Tuesday 29 November 2011

Penerjun perlu cari populariti (30.11.2011)

SELEPAS tiga penerjun negara melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2012, kini mereka perlu memburu populariti dalam siri Jelajah Eropah.
Penerjun berpengalaman negara, Yeoh Ken Nee berkata jelajah Eropah amat penting dalam usaha penerjun negara memburu pingat di London.

Pendedahan yang dimaksudkan bukan sekadar memberi pengalaman kepada penerjun negara menyertai kejohanan di pentas dunia, malah bertujuan mendedahkan atau memperkenalkan penerjun negara kepada juri di Eropah.
“Dalam sukan subjektif seperti terjun, soal ‘bias’ tidak dapat dielakkan jadi jurulatih Yang Zhuliang mahu kami memberi persepsi yang baik di kalangan pengadil di Eropah dengan membiasakan nama dan wajah agar dikenali mereka sebelum Sukan Olimpik,” kata Ken Nee.

Tiga penerjun negara yang sudah layak ke Olimpik adalah Bryan Nickson Lomas dalam acara 3m papan anjal dan 10m platform individu, Ken Nee 3m papan anjal individu serta Pandelela Rinong dalam acara 10m platform individu.

Kini penerjun negara menanti pelepasan daripada Majlis Sukan Negara (MSN) untuk kembali menjalani latihan di China sebelum semua penerjun elit bertanding di Piala Dunia Terjun Fina yang akan berlangsung di London Februari tahun depan, kejohanan terakhir yang menjadi tempat kelayakan ke Sukan Olimpik.

“Kita perlu memastikan sebanyak mungkin slot untuk penerjun negara beraksi di Olimpik kerana faktor jumlah penerjun negara di temasya itu juga akan mempengaruhi juri yang mungkin mewujudkan persepsi betapa Malaysia mempunyai ramai penerjun berkualiti,” katanya.

Selain memburu beberapa tempat lagi dalam acara individu, Piala Dunia di London itu juga bakal menjadi medan memburu slot acara terjun seirama.

Mengikut peraturan Olimpik, penerjun negara yang layak ke Sukan Olimpik tidak semestinya beraksi dalam acara ayng mereka layak secara merit tapi tempat itu boleh diberikan kepada penerjun lain dari negara yang sama.

Idea Zhuliang mempopularkan nama penerjun negara di pentas dunia cukup bijak kerana negara kuasa besar sukan itu seperti China juga melakukannya.

Selepas menyertai Piala Dunia, penerjun negara dijangka menyertai kejohanan bertaraf Grand Prix di Russia, Jerman, Kanada, Amerika Syarikat dan Sepanyol.

“Menjelang Sukan Olimpik, kami mahu dikenali di kalangan juri sebagai negara yang berpotensi besar dalam sukan ini, jadi mereka tidak akan teragak-agak memberi mata yang tinggi. “Apa yang berlaku di dunia ketika ini, penerjun yang mempunyai nama besar cukup mudah meraih mata yang tinggi dari juri jadi kita juga akan melakukannya,” kata Ken Nee yang akan bersara selepas Sukan Olimpik tahun depan.

No comments:

Post a Comment