Friday 25 November 2011

Harapan benam keegoan Lin Dan (26.11.2011)

KEMAMPUAN Datuk Lee Chong Wei bakal teruji sekali lagi hari ini apabila turun bertemu seteru utama, Lin Dan pada aksi separuh akhir badminton Terbuka China.
Sering dilabel gagal menyempurnakan tugas setiap kali bertemu jaguh China itu, Chong Wei berpeluang untuk membuktikan tiada yang mustahil untuknya, lebih-lebih lagi menewaskan Lin Dan di halaman sendiri.

Pada aksi suku akhir semalam, pemain nombor satu dunia itu tidak perlu mengerah tenaga untuk menewaskan pemain Jepun, Sho Sasaki 21-18, 21-13 bagi memastikan tempatnya di separuh akhir, hari ini.
Begitu juga dengan Lin Dan yang seolah-olah ingin sekali bertemu Chong Wei di separuh akhir apabila mudah menundukkan pemain muda Denmark, Jan O Jorgensen 21-17, 21-14.

Berdasarkan pertemuan terakhir kedua-dua pemain itu, Lin Dan keluar sebagai pemenang pada separuh akhir Terbuka Hong Kong sebelum muncul juara.

Untuk itu, saingan separuh akhir hari ini adalah peluang terbaik Chong Wei membalas dendam kekalahan kepada Lin Dan di Hong Kong sekali gus meneruskan pemburuannya untuk merangkul kejuaraan pertama di Terbuka China.
Berdasarkan rekod pertemuan kedua-dua pemain itu, Lin Dan nyata lebih unggul apabila memenangi 17 perlawanan berbanding hanya lapan untuk Chong Wei.

Sementara itu, pasangan beregu negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong masih tercari-cari jawapan terhadap kekecewaan mereka menamatkan badi kekalahan kepada pasangan Korea, Ko Sung Hyun-Yoo Yeon Seong selepas tewas 21-18, 12-21, 17-21 pada aksi suku akhir.
Ia adalah kekalahan keenam berturut-turut buat Kien Keat-Boon Heong kepada lawan mereka itu sepanjang enam pertemuan.

No comments:

Post a Comment