Tuesday 29 November 2011

‘Perhalusi kegagalan’ (30.11.2011)

BERBICARA mengenai kegagalan skuad Olimpik negara dalam kempen kelayakan Sukan Olimpik London ibarat ‘nasi sudah menjadi bubur’. Namun bagi Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim yang turut dikenali sebagai pengkritik sukan tanah air mahu kegagalan itu diperhalusi supaya ia tidak terus berulang.
Kerana beliau berpendapat, skuad yang dibimbing jurulatih Ong Kim Swee itu seharusnya memberi lebih tumpuan kepada saingan berkelas lebih tinggi itu berbanding sibuk dengan misi mempertahankan gelaran raja Asia Tenggara di Sukan Sea Indonesia.

“Kita sudah memenangi pingat emas Sukan Sea di Laos dua tahun lalu jadi kenapa kita perlu memberi tumpuan kepada kejohanan itu, adalah lebih baik kelayakan Olimpik London menjadi keutamaan.
“Jika diambil kira, kelayakan Olimpik ini adalah peluang terbaik untuk kita mencapai taraf lebih tinggi dan bukannya hanya bermegah di peringkat Asia Tenggara. “Kita sudah mengambil bahagian di Sukan Olimpik sejak 1956 dan layak sebanyak dua kali di Sukan Olimpik Munich pada 1972 dan 1980 di Moscow. Jadi kenapa kita perlu terlalu bergembira dengan pencapaian di Sukan Sea kerana sepatutnya kita perlu berusaha untuk mencapai tahap lebih tinggi,” katanya.

Impian skuad bawah 22 tahun negara untuk mencari kedudukan sekurang-kurangnya di tangga kedua Kumpulan C bagi memburu tiket ke Olimpik London semakin sukar selepas menerima kekalahan ketiga di tangan Bahrain 3-2 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Ahad lalu.

Biarpun mendahului 2-0, skuad muda negara yang dihimpit kepenatan, kecederaan dan penggantungan pemain menyaksikan tidak berdaya untuk bertahan 10 minit terakhir apabila dibolosi tiga gol ketika Bahrain kehilangan seorang pemain.

Malah anak buah Kim Swee sebelum itu juga terpaksa mengerah keringat yang ada ketika tewas 2-0 kepada Syria biarpun hanya berehat selama sehari sebaik tiba dari Jakarta dengan membawa pulang pingat emas.

Malaysia satu-satunya wakil Asia Tenggara yang layak beraksi di peringkat kumpulan kelayakan Sukan Olimpik kini terperosok di tangga terakhir kumpulan yang diterajui Jepun dengan sembilan mata, Syria enam mata dan Bahrain tiga mata.

Biarpun berbaki tiga lagi perlawanan, kekalahan ketiga berturut-turut itu tampak menutup jalan Malaysia melakar sejarah layak ke Olimpik buat kali ketiga.

“Sikap orang Malaysia perlu berubah kalau kita mahu bersaing di peringkat antarabangsa. Jangan kita bergembira dengan kejayaan di peringkat bawah kerana kita tak boleh menang di peringkat lebih tinggi,” kata Kay Kim.

No comments:

Post a Comment