Sunday 8 January 2012

Peluang terhidang (8.1.2012)

JAGUH badminton nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei memulakan tahun baru dengan final impian apabila bertemu musuh ketatnya, Lin Dan di final Terbuka Korea, hari ini selepas mereka menundukkan lawan masing-masing di separuh akhir, semalam.
Chong Wei memastikan langkah penuh bergaya untuk bertemu pemain China yang digelar ‘Super Dan’ apabila mudah menundukkan seorang lagi pencabar negara itu, Du Pengyu 21-8,21-13 dalam aksi separuh akhir.

Pengyu nyata menjadi ‘makanan’ pemain negara yang hanya memerlukan 37 minit untuk menewaskan ranking ke-11 dunia itu sekali gus mengekalkan rekod tanpa kalah selepas bertemu lima kali.
Laluan Lin Dan ke final juga tidak menghadapi banyak masalah apabila pemain Jepun, Sho Sasaki yang dihadapinya petang semalam mudah dijinakkan, 21-16, 21-14.

Kemenangan Chong Wei secara tidak langsung memudahkan laluannya untuk membuka buku baru tahun ini dengan meraih gelaran juara selepas prestasi tidak menentu pada hujung tahun lalu mula merisaukan banyak pihak.

Apatah lagi lawan yang menantinya adalah Lin Dan yang sentiasa dianggap sebagai penghalang utama untuk misi penting meraih pingat emas Olimpik pertama negara pada Sukan Olimpik London yang bakal bermula 27 Julai ini.

Dalam perlawanan lain semalam, beregu lelaki nombor satu dunia dari China, Cai Yun-Fu Haifeng tidak berdepan masalah untuk menyingkirkan beregu Korea, Ko Sung Hyun-Yoo Yeon Seung, 21-13, 21-14.

China memastikan pertemuan senegara di final apabila Wang Shixian bakal bertemu Jiang Yanjiao dalam acara perseorangan wanita selepas menewaskan lawan masing-masing. Lebih mengejutkan Yanjiao menewaskan pilihan utama kejohanan, Wang Yihan untuk tiket ke final.

Beregu wanita mereka, Qiao Ting, Zhao Yunlei pula menewaskan beregu Korea, Jung Kyung Eun-Kim Ha Na, 24-26, 21-5, 21-13. Mereka bagaimanapun akan menentang satu lagi beregu tuan rumah, Ha Jung Eun/Kim Min Jung di final.

Sementara itu, beregu campuran tuan rumah, Lee Yong Dae-Ha Jung Eun turut melangkah ke final selepas menewaskan beregu Russia, Alexandr Nikolaenko-Valeri Sorokina, 21-18, 21-15.

Kepedihan Newcastle (8.1.2012)

PIALA Negara Afrika adalah antara kejohanan bola sepak antarabangsa yang memberi kesan kepada kalendar kejohanan domestik dan untuk hampir sebulan, Liga Perdana Inggeris bagaikan hilang seri apabila kebanyakan pemain utamanya menyertai kejohanan dwitahunan itu di Gabon dan Equatorial Guinea.
Bagi Afrika, kejohanan ini bermakna segala-galanya. Bagi segelintir pengurus Liga Perdana Inggeris pula, ia dilihat sesuatu yang cukup memeningkan.

Rungutan mereka begitupun tidak seteruk edisi sebelum ini, apabila beberapa pasukan gergasi bola sepak Afrika seperti Nigeria, Cameroon dan Algeria gagal layak ke kejohanan itu.
Pemain seperti Alex Song dan John Obi Mikel tidak terbabit tetapi sesetengah kelab akan berasa kekosongan, Newcastle antara paling teruk terjejas.

Ketika kejayaan membenam Manchester United 3-0 pada awal pagi Khamis lalu mungkin menyalakan kembali semangat kelab itu musim ini selepas hanya menang satu daripada lapan perlawanan, pengurusnya Alan Pardew pasti merasai kehilangan apabila Demba Ba dan Cheick Tiote meninggalkan kelab itu untuk tugasan Piala Negara Afrika hujung minggu ini.

Ba yang menjaringkan satu gol dan mencipta satu lagi peluang disenaraikan untuk skuad Senegal manakala Tiote, yang berjaya mengekang Wayne Rooney sepanjang perlawanan itu akan ke Emiriah Arab Bersatu untuk menyertai rakan sepasukannya di Ivory Coast. Newcastle kehilangan penjaring terbanyak mereka dan pemain tengah berpengaruh untuk enam perlawanan.

“Kami kehilangan dua daripada pemain terbaik kami pada satu masa dan ia cukup menyukarkan,” kata Pardew. “Jika kami boleh berada di tangga kelapan atau sembilan sebaik mereka kembali, kami berpeluang menduduki tangga keenam musim ini. Kami sedar semua ini akan berlaku dan kami menerimanya.” Masalah paling utama buat Pardew adalah mencari pengganti sesuai untuk meneruskan jaringan Ba. Dengan 15 gol liga sepanjang musim, jumlah jaringan Ba melebihi gabungan pemain lain di kelab itu.

“Dari segi penyerang lain yang tidak menyumbang atau tidak menjaringkan gol ketika ini, jelas sekali ia membimbangkan,” kata Pardew.

“Kami akan melihat kepada pasukan dan memastikannya seimbang, jadi kami tidak perlu bergantung kepada Demba.” Ba turut mengakui perasaannya berbelah bagi untuk meninggalkan kelab yang mudah baginya menyesuaikan diri.

“Ia satu tamparan hebat buat pasukan,” katanya sebelum Krismas. “Ini adalah kelab saya dan saya bangga denganya tetapi ini adalah negara saya. Saya ke sana untuk mewakili negara dan cuba untuk menang. Saya bukan ke sana untuk bercuti. Ia satu kejohanan besar.” Begitupun nasib mungkin tidak menyebelahi Newcastle seperti yang pernah dialami dalam kejohanan sebelum ini. Pada 2008, mereka kehilangan Obafemi Martins (Nigeria), Geremi (Cameroon) and Abdoulaye Faye (Senegal) selama tiga minggu. Sepanjang tempoh itu, mereka gagal menang sebarang perlawanan, jatuh dari tangga ke-11 kepada 13 dan tersingkir daripada Piala FA.

Enam tahun lalu, ketiadaan Martins, Geremi dan Amdy Faye bertembung dengan masalah kemerosotan prestasi. Kekalahan kepada Blackburn dan Manchester City menyaksikan mereka tergelincir ke kelompok penyingkiran.

Analsis tiga edisi kejohanan terdahulu turut membuktikan perkara yang sama, Piala Negara Afrika berpotensi menjejaskan musim EPL. Sejak 2006, pasukan yang membenarkan pemain mereka beraksi untuk Piala Negara Afrika mencapai purata mata lebih rendah setiap perlawanan berbanding sebelum kejohanan itu. Perbezaan adalah kecil tetapi corak statistik membuktikannya.

Begitupun kisah yang wajar mendapat perhatian adalah apa yang berlaku kepada Reading pada 2008.

