Tuesday 29 November 2011

Fergie guna tenaga muda (30.11.2011)

MANCHESTER: Pengurus Manchester United, Alex Ferguson akan menggunakan perlawanan Piala Liga dengan Crystal Palace, awal pagi esok untuk mencipta kebangkitan selepas gagal mencatat kemenangan dalam dua perlawanan terakhir.
United masih perlu bekerja keras untuk melayakkan diri ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara serta hilang cengkaman dalam perebutan kejuaraan selepas gagal menewaskan Benfica dan Newcastle minggu lalu.

Namun Ferguson tetap mahu merehatkan beberapa pemain tonggak dan meletakkan kepercayaan kepada barisan pemain muda ketika pasukan juara empat kali itu memburu tempat ke separuh akhir Piala Liga.
Pemain seperti Wayne Rooney (gambar), Javier Hernandez dan Nani yang tampil ketika United seri 1-1 dengan Newcastle minggu lalu dijangka akan direhatkan sebelum berkunjung ke Aston Villa, Sabtu ini.

Antara yang bakal diturunkan pemain Perancis berusia 18 tahun, Paul Pogba yang akan membuat penampilan pertama bersama skuad senior bergandingan bersama seorang lagi pemain muda, Ravel Morrison di bahagian tengah.

Pemain pertahanan, Chris Smalling yang baru pulih daripada kecederaan retak tulang kaki antara beberapa pemain senior yang bakal beraksi manakala pemain simpanan seperti Mame Biram Diouf dan Federico Macheda juga bakal diturunkan.

“Saya akan melakukan perubahan,” kata Ferguson.

“Smalling kembali pulih dan saya mungkin akan menurunkannya. Dia masih muda dan saya akan menurunkan barisan pemain muda menentang Palace.

“Hanya bahagian tengah yang masih bermasalah. Mungkin saya akan menggunakan Pogba namun belum pasti. Saya memiliki ramai pemain, itu yang pasti.” Kali terakhir United menang Piala Liga pada 2010 selepas menewaskan Aston Villa di Wembley.

Ferguson secara terbuka menyatakan hasratnya untuk menjulang kembali trofi itu meskipun sasaran utama mereka adalah Liga Juara-Juara, Liga Perdana dan Piala FA.

“Saya fikir saingan Piala Liga semakin bagus,” tambahnya. “Kelab seperti United boleh menurunkan pemain muda dan jarang beraksi dalam skuad utama, ini memberi impak positif kepada kami.” - AFP

No comments:

Post a Comment