Tuesday 29 November 2011

Sukan pantai terbesar (30.11.2011)

MAJLIS Sukan Universiti Malaysia (Masum) dengan kerjasama Universiti Teknologi Mara (UiTM) akan mengadakan sukan pantai terbesar pernah diadakan di negara ini pada 2 hingga 4 Disember ini.
Kejohanan Sukan Pantai 2011 itu bakal berlangsung di Pantai Bagan Pinang, Port Dickson dengan penyertaan semua 20 Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) membabitkan seramai 850 atlet dan pegawai pasukan.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UiTM, Prof Datuk Dr Abdullah Mohamad Said berkata, objektif kejohanan itu adalah memperkenalkan acara sukan pantai kepada golongan mahasiswa.
“Kita juga mahu mengasah bakat dan mencari atlet berkebolehan kerana atlet yang hebat di gelanggang biasa belum tentu boleh beraksi dengan cemerlang di acara sukan pantai.

“Diharap Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dapat mempertimbangkan atlet kita menyertai Kejohanan Sukan Asia di China pada tahun hadapan,” katanya pada sidang akhbar penajaan Kejohanan Sukan Pantai 2011 itu semalam.

Pada majlis itu, Masum menerima beberapa tajaan daripada Nestle PowerBar dan Berjaya Corporation Berhad.

Mengenai Kejohanan Sukan Pantai 2011, Dr Abdullah berkata, sebanyak lima acara sukan dipertandingkan iaitu bola sepak pantai, bola tampar pantai, sepak takraw pantai, bola jaring pantai dan larian pantai.

Katanya, diharap sukan pantai itu mampu menyemarakkan budaya sukan terutamanya di IPTA dan meluaskan budaya sukan mahasiswa berbanding hanya terbabit di dalam permainan sukan gelanggang saja.

Dr Abdullah turut menyeru masyarakat sekitar Port Dickson datang beramai-ramai menyokong sukan pantai terbesar itu.

“Kita juga menjadikan kejohanan ini untuk mengasah bakat dan mencari atlet berkebolehan dalam sukan pantai kerana sebelum ini negara kita pernah menyertai Kejohanan Sukan Asia di Bali.

“Kami berpendapat mereka boleh mencungkil bakat atlet untuk menyertai kejohanan terdekat di China tahun depan,” katanya.

No comments:

Post a Comment