Pada permulaan kejohanan, Reading berada di tempat ke-13 dalam Liga Perdana Inggeris. Piala Negara Afrika menyebabkan mereka kehilangan Emerse Fae, Ibrahima Sonko dan Andre Bikey selama sebulan dan ketika itu mereka berada di tangga ke-18 dan bergelut di zon penyingkiran.

Reading tersingkir pada akhir musim itu dan sejak itu tidak pernah kembali ke Liga Perdana Inggeris.

City waspada (8.1.2012)

MANCHESTER: Roberto Mancini memberi amaran kepada pemainnya di Manchester City supaya berwaspada dengan ‘kemarahan’ Manchester United apabila kedua-dua seteru itu bertemu sekali lagi dalam pusingan ketiga Piala FA, malam ini.
City mengaibkan United 6-1 pada pertemuan terakhir mereka di Old Trafford, Oktober lalu, satu keputusan yang dianggap Sir Alex Ferguson sebagai hari paling buruk.

United berkunjung ke Eastlands berbekal dua kekalahan berturut-turut yang membolehkan City menjarakkan tiga mata di puncak liga, menjelang separuh kedua musim ini.
Penyingkiran awal United dari Piala FA malam ini akan memberi kelebihan psikologi buat City terhadap musuh ketat mereka tetapi Mancini memberi amaran supaya bersedia menghadapi amukan pasukan Ferguson.

“Perlawanan setempat selalunya sukar dan mungkin kali ini jauh lebih sukar kerana United berang selepas mengalami dua kekalahan dan kerana kami menewaskan mereka di Old Trafford musim ini,” kata Mancini.

“Banyak isu timbul menjelang perlawanan ini. Dua kekalahan berturut-turut jarang berlaku tetapi yang pasti, mereka mempunyai mentaliti yang kuat dan sentiasa memberi reaksi positif selepas tewas.

“Ingat, selepas tewas kepada kami, mereka meraih tujuh kemenangan berturut-turut dan satu seri. “Mereka masih berdepan masalah kecederaan pemain tetapi mereka sebuah pasukan yang kuat dengan pemain hebat dan itulah sebabnya United sentiasa dianggap berbahaya,” kata Mancini lagi. United yang masih mengharapkan trofi Piala FA sejak 2004 perlu memikirkan banyak perkara tetapi Ferguson kekal dengan pendiriannya untuk tidak membincangkan kekalahan 1-6 itu dengan pemainnya.

“Saya tidak akan menyebutnya,” kata Ferguson.

“Saya sentiasa katakan dalam Piala FA, saya akan mengambil sesiapapun untuk perlawanan di tempat sendiri dan dalam hal ini kelebihan memihak kepada City tetapi ini adalah perlawanan piala, perlawanan setempat dan apa saja boleh berlaku dalam perlawanan seperti ini.” - AFP

Peluang terbaik Chelsea (8.1.2012)

LONDON: Penolong pengurus Chelsea, Roberto Di Matteo mengaku Piala FA memberikan peluang terbaik buat kelab itu memenangi trofi musim ini.
Di Matteo yang memenangi kejuaraan itu dua kali ketika menyarung jersi Chelsea berkata, pengurus kelab, Andre Villas-Boas akan menurunkan kesebelasan terbaik untuk menentang Portsmouth malam ini.

Beliau enggan putus asa daripada mengharapkan gelaran Liga Perdana Inggeris dan Liga Juara-Juara tetapi selepas harapan Blues itu diranapkan pengurus Manchester United, Sir Alex Ferguson, beliau mengaku peluang tetap ada buat kelab itu mara dalam Piala FA.
“Pada masa ini, mungkin Piala FA adalah peluang terbaik,” katanya. “Namun kami masih bersaing dalam Liga Juara-Juara, tidak seperti pasukan Inggeris yang lain dan kami berada dalam kedudukan lebih baik dalam liga ini berbanding musim lalu.

“Kami akan menurunkan barisan terkuat berdasarkan tahap kecergasan pemain.” Kehadiran Januari turut membawa pelbagai spekulasi perpindahan pemain ke Stamford Bridge dengan proses perpindahan Gary Cahill ke Chelsea hampir selesai.

Frank Lampard pula dilapor menarik minat Manchester United tetapi Di Matteo mendakwa terlalu tipis untuk pemain tengah itu meninggalkan Chelsea.

Sementara itu kapten Portsmouth, Liam Lawrence mendakwa ia saat terbaik untuk menentang Chelsea, selepas mereka meraih keputusan tidak menentu sepanjang musim perayaan.

Chelsea tewas perlawanan di laman sendiri baru-baru ini, 1-3 kepada Aston Villa sebelum menewaskan Wolves di tempat lawan. - AFP

Jika Saya Bukan Atlet: Siti Safiyah teroka angkasa (8.1.2012)

Juara Masters Ranking Dunia 2009, Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman teringin untuk menawan angkasa lepas dan bertemu makhluk asing di Marikh.
SOALAN (S): Jika anda bukan atlet, apakah karier yang mungkin anda pilih ketika ini? 
SITI SAFIYAH (SS): Sejak kecil lagi, impian saya ingin menjadi angkasawan. Saya meminati apa saja mengenai planet dan galaksi. Ketika itu saya memiliki buku mengenai angkasa lepas dan sering menonton rancangan mengenainya.

Malah ketika ini saya masih berminat membaca mengenai planet.

Ketika masih kecil saya terfikir, kalaulah saya boleh menjadi wanita Malaysia pertama menjadi angkasawan.


S: Jika berpeluang menjadi angkasawan, ke mana anda mahu mengembara?

SS:
 Saya teringin ke Marikh. Ada orang kata, di Marikh ada hidupan lain. Saya tidak fikir ada manusia pernah sampai ke planet itu.


S: Anda percaya wujudnya makhluk asing?

SS:
 Mungkin ada. Mungkin mereka datang dari galaksi lain.


S: Sekiranya dapat ke angkasa lepas, apa tiga barang yang mungkin Siti bawa bersama?

SS:
 Saya akan membawa komputer riba kerana takut bosan di sana, bantal kerana mungkin saya sukar tidur dan kamera supaya saya boleh mengambil gambar yang cantik dari angkasa lepas.


S: Apakah perkara yang menjadi minat anda selain bersukan?

SS: 
Saya mempunyai banyak hobi antaranya belajar pelbagai bahasa. Ketika ini saya mendalami bahasa Jepun dan Korea dan selepas ini saya ingin belajar bahasa Cina pula.

Jika ada masa lapang, saya juga minat menari. Saya menyertai kumpulan tarian K-Pop yang diberi nama 10 Minute Crew dan sering menyertai pertandingan tarian K-Pop selain persembahan dalam acara tertentu.

Kumpulan ini dianggotai enam ahli termasuk seorang lagi atlet bowling kebangsaan, Siti Syazwani.

Antara kumpulan K-Pop yang memberi inspirasi kepada persembahan kami adalah U-Kiss, Infinite, Super Junior dan T-Ara.


S: Masih adakah impian anda yang belum dicapai?

SS:
 Semuanya sudah tercapai menerusi penyertaan dalam sukan bowling. Cuma apa yang saya harapkan dapat memperbaiki prestasi pada tahun depan dan bangkit seperti pada 2009. Penyakit tiroid yang dialami sedikit sebanyak memberi kesan terhadap prestasi saya.


