Friday 25 November 2011

Rajasegram bela KOM (26.11.2011)

KETIKA pengurusan atasan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) belum memberi penjelasan tepat berhubung kontroversi Sukan Sea lalu, terutama kritikan terbuka atlet ratu lari berpagar negara, Noraseela Mohd Khalid (gambar), seorang ahli majlis KOM bangkit mempertahankan badan induk itu dan menafikan dakwaan atlet berusia 32 itu.
S Rajasegram, salah seorang Ahli Majlis KOM nyata tidak senang duduk apabila Noraseela yang meraih pingat emas Sukan Sea, baru-baru ini secara terbuka mengkritik dan melemparkan pelbagai tuduhan terutamanya soal KOM tidak menjaga kebajikan atlet serta menghantar kuartet emas 4x400m hanya pada saat akhir dan pulang ke tanah air tanpa sempat dikalung pingat.

Bagi Rajasegram, meskipun dirinya kerap mengkritik KOM, kali ini dia pantas mempertahankan KOM kerana menganggap tuduhan yang dilempar Noraseela itu keterlaluan.
“Bagaimana boleh dia membuat kenyataan KOM tidak melakukan apa-apa untuk membantu atlet-atletnya. “Tidakkah dia ingat sudah berapa ratus ribu KOM membiayai latihannya di luar negara tapi prestasinya setakat jaguh di Asia Tenggara saja? Adakah itu tidak mencerminkan KOM menjaga atlet-atletnya? “Awak (Noraseela) patut diam kalau tidak tahu perkara sebenar. Kalau rasa memang mahu membela dan menjaga kebajikan atlet, saya sendiri cabar dia bertanding pada pemilihan KOM akan datang.

“Pada masa ini, semasa dia masih menjadi atlet, tidak perlulah bercakap mewakili atlet lain. Pendek kata, jangan menggigit jari tangan yang menyuapkan anda,” katanya.

Berhubung tuduhan Noraseela mengenai sikap negatif individu tertentu dalam KOM sehingga menjejaskan kemajuan atlet dan sukan olahraga negara, Rajasegram meminta atlet itu menyatakan dengan tepat siapakah individu yang dimaksudkan.
“Kalau dia beritahu secara terbuka, saya akan membawa aduannya itu pada mesyuarat KOM akan datang,” katanya.


No comments:

Post a Comment