Monday 28 November 2011

Emir ubah misi (29.11.2011)

MOHD Emir Firdaus Hasan ingin menebus kekecewaan dengan meraih kejayaan pada pusingan terakhir Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas 2011 di Padang Kota Lama, Pulau Pinang 3 dan 4 Disember ini.
Didorong kegagalan melayakkan diri ke perlumbaan akhir (DNQ) di Melaka (Pusingan 8) dan Sepang (Pusingan 9), pelumba M-Seki Liberty Honda Racing itu berazam menamatkan perlumbaan hujung minggu ini di hadapan Mohd Rozaliman Zakaria (ZAR Racing Motorsport) yang mampu meng halang misinya merebut kedudukan ketiga keseluruhan.

Mengutip 95 mata, pelumba kelahiran Terengganu, Rozaliman sekadar satu mata mengatasi Emir yang menduduki tempat keempat dengan 94 mata.
Kedudukan teratas milik Shahril Izzuwan Mohd Noor (Petronas Syntium Moto Yamaha AHM), 128 mata diikuti Zaidy Mohd Zaifaizal (Motul Yamaha YY Pang) kedua, 111 mata.

“Peluang merebut tempat kedua masih ada namun memandangkan Zaidy mempunyai kelebihan 17 mata, risiko mengejarnya agak tinggi dan saya mengubah sasaran musim untuk menduduki tempat ketiga.

“Amat penting untuk saya berada di depan Rozaliman pada perlumbaan ini kerana hanya satu mata membezakan kedudukan kami pada masa ini. Tiada ruang lagi untuk melakukan kesilapan, teknikal, pasukan mahupun saya sendiri,” jelas pelumba 22 tahun itu.

No comments:

Post a Comment