S: Berada di luar negara bukan sesuatu yang asing dalam kehidupan atlet tetapi negara manakah menarik minat anda untuk bercuti.

SS:
 Jepun. Saya sukakan suasana yang indah dan bersih, segala-galanya nampak tersusun. Paling cantik ialah pada musim bunga, apabila bunga sakura mula kelihatan.


S: Apakah barang yang selalu anda beli ketika berada di luar negara?

SS:
 Jika ke Eropah, saya suka membeli beg tangan tetapi saya lebih meminati barangan unik jika ke negara Asia. Saya suka mengumpul barangan yang saya fikir unik.


S: Buku terbaru yang anda baca?

SS: 
Out, karya penulis Jepun, Kirino Natsuo. Ia sebuah cerita berunsur suspens thriller dan saya memang meminati cerita seperti ini.


S: Satu soalan serius. Ramai yang mengaitkan pembabitan sebagai atlet hanya untuk memburu ganjaran. Apa pandangan anda?

SS: 
Dalam sukan bowling, ganjaran yang diterima tidaklah semewah sukan lain tetapi sekurang-kurangnya ganjaran yang diterima menaikkan semangat atlet untuk terus menampilkan kecemerlangan pada aksi seterusnya. Memandangkan mereka mengharungi karier sebagai atlet, mungkin soal ganjaran dilihat satu aspek yang cukup penting juga dalam kehidupan.

Bintang Asia: Misi ‘Zico’ tak kesampaian (8.1.2012)

SETAHUN sudah berlalu tetapi nampaknya harapan Thailand untuk menyaksikan seorang pemain negara itu beraksi di liga utama dunia hanya tinggal impian.
Begitupun harapan itu kelihatan lebih mudah dicapai berbanding impian yang lebur untuk menyaksikan Thailand beraksi dalam Piala Dunia buat kali pertama.

Sejak Withaya Laohakul beraksi dalam Liga Jerman bersama skuad Hertha Berlin dan Saarbrucken pada era1980-an, tiada seorang pun pemain Thailand pernah beraksi di liga utama Eropah. Ini tidak termasuk tiga pemain Thailand yang hanya beraksi seketika dengan kelab Inggeris, Manchester City.
Malangnya, perpindahan trio itu, termasuklah penyerang kebangsaan, Teerasil Dangda ke Manchester tidak lebih sekadar publisiti kepada kelab itu yang ketika itu dimiliki Thaksin Shinawatra.

Satu-satunya peluang penyokong Thailand menyaksikan mereka menyarung jersi City hanya sewaktu perlawanan pertunjukan apabila kelab Inggeris itu mengunjungi negara itu tiga tahun lalu.

Malah pemain Thailand yang menyertai kelab Eropah secara rasmi masih gagal menempatkan diri mereka dalam kesebelasan utama dan hanya terhad sebagai pemain simpanan.

Bintang Thailand itu pulang ke negara asal dengan penuh kecewa selepas apa yang diharapkan dalam kembara di Eropah menjadi sebaliknya, termasuk bekas kapten kebangsaan, Kiatisak Senamuang, penjaring terbanyak sepanjang zaman negara itu.

Pada 1999, Kiatisak, yang dikenali sebagai ‘Zico’ dan turut memegang rekod penampilan terbanyak, mendapat liputan meluas media selepas berjaya menempatkan dirinya dalam kelab Divisyen Dua England, Huddersfield Town.

Sebelum itu, dia turut terlepas peluang berhijrah ke Britain apabila pada mulanya gagal menarik perhatian selepas sesi ujian bersama Middlesbrough.

Namun, pengurus Boro, Bryan Robson dilapor menasihatkan bekas rakan sepasukannya di Manchester United, Steve Bruce untuk mengambilnya.

Minat mendalam terhadap perpindahan Kiatisak mendorong Siam Sports, akhbar sukan terbesar negara itu yang biasanya menghantar seorang wartawan untuk membuat liputan Liga Perdana Inggeris, menghantar seorang wartawan untuk mengikuti setiap langkah penyerang itu di England.

Begitupun, berita paling menarik ketika Kiatisak bersama ‘The Terriers’ adalah jaringan hatrik yang dilakukan dalam perlawanan ujian.

Jika kegagalan Kiatisak di Huddersfield berpunca daripada ketidakupayaan penyerang itu menyesuaikan dirinya dengan persekitaran baru, Teeratep ‘Leesaw’ Winothai sepatutnya mempunyai peluang lebih cerah ketika menyertai Lierse dua tahun lalu, selepas beraksi cemerlang sebagai pemain remaja di Crystal Palace. Bagaimanapun nasib Teeratep jauh lebih buruk berbanding Kiatisak kerana dia hanya mempunyai peluang terbatas di kelab Belgium itu dengan hanya lapan perlawanan, kebanyakannya sebagai pemain gantian.

Pengalaman Kiatisak dan Teeratep membuktikan penyertaan dalam kelab Eropah belum tentu menjanjikan peluang bermain.

Kegagalan Teeratep menempatkan dirinya dalam liga divisyen kedua Belgium memusnahkan satu impian, impian menyaksikan pemain Thailand berdiri setaraf dengan nama besar dunia.

Ini tidak bermakna pemain Thailand tidak mempunyai potensi. Mereka masih berbakat untuk beraksi di tahap dunia tetapi masih banyak yang perlu dilakukan memandang perpindahan ke kancah bola sepak Eropah adalah satu inisiatif yang cukup besar, seolah -olah mahu melangkah ke Piala Dunia tetapi menyertai pasukan yang terumbang-ambing untuk melepasi kejohanan peringkat benua.

Mengambil langkah secara beransur-ansur mampu memberi ruang kepada pemain Thailand untuk beraksi menentang penyerang Manchester United, Wayne Rooney atau peledak Real Madrid, Cristiano Ronaldo.

Daripada mengambil laluan terus ke Eropah, Thailand sepatutnya memilih untuk menyertai antara liga terhebat benua ini seperti Liga-J di Jepun. Sekiranya mereka berpeluang menonjolkan diri dalam liga seperti ini, tiada sebab mengapa mereka tidak boleh mengikut jejak bintang Jepun seperti Shinji Kagawa yang beraksi bersama kelab Jerman, Borussia Dortmund atau pemain CSKA Moscow, Keisuke Honda.

Saidatul tunjuk taring (8.1.2012)

PEMAIN remaja kebangsaan, Saidatul Afifah Badrul Hamidi muncul juara Kejohanan Bowling Piala Presiden Pak Sako 2011 yang diadakan di Ipoh, baru-baru ini.
Pemain yang baru saja mencatat permainan sempurna di Pesta Pulau Pinang lalu itu menumpaskan Wazih Yob dalam acara step ladder 184-176 untuk dinobat selaku juara.

