Sunday, 27 November 2011

Wenger dijangka lakukan pertukaran (28.11.2011)

LONDON: Arsene Wenger dijangka akan membuat pertukaran dalam barisan kesebelasan utamanya untuk saingan Piala Liga minggu ini selepas mengakui faktor kepenatan menyebabkan mereka gagal memungut mata penuh ketika bertemu Fulham.
Thomas Vermaelen menyumbang gol tunggal Arsenal ketika seri 1-1 di Stadium Emirates menerusi tandukannya, namun sebelum itu dia menjaringkan gol ke gawang sendiri.

Wenger percaya, skuadnya masih belum cergas sepenuhnya selepas mengharungi perlawanan bertemu Borrussia Dortmund di saingan Liga Juara-Juara pertengahan minggu lalu yang menyaksikan Arsenal menempah tiket ke pusingan kalah mati. “Perlawanan itu memerlukan tahap ketahanan fikiran, mental dan fizikal yang tinggi,” kata pengurus Arsenal itu.
“Hampir kebanyakan pemain merasai kepenatan selepas perlawanan Liga Juara-Juara.

“Kami hanya mempunyai waktu yang singkat, tetapi itu bukanlah satu alasan. Ia adalah penjelasan. Kami mahu ke saingan Liga Juara-Juara, jadi mahu tidak mahu kami perlu mengharunginya juga.

“Cabaran kami adalah untuk memenangi perlawanan ini walaupun kami kepenatan.” Arsenal akan bertemu Manchester City pada suku akhir Piala Liga esok dengan Wenger bersedia untuk melakukan rombakan dalam skuadnya bagi meneruskan rekod tanpa kalah dalam 11 perlawanan. - AFP

No comments:

Post a Comment