Monday 28 November 2011

361 pemain sertai Tenis Remaja Antarabangsa (29.11.2011)

SEBANYAK 361 pemain akan beraksi pada Kejohanan Tenis Remaja Antarabangsa Tuanku Syed Putra/Perlis-Milo kali ke-31 selama lima hari mulai Ahad ini.
Pengarah kejohanan, Cheng Joo Chong berkata, 130 pemain antarabangsa dari sembilan negara dan 231 pemain tempatan mengesahkan penyertaan pada tarikh tutup penyertaan, 13 November lalu.

Negara yang mengesahkan penyertaan ialah Korea Selatan, Afrika Selatan, Indonesia, Turkmenistan, Jepun, Thailand, Singapura, Uzbekistan dan Amerika Syarikat.
Beliau berkata, kejohanan anjuran kerajaan Perlis dan Persatuan Tenis Perlis itu akan berlangsung di beberapa gelanggang sekitar Kangar.

Kejohanan kategori perseorangan lelaki dan perempuan serta beregu itu akan membabitkan acara peringkat umur Bawah 8, 10, 12, 14 dan 16 Tahun.

“Kejohanan ini akan membuka laluan kepada pemain tempatan beraksi dengan para pemain luar negara tanpa mengeluarkan kos besar,” kata Joo Chong.
Kejohanan turut menggamit kehadiran pelancong dalam dan luar negara ke Perlis sepanjang kejohanan itu yang secara tidak langsung mereka akan melawat beberapa destinasi pelancongan di negeri ini, katanya.

Jumlah penyertaan pemain turut menepati sasaran awal iaitu sebanyak 360 pemain tetapi yang sudah berdaftar ialah 361 orang.

Beberapa pemain kebangsaan berjaya dilahirkan melalui kejohanan yang diperkenal sejak 31 tahun lalu itu termasuk pemain dua beradik, Andy Cheng dan Alfie Cheng serta Afizal Abu Othman.

No comments:

Post a Comment