Dengan kejayaan itu Saidatul membawa pulang RM2,888 selaku juara manakala Wazih meraih RM1,400 dalam kejohanan tahunan anjuran Persatuan Tenpin Bowling Perak (PTBP) itu.
Afifah mara ke acara step ladder itu selepas muncul juara Masters dengan jumlah 1,970 jatuhan pin mengatasi Muhd Izzul Fahmi dengan 51 pin. Turut mara ialah Ahmad Redzuan yang menduduki tempat ketiga dengan 1,889. Izzul yang menduduki tempat ketiga pulang dengan RM1,000 manakala Redzuan meraih RM800.

Presiden PTBP, Datuk Ishak Mohammed yang lebih dikenali sebagai Pak Sako bangga dengan sambutan hangat yang diberikan terhadap kejohanan itu.

Menurutnya berikutan sambutan hangat itu pihak urusetia terpaksa menolak banyak lagi penyertaan.

“Berikutan sambutan hangat yang diberikan, kejohanan ini akan diperluaskan lagi ke daerah-daerah tahun hadapan untuk memberi peluang penyertaan lebih ramai lagi peserta,” katanya.

Friday 6 January 2012

Danyal membuak-buak (6.1.2012)

“SAYA amat sedih melihat perkembangan sukan olahraga ketika ini, sebab itu saya tergerak hati untuk kembali semula ke dalam KOM (Kesatuan Olahraga Malaysia).”
Demikian nada bekas Timbalan Presiden badan induk olahraga tempatan itu, Datuk Danyal Balagopal Abdullah yang mengemukakan hasrat untuk kembali dan bertanding pada pemilihan KOM yang dijadual berlangsung bulan depan dengan tujuan ikhlas untuk mengembalikan semula maruah sukan olahraga di negara ini.

Dengan kemungkinan besar jawatan yang akan dicabar pada pemilihan itu nanti adalah Timbalan Presiden serta Presiden yang ketika ini masing-masing disandang Datuk Karim Ibrahim serta Datuk Seri Shahidan Kassim, Danyal menegaskan, hasratnya untuk kembali selepas mendapat sokongan beberapa individu di dalam KOM.
“Saya bukan gila kuasa. Kalau anda tanya pihak luarpun, mereka juga pasti sudah sedia maklum tentang senario yang berlaku dalam KOM ketika ini.

“Selepas ramai meminta saya untuk kembali selepas Sukan Sea lalu, saya fikir elok juga cadangan itu. Tapi saya ingin tegaskan di sini, saya hanya akan kembali jika benar-benar ramai yang mahukan saya kembali semula,” katanya yang ketika ini memikul tugas sebagai Naib Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Jelas Danyal, hasrat untuk kembali ke KOM semakin membuak-buak selepas kesal melihat salah seorang atlet olahraga negara yang memenangi pingat pada temasya Sukan Sea lalu, positif ujian doping sampel A seperti yang dilaporkan media baru-baru ini.
“Bukan itu saja, banyak sebenarnya perkara lain perlu diperbetulkan semula. Segala-galanya adalah soal ketelusan, saya mahu bersikap telus andai diberi amanah memikul jawatan di KOM,” katanya. Ditanya mengenai situasi KOM ketika ini, Danyal tanpa berselindung menegaskan beliau benar-benar kecewa, terutama soal pembangunan atlet yang seolah-olah masih mengharap atlet senior untuk menuai pingat emas seperti yang berlaku di temasya Sukan Sea lalu.

“Dulu sukan Olahraga menjadi sukan yang amat dihormati, malah atlet kita ramai yang menjadi jaguh di peringkat Asia. “Apa yang berlaku sekarang? Kemungkinan besar Sukan Sea seterusnya tak ada wakil yang akan bertanding,” katanya.
Ditanya pula pendapatnya mengenai Karim yang dikatakan sering mencetuskan kontroversi dalam KOM, Danyal berkata: “Saya amat kenal dia, dia seorang bermasalah. Semua ini ada agenda tersembunyi, bukan benar-benar mahu membangunkan atlet.” Ketika eranya bersama KOM yang dahulunya dikenali Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) bermula 2001 hingga 2006, Danyal adalah individu yang bertanggungjawab dalam menyediakan kertas kerja untuk jangka masa 10 tahun untuk atlet olahraga yang kemudiannya mendapat sokongan Jawatankuasa Kabinet untuk sukan pada 2002.

Antara objektif utama kertas kerja itu ialah untuk melahirkan sekurang-kurangnya dua atlet olahraga layak beraksi di final Sukan Olimpik London pada tahun ini.

Namun selepas beliau tewas dalam perebutan jawatan Presiden kepada Shahidan pada 2006, rancangan kertas kerja itu tidak diteruskan selepas eranya meskipun ia sudah dilaksana selama kira-kira dua tahun.

Jayabalan harap sampel B doping anak buah negatif (6.1.2012)

MASIH ada sekelumit harapan ditanam jurulatih kuartet negara, K Jayabalan agar sampel B doping yang diuji di India membabitkan atlet bimbingannya negatif.
Biarpun harapan itu sangat tipis, beliau enggan berputus asa kerana sedar kesilapan itu akan memusnahkan karier anak didiknya.

Mengakui kecewa kerana perkara sebegini tidak pernah berlaku selepas hampir 30 tahun membimbing atlet olahraga, Jayabalan kini mengambil pendekatan tunggu dan lihat dan hanya akan tampil memberi penjelasan selepas keputusan ujian itu diumum, minggu depan.
Daripada digelar ‘zero’ dan bergelar ‘hero’ kuartet 4x400m yang meraih emas di Sukan Sea November lalu sekali lagi berdepan ranjau apabila salah seorang daripada anggotanya dikatakannya positif ujian doping.

“Saya tidak tahu sama ada mahu percaya atau tidak kerana langsung tidak dimaklumkan berhubung perkara itu.

“Saya sangat sedih dan kecewa kerana tidak menyangka perkara ini boleh terjadi. Mereka berkerja keras dan banyak berkorban untuk sampai ke tahap ini.
“Saya tidak boleh menggambarkan betapa kecewanya saya saat ini. Ketika mereka menelefon saya untuk memaklumkan kemenangan di Palembang, sayalah yang paling gembira. “Tapi kini sayalah yang paling sedih. Mereka masih muda. Masih banyak yang mahu dikejar dan banyak perancangan dan persiapan ke Sukan Asia akan terjejas untuk atlet-atlet ini,” katanya yang pernah membimbing atlet seperti Datuk Paduka Mumtaz Jaafar, Nordin Jadi dan ramai lagi atlet.

Jayabalan yang berusia 65 tahun berkata, apa yang terjadi akan memusnahkan masa depan atlet ketika mereka berada di puncak kejayaan.
Hingga semalam, Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) Datuk Seri Shahidan Kassim dan timbalannya, Datuk Karim Ibrahim gagal dihubungi untuk memberi penjelasan.

Kejayaan kuartet itu terhasil daripada usaha keras tiga jurulatih - Jayabalan yang dibantu Hambri Mahat dan S Thambu Krishnan namun dengan apa yang terjadi, Jayabalan berkata biarlah dia menggalas tanggungjawab itu sepenuhnya.

Jayabalan bagaimanapun tidak mahu perkara ini diperbesarkan dan tidak mahu memberi komen lanjut hingga keputusan dikeluarkan.

