Sunday 27 November 2011

Dortmund mula tunjuk belang (28.11.2011)

BERLIN: Juara bertahan, Borrussia Dortmund naik ke tangga teratas Liga Jerman buat kali pertama musim ini selepas menewaskan Schalke 2-0 Sabtu lalu sementara Bayern Munich jatuh ke tangga ketiga.
Hanya satu masa memisahkan tiga pasukan teratas dengan Dortmund dan Borussia Moenchengladbach berkongsi 29 mata sementara Bayern hanya ketinggalan satu mata tapi mereka boleh kembali ke tangga teratas jika dapat mencatatkan kemenangan ke atas Mainz.

Selepas harapan mereka meneruskan saingan ke Liga Juara-Juara berkecai apabila tewas di tangan Arsenal pertengahan minggu lalu, Dortmund melakar kemenangan ketujuh dalam lapan perlawanan liga menerusi gol sumbangan penyerang Poland, Robert Lewandowski dan pertahanan Brazil, Felipe Santana. Lewandowski meledakkan gol peribadi kesembilannya apabila menanduk masuk ke gawang lawan pada minit ke-16 sekali gus menyaksikan kemenangan pertama Dortmund ke atas Schalke sejak 2007.
Selepas menempah tiket ke saingan kalah mati Liga Juara-Juara dengan menewaskan Chelsea pada Rabu lalu, Leverkusen berjaya mengikat Hertha Berlin 3-3.

Penyerang Switzerland, Eren Derdiyok yang menjaringkan gol penyamaan ketika bertemu Chelsea, meledakkan gol ketika pada minit ke-79 untuk membolehkan Leverkusen di depan 3-2 buat seketika tetapi penyerang muda Berlin, Pierre-Michel Lasogga menyamakan kedudukan lapan minit sebelum tamat perlawanan.

Keputusan seri itu menyaksikan Leverkusen kini menduduki tangga keenam sementara Berlin ke-10.
Augbsurg yang menduduki tangga terbawah liga, berjaya meraih kemenangan kedua musim ini dan yang pertama di halaman sendiri apabila menewaskan juara Bundesliga 2009, Wolfsburg 2-0.

Kemenangan Augbsurg menyaksikan saingan di kelompok bawah liga semakin sengit dengan lima pasukan terbawah hanya dipisahkan dua mata. - AFP

No comments:

Post a Comment