Sunday 27 November 2011

Suzuki kejar podium (28.11.2011)

MOHD Khairul Adli Azhar dan rakan sepasukan, Ahmad Syukran Aizat Mohd Yusof mempunyai keyakinan tinggi terhadap jentera Suzuki mereka menjelang pusingan terakhir Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas di Padang Kota Lama, Pulau Pinang, 3 dan 4 Disember ini.
Duo Suzuki FortyOne Racing itu mempertaruhkan kelajuan jentera mereka untuk mengejar kedudukan podium di atas litar yang mempunyai empat laluan lurus dan empat selekoh kanan ini.

Adli dan Syukran percaya litar yang tidak begitu teknikal itu dapat memberi kelebihan terhadap jentera Suzuki mereka yang terbukti pantas di atas litar yang menitik-beratkan aspek kelajuan.
Pada pusingan kedua terakhir di Litar Antarabangsa Sepang (Litar Selatan), mereka mengejutkan kontinjen Cub Prix dengan prestasi yang mengkagumkan sepanjang perlumbaan kategori Wira sebelum Adli menghadiahkan kemenangan pertama buat pasukan yang berpangkalan di Terengganu.

Manakala kesilapan di saat akhir menyebabkan Syukran kempunan menaiki podium apabila sekadar menamatkah perlumbaan di tempat keempat, pencapaian terbaiknya setakat ini.

Berada di tangga keempat dalam senarai keseluruhan Wira dengan 88 mata, Adli berkata: “Saya tidak sabar untuk memulakan aksi di Pulau Pinang. Kami telah melakukan perubahan besar setelah gagal memungut sebarang mata pada pusingan 7 dan 8 dengan memenangi perlumbaan di Sepang.” “Kami akan menggunakan pelarasan yang sama bagi menghadapi perlumbaan di Pulau Pinang minggu depan dan mudah-mudahan saya dapat mencipta lagi satu lagi kemenangan dan mencapai sasaran pasukan untuk menamatkan musim ini di tiga tempat teratas.” Sementara itu, Syukran berpuas hati dengan pencapaian pada musim pertamanya.
“Ini adalah musim pengenalan saya dalam Cub Prix dan kemampuan untuk menyaingi pelumba di barisan hadapan sewaktu di Sepang menunjukkan satu peningkatan baik berbanding enam pusingan awal di mana saya seringkali gagal ke perlumbaan akhir (DNQ) ataupun tidak menamatkan perlumbaan (DNF).

“Malangnya saya melakukan kesilapan dan sedikit terbabas pada selekoh terakhir di pusingan terakhir.
“Jadi saya bercadang untuk menebus kesilapan pusingan lalu di Pulau Pinang,” katanya.

Zulsyafiz Rosli dari pasukan MOS Malaysia Racing mengesahkan gelaran juara Wira 2011 dengan mengumpul 152 mata diikuti Mohd Hafiza Rofa (Faito YSP Racing) kedua dengan 120 mata dan Mohd Adib Rosley, (Motul Yamaha YY Pang) ketiga, 101 mata.

No comments:

Post a Comment