Selasa lalu, dua atlet negara yang meraih pingat pada temasya Sukan Sea Indonesia, November lalu menerusi acara olahraga dan angkat berat, didapati positif ujian doping sampel A. Perkara itu disahkan Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Sieh Kok Chi yang bagaimanapun enggan memaklumkan identiti atlet terbabit sehingga keputusan sampel B diketahui minggu depan dengan surat bertarikh 21 Disember 2011 sudah dikeluarkan kepada dua persatuan itu.

Buat siasatan terperinci (6.1.2012)

DUA atlet negara yang didapati positif ujian doping sampel A pada temasya Sukan Sea lalu perlu diberi peluang memberi penjelasan selepas keputusan sampel B yang diuji di India, diperoleh.
Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Sieh Kok Chi berkata, persatuan sukan perlu mengadakan satu siasatan bagi membolehkan atlet terbabit memberi penjelasan.

“Selepas atlet memberi penjelasan, laporan mengenainya mesti dihantar kepada persatuan sukan antarabangsa masing-masing sebelum sebarang tindakan boleh diambil.
“Pada masa ini, iaitu sebelum keluarnya keputusan sampel B, persatuan sukan tidak boleh mengambil apa-apa tindakan,” katanya.

PABM tegas (6.1.2011)

PERSATUAN Angkat Berat Malaysia (PABM) tidak akan berkompromi berhubung isu penyalahgunaan dadah berikutan kegagalan atlet mereka dalam ujian doping Sukan Sea Indonesia November lepas.
Presidennya, Zafarul Akbar Kassim berkata beliau sendiri akan mengetuai siasatan persatuan berhubung laporan positif sampel A ujian doping oleh Jawatankuasa Penganjur Sukan Sea Indonesia (INASOC).

“Kita akan bertindak tegas. Sekiranya atlet terlibat dalam penyalahgunaan dadah, dia akan dihukum dan digantung.
“Malah, sekiranya ada bukti jurulatih terlibat dengan benda-benda yang tidak sihat ini, saya tidak akan teragak-agak untuk menamatkan kontrak mereka,” katanya ketika ditemui di Wisma Majlis Olimpik Malaysia (MOM), semalam.

Sambil berkata keputusan sampel B akan diketahui minggu depan, beliau enggan mendedahkan identiti atlet angkat berat terbabit.

Zafarul berkata PABM tidak boleh menghukum selagi tidak ada kepastian dan berharap keputusan sampel B berpihak kepada atlet berkenaan yang akan diberi peluang membela diri, jika perlu.
Dalam pada itu, mengenai surat yang dikeluarkan INASOC, Zafarul berkata beliau memberi reaksi segera sejurus menerima dokumen berkenaan, yang dipanjangkan oleh MOM, 22 Disember lalu.

“Bila saya mendapat panggilan daripada Datuk Sieh (Kok Chi) (Setiausaha Kehormat MOM) mengenai masalah ini, pada hemat saya, ia serius dan melibatkan maruah negara.
“Saya terus datang baca, fahami kandungan surat tersebut dan terus hubungi atlet berkenaan, dan kemudiannya terus membuat surat penjelasan pada hari yang sama kepada MOM,” katanya.

Zafarul berkata, dalam surat itu, beliau meminta agar saringan sampel B dibuka bagi mencari kepastian berhubung isu itu.

Kannathasan nafi terbabit (6.1.2012)

ISU doping yang menyelubungi kuartet 4x400 meter terus menjadi tumpuan apabila salah seorang pemenang pingat emas Sukan Sea Indonesia acara tersebut S Kannathasan menafikan bahawa beliau individu yang dimaksudkan.
Malah pelajar tahun pertama Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat Universiti Putra Malaysia (UPM) itu berharap keputusan ujian doping saringan kedua rakannya negatif agar pingat emas negara dapat dikekalkan. “Saya terkejut ketika dikhabarkan berita ini oleh jurulatih (Hamberi Mahat) pada Selasa lepas. “Ia bukannya saya. Malah saya terkilan dan bersimpati dengan masalah rakan saya ini dan biarlah keputusan rasmi menentukan,” katanya.

Bagaimanapun beliau enggan mendedahkan siapa individu yang dimaksudkan. Kannathasan berkata sekiranya ujian doping saringan kedua itu kekal positif, atlet berusia 21 tahun ini redha dengan keputusan tersebut dan tidak mahu menyalahkan sesiapa berhubung perkara tersebut. “Kita bertanding atas semangat pasukan. “Saya tahu kita berhempas pulas untuk memenangi pingat emas namun jika pingat emas Sukan Sea ini ditarik balik, saya hanya menganggap ia bukan rezeki kami,” katanya. Sehubungan itu dia berharap atlet yang dimaksudkan itu sabar menghadapi masalah ini.

Wan Ho paksa Chong Wei kerja keras (6.1.2012)

JAGUH badminton negara, Datuk Lee Chong Wei mara ke suku akhir Terbuka Korea selepas menundukkan pemain tuan rumah, Shon Wan Ho 13-21, 21-14, 21-15, semalam.
Lawan yang akan menantinya adalah pemain Jepun, Kenichi Tago yang mengalahkan pemain Singapura, Ashton Chen 21-10, 21-13, hari ini.

Namun agak mengejutkan apabila Chong Wei yang juga pilihan pertama mudah memberikan Wan Ho set pertama apabila kalah 13-21.
Menurut jurulatih perseorangan negara, Tey Seu Bock, pergerakan bulu tangkis yang perlahan menjadi punca penguasaan gelanggang Chong Wei agak longgar hingga tumpuannya terjejas.

“Sebab itu dia agak lambat menguasai gelanggang berbanding lawannya.

“Yang penting, kesilapan set pertama itu harus menjadikan Chong Wei lebih tenang dan bersabar.
“Dia tidak boleh memikirkan untuk menamatkan permainan awal sebaliknya terus dengan rentak biasa mengajak lawan bermain tiga set.

“Apapun Chong Wei pantas memperbaiki kesilapan dan dia akhirnya menamatkan permainan dengan dua set mudah selepas itu,” katanya. Sementara itu, musuh ketat Chong Wei, Lin Dan dari China pula akan menentang seorang lagi pemain tuan rumah, Lee Hyun Il untuk menentukan tempat ke suku akhir.
Bagaimanapun agak malang bagi pasangan beregu negara, Koo Kien Keat dan Tan Boon Heong apabila gagal ke suku akhir selepas tewas di pusingan kedua kepada beregu bukan pilihan dari Taiwan, Fang Chieh Min-Lee Sheng Mu 21-13, 20-22, 22-24.

Kekalahan mereka yang kini menduduki tangga keenam dunia mungkin menjejaskan kedudukan mata ranking untuk layak ke Sukan Olimpik London, Julai ini.

Habuan RM1j? (6.1.2012)

SKUAD bawah 23 tahun negara yang membawa pulang ‘ibu emas’ Sukan Sea dari Jakarta November lalu bakal menerima habuan terbaru apabila cadangan pemberian insentif RM 1 juta Telekom Malaysia (TM) bakal dikemukakan kepada Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Sultan Ahmad Shah sedikit masa lagi.
Menurut Setiausaha Agung, Datuk Azzuddin Ahmad, draf cadangan pemberian insentif itu sudah lengkap dan hanya menunggu kelulusan Sultan Ahmad Shah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kewangan FAM.

