Tuesday 29 November 2011

Azraai buru 7 pemain baru musim depan (30.11.2011)

SELEPAS kehilangan lima pemain utama kerana berhijrah ke pasukan lain, Negeri Sembilan memerlukan sekurang-kurangnya tujuh pemain termasuk dua ‘awang import’ untuk persiapan menghadapi saingan Liga M musim depan yang dijadualkan bermula 7 Januari 2012.
Ketua jurulatih, Mohd Azraai Khor Abdullah, berkata pihaknya kehilangan ramai pemain utama musim 2011 yang memilih menyertai pasukan lain, namun yakin ia tidak menjejaskan persiapan membentuk skuad mantap musim depan.

Katanya, walaupun setakat ini ramai pemain sudah diuji termasuk 14 pemain import, keputusan muktamad belum dibuat, malah pemain import yang sudah diuji itu tidak menepati kriteria diinginkan kerana pasukan memerlukan pemain yang benar-benar berkualiti.
“Kita hanya akan mengambil pemain import dan tempatan yang berkualiti, walaupun kita sudah menguji seramai 14 pemain import antaranya dari Brazil dan Cameroon, namun semuanya tidak memenuhi kriteria malah jauh daripada kredibiliti yang kita tetapkan,” katanya.

Negeri Sembilan kehilangan pemain tonggak ketika menjulang Piala Malaysia Oktober lalu iaitu Hairuddin Omar, kembar Mohd Aidil Zafuan dan Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak, Irwan Fadly Idrus dan Mohd Farizal Harun yang semuanya menyertai Tentera.

Menurut pengendali berpengalaman itu yang mula mengambilalih tugas itu pada pertengahan musim berkata pihaknya tidak mahu terburu-buru memilih pemain terutama import kerana amat berpengalaman mengenai perkara itu.

“Kita tidak boleh membuat pilihan yang silap dalam memilih pemain import dan kalau boleh saya mahu pemain import seperti Marlon Alex James yang pernah beraksi bersama Kedah pada 2008,” katanya yang pernah membimbing skuad Hijau Kuning itu.

No comments:

Post a Comment