Tuesday 29 November 2011

‘Buru mata Olimpik’ (30.11.2011)

“SAYA harap Siri Piala Dunia Klasik yang kedua ini lebih baik daripada yang pertama,” kata pelumba harapan negara, Azizulhasni Awang menjelang saingan pembukaan siri kelayakan ke Olimpik Khamis ini.
Azizul buat kali kedua akan turun berentap dalam memburu mata kelayakan ke Olimpik pada saingan Siri Piala Dunia Klasik kedua di Cali, Colombia selepas gagal mengumpul sebarang mata pada aksi pertamanya dalam kejohanan kompetitif di Astana November lalu.

Bagaimanapun pelumba kelahiran Terengganu itu tetap optimis berhubung tahap keupayaannya untuk ke Olimpik terutama selepas berehat panjang kerana kecederaan yang dialami akibat tusukan kayu velodrom menembusi betis kakinya pada Februari lalu di Manchester.
“Saya akan mula menjalani latihan esok dan berharap Piala Dunia kedua ini lebih baik dari Astana. Mungkin terlalu awal untuk saya sasarkan kemenangan tapi jika dapat mara ke final dalam acara keirin itu sudah cukup bagi saya.

“Tapi dalam acara pecut saya harap dapat memperbaiki catatan masa. Di Astana saya lakukan 10.345s, mudah-mudahan dapat memperbaikinya di Cali. Saya harap semua rakyat Malaysia dapat mendoakan kejayaan saya,” kata Azizul yang juga pemenang rekod kebangsaan dalam acara pecut.

Carta kedudukan Piala Dunia acara keirin kini dikuasai pelumba Jerman, Christos Volikakis diikuti Chris Hoy serta Sergey Borisov manakala Josiah Ng menduduki tempat keempat selepas mengumpul tujuh mata.

Selain Azizul, penyertaan pelumba negara akan turut disertai oleh Josiah, Fatehah Mustapa yang menyumbang tiga emas di Sukan Sea Indonesia baru-baru.

Azizul dijangka akan kembali menguasai kancah perlumbaan antarabangsa di pada Siri Piala Dunia Klasik yang ketiga iaitu di Beijing, Januari ini.

No comments:

Post a Comment