“Kami sudah membuat cadangan mengenai insentif itu dan akan diserahkan kepada Tuanku untuk mendapat perkenan terlebih dulu. Ketika ini Tuanku masih lagi berada di luar negara, selepas Tuanku pulang, perkara ini akan dimaklumkan kepadanya,” katanya.
Azzuddin berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ketua Pegawai Pemasaran TM, Datuk Rozalila Abdul Rahman yang disiarkan Arena Metro semalam bahawa syarikat peneraju jalur lebar serta maklumat dan komunikasi itu tidak mempunyai masalah untuk menyumbangkan peruntukan insentif RM 1 juta kepada skuad juara Sukan Sea kendalian Ong Kim Swee.

Bagaimanapun Rozalila berkata, peruntukan menerusi perjanjian sebagai Rakan Rasmi Pasukan Bola Sepak Kebangsaan, 8 Julai lalu itu hanya akan disalurkan selepas mendapat persetujuan FAM.

Ini kerana FAM perlu membuat keputusan sama ada skuad muda negara itu layak menerima insentif itu yang pada mulanya dikhaskan untuk skuad senior sekiranya menjuarai Piala Suzuki AFF selepas ini.
Butiran cadangan FAM itu bagaimanapun enggan dijelaskan secara terperinci oleh Azzuddin.

“Saya tidak boleh beritahu kerana ini membabitkan hal dalaman FAM bersama penaja (TM), eloklah tunggu pengumuman rasmi mengenai insentif itu nanti,” katanya.
Jika segalanya berjalan lancar, skuad B-23 negara bakal menerima habuan tambahan selepas menerima RM30,000 setiap seorang daripada Sultan Ahmad Shah atas usaha keras mempertahankan pingat emas yang dimenangi di Laos 2009.

Pada final di Jakarta, Malaysia menewaskan pasukan tuan rumah menerusi penentuan sepakan penalti 4-3 selepas terikat 1-1 dalam aksi yang berlarutan selama 120 minit.

Peluang peminat jumpa Neville (6.1.2012)

SEJAK bersara Februari lalu, tidak banyak berita mengenai bekas kapten kelab gergasi Liga Perdana Inggeris, Manchester United, Gary Neville.
Bagaimanapun kerinduan peminat tempatan terhadap pemain pertahanan legenda Red Devils itu bakal terubat apabila beliau berada di tanah air, Ahad ini.

Kunjungan Neville ke Malaysia itu dibawakan khas oleh Mister Potato dan Manchester United selepas kali terakhir beliau bertandang ke ibu negara pada Julai 2009 ketika mengikuti Jelajah Asia kelab itu.
Pelbagai aktiviti menarik sepanjang kehadiran pemain kedua paling lama beraksi dengan Manchester United itu selepas pemain sayap, Ryan Giggs diatur antaranya sesi bertemu peminat pada 12.15 tengahari hingga 1.45 petang di Sunway Pyramid, Orange Concourse Entrance, Ahad ini.

Pada 10 pagi hingga 4 petang pula, semua peminat berpeluang bergambar bersama Neville, memenangi hadiah yang ditandatangani pemain itu dan pelbagai lagi hadiah eksklusif menerusi permainan berkonsepkan bola sepak.

Program ini diatur Mister Potato hasil kerjasama dengan kelab bola sepak terbesar dunia itu bermula September lalu yang menyaksikan Mister Potato menjadi Rakan Snek Global Rasmi Manchester United.
Neville yang beraksi hampir 20 tahun bersama United dilantik sebagai kapten selama lima tahun oleh pengurus Sir Alex Ferguson. Sepanjang kariernya bersama United, beliau meraih lapan gelaran Liga Perdana, tiga Piala FA dan trofi Liga Juara-Juara Eropah. Beliau dianggap pemain pertahanan terbaik dalam generasinya oleh Ferguson.

Kenari tak risau catat keputusan hambar di Bangkok (6.1.2012)

KETUA jurulatih Kedah, Mohd Nidzam Adzha Yusoff tidak khuatir dengan beberapa siri kekalahan perlawanan ujian di Bangkok, Thailand dan juga keputusan seri ketika bertemu pasukan Liga Perdana, Perlis di Stadium Darulaman, Isnin lalu.
Menurutnya, matlamat utama perlawanan ujian ialah mengenal pasti kemampuan sebenar pemain baru dan lama.

“Apa yang merisaukan saya ialah sikap beberapa tonggak utama ketika berdepan Perlis yang tidak beraksi dengan kewibawaan sebenar dan memberi peluang kepada lawan untuk mengasak gawang kami.
“Pada babak kedua selepas menurunkan barisan muda, barulah kami mengancam benteng lawan hingga berjaya menjaringkan gol penyamaan.

“Pemain perlu sedar perlawanan ujian inilah akan membentuk kesebelasan utama yang bakal beraksi pada perlawanan Liga Super bertemu T Team di Kuala Terengganu, Selasa ini.

“Saya sudah bersemuka dengan pemain dan mereka mengetahui apa yang saya mahukan, kini tinggal beberapa hari sebelum kami memulakan cabaran musim baru,” kata Nidzam.

Taruhan Bujang Senang (6.1.2012)

REPUTASI penjaring terbanyak dalam Liga Romania dengan purata antara 16 hingga 20 jaringan semusim dua atau tiga tahun lalu, menyaksikan pemain import Sarawak dari Cameroon, Kalle Sone dijangka menjadi peledak utama pasukan dalam persaingan Liga Super musim ini.
Di samping itu, penyerang berusia 28 tahun itu turut mencatat rekod selaku penjaring terbanyak dalam sejarah kelab bola sepak Romania sebelum ke Sarawak selepas kontrak dengan kelab terakhir CS Otopeni berakhir.

Ketua Jurulatih skuad Bujang Senang, Robert Alberts berkata, Sone memiliki kawalan bola yang baik, pantas serta boleh membuat hantaran tepat kepada rakan sepasukan.
“Dia juga boleh disifatkan berbahaya kepada pasukan lawan sekiranya melakukan sepakan percuma di luar kotak penalti,” katanya.

Alberts berkata, pemain importnya itu sudah membuktikan kemampuan ketika perlawanan persahabatan di Bandung, Indionesia selepas menjaringkan empat gol.

“Malangnya dia tidak dapat beraksi ketika menentang Sabah dalam dua perlawanan persahabatan kerana mengalami kecederaan tetapi kini Sone sudah cergas sepenuhnya dan bersedia menggalas cabaran sebaik sepak mula Liga Super musim baru minggu depan,” katanya.
Sementara itu, Alberts mengingatkan pemain supaya tidak mengambil mudah pasukan Kuala Lumpur yang akan ditentang dalam perlawanan pertama Liga Super, Selasa ini.

“Sesiapa saja yang bakal dihadapi, sama ada pasukan itu terkuat atau dilabel lemah, kami tidak seharusnya mengambil sikap sambil lewa kerana dalam bola sepak apapun boleh berlaku.”

