Sunday 27 November 2011

Gol Pepe kembali julang Juventus terajui takhta (28.11.2011)

ROME: Jaringan pada babak pertama menerusi Simone Pepe membolehkan Juventus kembali mengungguli tangga teratas Serie A selepas menundukkan pasukan di tangga ketiga, Lazio 1-0 pada perlawanan yang menarik di Stadio Olimpico.
Pepe meledakkan gol kemenangan pada minit ke-34 sekali gus membolehkan Juventus yang masih kekurangan satu perlawanan berbanding lawan lain mandahului satu mata berbanding Udinese dan tiga mata di depan Lazio.

“Ia adalah satu kemenangan yang sukar sekali gus menunjukkan karakter dan sejauh mana kematangan kami,” kata jurulatih, Antonio Conte.
“Masih banyak yang perlu diperbaiki. Apapun, kami sudah kembali ke landasan tepat. Kami sedar betapa sukar perlawanan di Napoli pada Selasa ini (esok).

Napoli naik ke tangga ketujuh selepas Edinson Cavani menjaringkan gol ketika menghampiri babak akhir bagi membolehkan pasukannya seri 1-1 dengan Atalanta yang mendahului pada minit ke-64 menerusi German Denis.

Catania melonjak ke tangga keenam hasil kemenangan 1-0 di Lecce sementara pasukan yang sedang bergelut, Novara bangkit daripada ketinggalan satu gol untuk mencatatkan kemenangan 2-1 ke atas Parma.
Lazio yang terpaksa berdepan kekalahan kedua pada musim ini, menjangkakan mereka sepatutnya diberi sepakan penalti pada separuh masa pertama.

“Kami menunjukkan tahap permainan sama dengan Juventus tetapi kami gagal menyempurnakan peluang yang ada,” kata jurulatih, Edy Reja. - Reuters

No comments:

Post a Comment