji aksi penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat yang menafikan beberapa percubaan jarak dekat jentera serangan Singapura. “Fahmi bermain baik apabila diberi peluang malam ini (malam tadi),” katanya. 

Sementara itu, jurulatih Singapura, Radojko Avramovic tidak faham keputusan pengadil. 

“Mutu pengadilan amat teruk,” kata Avramovic. “Saya tidak faham keputusan pengadil, saya nampak pengadil letak wisel di mulut tetapi tidak mendengar bunyi dan pemain saya berhenti bermain. 

“Tapi saya gembira Singapura layak ke pusingan ketiga. Malaysia juga hebat dengan sokongan lebih 85,000 penyokong. Ini baik untuk bola sepak.” 

Jaringan lawan sentap semangat (29/7/2011)

PENYERANG sensasi negara, Safee Sali yang sekali lagi menggegar jaring Singapura akur betapa gol lawan yang mengikat kedudukan 1-1 pada minit ke-71 menyentap semangat juang Harimau Malaya untuk memburu gol kedua.

“Saya gembira kerana sekali lagi menggegar jaring lawan, tetapi apakan daya ia masih belum cukup membantu kemaraan pasukan apabila lawan menyamakan kedudukan.
“Saya akui jaringan lawan itu tambah menyukarkan cabaran kami selepas itu,” katanya sejurus tamat perlawanan kedua, pusingan kedua di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam tadi.


Safee yang memakai lilitan lengan selaku kapten menggantikan Safiq Rahim yang digantung kerana menerima kad merah dalam perlawanan pertama mengakui harapan pasukan menewaskan musuh tradisi itu sekurang-kurangnya 2-0 menyala selepas dia meledak jaringan semangat pada minit ke-57.

Begitupun, penyerang yang berkelana ke Indonesia beraksi bersama Pelita Jaya tidak mahu menyalahkan sesiapa di sebalik gol lawan dijaringkan pemain naturalisasi, Shi Jiayi pada minit ke-71.

“Semua pemain memberi komitmen tinggi tapi tuah tidak menyebelahi pasukan. Kami minta maaf. Kami juga menghargai sokongan penyokong setia kami,” katanya.