Johor FC siap sedia menyengat (6.1.2012)

JIKA musim lalu persiapan Johor FC sering diganggu kecederaan beberapa pemain tonggak, pada saingan musim baru Liga Super masalah itu sudah tidak timbul dan bersedia mengharungi aksi pertama, Selasa ini.
Pembimbing baru skuad Lebah, K Devan boleh mengukir senyuman apabila kesebelasan utama yang akan beraksi menentang PKNS Selangor di Stadium Petaling Jaya nanti sudah dikenalpasti.

Biarpun persiapan terakhir sedikit tercalar dek kekalahan tipis 0-1 kepada Lions XII di Stadium Jalan Besar, kelmarin, ia nyata tidak menyentap semangat Devan untuk membentuk barisan mantap pada saingan liga elit domestik itu.
Bagi Devan ketiadaan dua tenaga impot dari Brazil, Tito Fernando Da Silva Pinta dan Tiago Lima Leal yang dilarang FAM menjejaskan perancangan awal bekas jurulatih Selangor itu.

“Kehilangan mereka menjejaskan taktik yang dirancang tapi kami terpaksa menerima keputusan FAM tapi saya yakin Johor FC mampu mengharungi saingan Liga M musim ini.

“Sama ada dua pemain impot baru akan diserap April ini, semuanya terserah kepada keputusan pengurusan dan juga bergantung kepada kemampuan pemain tempatan,” katanya.
Devan yang menggantikan Azuan Zain yang kini bersama NS Betaria FC lega dengan kemampuan pemainnya ketika menentang Lions XII biarpun tidak menurunkan Mohd Riduan Maon dan Ismail Suboh yang mengalami kecederaan.

Katanya, kehadiran Mohd Khairunisam Shahabudin bergandingan bersama Mohd Khairul Ismail agak berkesan di posisi pertahanan dan berjaya mengekang asakan lawan.

Hai O tak duga dipilih kapten ATM (6.1.2012)

HAIRUDDIN Omar tidak menduga dipilih sebagai kapten pasukan Angkatan Tentera dalam saingan bola sepak Liga Perdana bermula Isnin ini.
Hairuddin, 32 atau lebih dikenali dengan panggilan Hai-O berterima kasih kepada pengurusan dan ketua jurulatih pasukan, B Sathianathan kerana memberi kepercayaan kepadanya memakai kain lilitan ketua pasukan.

“Saya tidak menduga diberi penghormatan mengetuai pasukan yang mempunyai ramai pemain bintang ini dan tugas ini saya anggap paling berat dan penuh cabaran.
“Namun saya sedia memikul cabaran itu dengan harapan membawa pasukan mencapai sasaran musim ini,” kata pemain berasal dari Terengganu itu.

Pemilihan Hairuddin memang kena pada tempatnya berdasarkan pengalamannya beraksi di peringkat antarabangsa dan liga tempatan.

Selaku penyerang, dia pemain pertama di negara ini yang membuat hatrik ketika membantu dua pasukan berlainan muncul juara Piala Malaysia musim 2009, 2010 dan 2011.
Pada 2009 dia mewakili Negeri Sembilan, pada 2010 mewakili Kelantan dan musim lalu sekali lagi mewakili Negeri Sembilan yang menyaksikan gol jaringannya membawa Negeri Sembilan menjuarai kejohanan untuk kali kedua.

Sementara itu, Sathianathan berkata, Hairuddin dipilih kerana berpengalaman luas di samping mempunyai taraf disiplin tinggi serta disegani lawan dan rakan sepasukan.
“Secara peribadi saya mengenali Hairuddin sejak zaman remajanya dalam skuad kebangsaan dan skuad olimpik negara satu ketika dulu,” katanya.

“Kehadirannya sebagai kapten memudahkan saya berkomunikasi dengan setiap pemain di dalam dan luar padang,” katanya lagi.

Selain Hairuddin, pengurusan juga melantik pemain tengah yang juga bekas pemain Johor FC, Rezal Zambery Yahya sebagai pembantu Hairuddin.

“Kami harap semua pemain memberi sokongan kepada mereka dalam mengharungi kejohanan musim ini,” kata Sathianathan.

Tugas Tentera bermula apabila menunggu NS Betaria FC di Stadium MPPJ pada perlawanan pembukan tirai.

Visi baru Shakir (6.1.2012)

SEKALIPUN sedar cabaran sengit bakal diharungi sepanjang saingan Liga Malaysia musim ini, namun penyerang muda Negeri Sembilan, Ahmad Shakir Md Ali tetap bertekad menjadikan medan perjuangan itu sebagai landasan mengukir nama selaku pemain disegani selain membantu pasukan mengekalkan mahkota kejuaraan Piala Malaysia.
Pemain berusia 22 tahun itu yang mula menyerlah ketika bersama skuad Harimau Muda kendalian Mohd Azraai Khor Abdullah yang kini mengendalikan skuad Hoben Jang Hoben sudah sedia fizikal dan mental untuk menggalas cabaran pasukan.

Shakir berazam memberi persembahan terbaik sebaik tirai saingan bermula apabila Negeri Sembilan menentang Kelantan dalam perebutan Piala Sultan Ahmad Shah, di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.

Pengajaran buat United (6.1.2012)

LONDON: Newcastle membuatkan Manchester United menanggung kekalahan Liga Perdana kali kedua berturut-turut semalam sekali gus memberikan sedikit kelebihan cukup bermakna buat Manchester City dalam perebutan kejuaraan.
Gol menerusi Demba Ba, Yohan Cabaye dan jaringan sendiri Phil Jones menghadiahkan kemenangan 3-0 untuk Newcastle di St James Park yang mengakibatkan United terlepas peluang berkongsi mata dengan City di tangga teratas liga.

Kekalahan itu bermakna United yang tumpas kepada Blackburn di Old Trafford pada aksi minggu lalu kini ketinggalan tiga mata di belakang City selepas pendahulu liga itu mengalahkan Liverpool 3-0 di Eastlands, kelmarin.
“Mereka memperoleh dua gol menarik yang meletakkan mereka dalam kedudukan selesa dan sukar untuk dikalahkan,” kata pengurus United, Sir Alex Ferguson.

“Kami mempunyai peluang dan kini City pula yang memperoleh kelebihan. Kami biasanya tidak akan tewas dua perlawanan berturut-turut tambahan pula kami mempunyai beberapa pemain utama semula.

“Ia bukan masanya untuk menekan butang panik, kami mempunyai pengalaman berdepan situasi sebegini. Kami perlu kembali memperbaiki prestasi untuk meraih kemenangan semula.” Pada babak pertama, kedua-dua pasukan mencipta peluang dengan tandukan penyerang Dimitar Berbatov terkena tiang pada minit ke-15 manakala rayuan Newcastle untuk mendapat sepakan penalti tidak diendahkan pengadil, Howard Webb selepas Rio Ferdinand dijatuhkan oleh Ba.
Kebuntuan akhirnya terlerai di minit ke-33 apabila sepakan jauh penjaga gol Newcastle, Tim Krul menemui Shola Ameobi yang kemudian mengumpan kepada Ba yang melakukan voli menewaskan Anders Lindegaard.

