Monday 28 November 2011

Misi tamat kemarau (29.11.2011)

LONDON: Roger Federer percaya gelaran keenam Pusingan Akhir Jelajah Dunia ATP bakal menjadi batu loncatan buatnya menamatkan kemarau kejuaraan Grand Slam tahun depan.
Federer menamatkan musim ini tanpa sebarang gelaran Grand Slam, kali pertama sejak 2002, namun bintang Switzerland itu bakal memulakan kempen tahun baru dengan catatan 17 kemenangan sejak meraih trofi di Basel, Paris dan terkini di kejohanan paling berprestij di Arena O2, London.

Meskipun sudah mencecah usia 30 tahun dan kehebatannya dianggap pudar, apatah lagi selepas gagal meraih gelaran Grand Slam, Federer gah menundukkan Rafael Nadal pada peringkat kumpulan sebelum menewaskan Jo-Wilfried Tsonga 6-3, 6-7 (6/8), 6-3 pada perlawanan akhir, awal pagi semalam.
Federer yang memenangi 16 gelaran Grand Slam, kali terakhir memenangi kejohanan utama di Terbuka Australia 2010, namun kejayaan di tenggara London itu membuktikan dia mampu beraksi seiring dengan yang terbaik walaupun sudah mencapai penghujung kerjayanya.

“Saya bermain dengan hebat beberapa minggu lalu dan kejayaan ini melonjakkan keyakinan untuk tampil lebih baik tahun depan,” kata Federer selepas meraih gelaran ke-70 di final ke-100 disertainya.


“Ini adalah penamat terhebat sepanjang kerjaya saya dan amat bangga dengan pencapaian ini serta teruja untuk beraksi tahun depan.

“Sudah tentu gelaran Grand Slam lebih baik. Saya terlepas tahun ini dan mungkin sudah menghampiri saat untuk mengundurkan diri, tapi mungkin belum lagi,” katanya yang akur ancaman utamanya tahun depan pastinya trio sama Nadal, Novak Djokovic dan Andy Murray. - AFP

“Apa yang berlaku sepanjang minggu ini menetapkan sasaran saya untuk tahun depan dan pastinya yang lain turut berasa perkara sama.

No comments:

Post a Comment