Gol kedua pasukan tuan rumah hadir menerusi sepakan percuma Cabaye yang melencong ke penjuru gawang Lindergaard yang diturunkan menggantikan penjaga gol utama, David De Gea.
Rooney yang diketepikan atas masalah disiplin ketika tewas di tangan Blackburn oleh Ferguson sekali lagi menerima tamparan hebat apabila digantikan 15 minit sebelum permainan tamat.

United tambah derita di penghujung permainan apabila sepakan Krul mengelirukan pertahanan lawan sehingga menyebabkan Jones tertanduk ke gawang sendiri menjadikan kedudukan 3-0. - AFP

City terpaksa jual pemain (6.1.2012)

MANCHESTER (United Kingdom): Pengurus Manchester City, Roberto Mancini mungkin akan membeli pemain baru bagi menguatkan pasukannya pada tempoh perpindahan pemain Januari ini namun ia hanya mampu dilakukan jika mereka boleh menyingkirkan beberapa pemain terlebih dulu.
City dilapor mencari pemain di bahagian tengah apabila bintang Ivory Coast, Yaya Toure dijangka meninggalkan Eastlands kerana mengambil bahagian dalam Piala Negara-Negara Afrika.

Bagaimanapun Mancini memaklumkan, kehadiran pemain baru hanya boleh dilakukan sekiranya mereka boleh menjual pemain seperti Carlos Tevez, Nedum Onouha dan Wayne Bridge.
Tevez yang tidak beraksi untuk City sejak insiden pergaduhan dengan Mancini ketika Liga Juara-Juara menentang Bayern Munich September lalu dikaitkan dengan perpindahan ke AC Milan selain beberapa kelab lagi turut menyatakan minat terhadap penyerang itu.

“Kami perlu menjual tiga atau empat pemain dengan Tevez kini semakin hampir meninggalkan kelab ini dalam tempoh tiga atau empat hari lagi dan mungkin juga Bridge. Kemudian barulah kami boleh mencari pemain lain,” kata Mancini.

“Kami harap perpindahan Tevez berjalan lancar demi kebaikan kelab dan dirinya. Ada dua atau tiga pasukan di Itali, satu pasukan di Perancis serta satu lagi pasukan lain turut berminat dan saya harap dia akan kembali bermain bola sepak.
“Kami mungkin membawa masuk pemain baru namun kami perlu menjual pemain.” Walaupun Tevez semakin hampir meninggalkan City, Mancini tidak perlu mencari penyerang pengganti memandangkan beliau masih mempunyai pemain penyerang iaitu Mario Balotelli, Edin Dzeko dan Sergio Aguero serta dibantu penyerang tengah Samir Nasri, David Silva dan Adam Johnson.

Mancini mengaku beliau berminat mendapatkan khidmat pemain tengah Roma, Daniele De Rossi namun meragui sama ada pemain Itali itu sedia untuk berpindah.
“De Rossi setaraf Toure namun dia bermain untuk pasukan hebat iaitu Roma dan dia juga dilahirkan di situ. Saya tidak tahu sama ada dia bersedia untuk berpindah,” katanya. - AFP

Gerrard inspirasi Reds: Spearing (6.1.2012)

LIVERPOOL: Jay Spearing percaya Steven Gerrard mampu memberi inspirasi kepada Liverpool untuk meraih piala ketika skuad kendalian Kenny Dalglish mahu melupakan kontroversi yang menenggelamkan juara Eropah lima kali itu.
Liverpool dikritik kerana mengeluarkan kenyataan yang menyokong kuat Luis Suarez, pemain yang digantung lapan perlawanan kerana insiden perkauman terhadap pemain pertahanan Manchester United, Patrice Evra.

Penyerang antarabangsa Uruguay itu akan terus menjalani hukuman ketika menentang kelab bahagian tiga, Oldham Athletic di Anfield untuk pertemuan pusingan ketiga Piala FA, awal pagi esok.
Namun Gerrard yang sudah meningkatkan tahap kecergasan dengan beberapa perlawanan sebelum ini sebagai pemain gantian kerana jangkitan buku lali dijangka berada dalam kesebelasan utama untuk pertama kali sejak tiga bulan lalu.

Kapten Liverpool yang penuh inspirasi itu beraksi 33 minit ketika tewas 0-3 kepada pendahulu liga, Manchester City yang juga penampilan ketiga berturut-turut Gerrard sebagai pemain gantian.

Spearing yakin rakan di bahagian tengah itu boleh menjadi inspirasi pasukannya selepas kehilangan Suarez ketika cabaran Liverpool berada di persimpangan. - AFP

Penentuan jaguh Manchester (6.1.2012)

LONDON: Persaingan merebut gelaran Liga Perdana diketepikan seketika hujung minggu ini dengan Manchester City dan Manchester United menentukan siapa yang berhak bersuara apabila bertemu dalam pusingan ketiga Piala FA, Ahad ini.
Pembalasan pastinya berada dalam minda pengurus United, Alex Ferguson dengan pertemuan hampir tiga bulan lalu dalam liga menyaksikan City mengejutkan jirannya 6-1 di Old Trafford.

Pertemuan di gelanggang City, Stadium Etihad juga adalah ulangan separuh akhir musim lalu apabila City menang dengan keputusan 1-0 sebelum meraih gelaran utama selepas 35 tahun dengan menewaskan Stoke City di final.
Musim cuti yang sibuk menyaksikan kedudukan pasukan berdepan kejutan apabila United tewas dua kali dalam lima hari kepada pasukan yang sedang bergelut, Blackburn di laman sendiri diikuti Newcastle United pada awal pagi semalam.

City pula ditewaskan menerusi gol lewat Sunderland namun aksi pertengahan minggu menyaksikan mereka menewaskan Liverpool 3-0 bagi membantu mereka mengekalkan kelebihan tiga mata di puncak liga.

Kejayaan City meledak enam gol pada 23 Oktober yang juga kekalahan terburuk United di laman sendiri sejak 1955, meletakkan mereka lima mata berada di puncak dan Ferguson menggambarkan ia adalah “hari terburuknya”. - Reuters Mancini berkata pemain tengah itu yang menjaringkan gol dan mencipta peluang kepada gol lain ketika mencatatkan kemenangan ke atas Liverpool pada Selasa, tidak boleh diganti.
“Saya cuba mencari pemain lain namun tiada Yaya yang lain dalam skuad ini,” kata Mancini. “Ia adalah kehilangan yang besar dan akan menjadi sukar kerana dia adalah pemain yang penting untuk kami dengan banyak perlawanan yang menanti.” -Reuters

‘Tidak minat Kaka, Pato’ (6.1.2012)

DUBAI: Jurulatih baru Paris Saint-Germain (PSG), Carlo Ancelotti menafikan spekulasi mengenai hasrat pasukannya untuk mendapatkan pemain perancang Real Madrid, Kaka dan penyerang AC Milan, Alexandre Pato.
Selasa lalu, sumber terdekat pemilik PSG, Qatar Sports Investments (QSI) memberitahu AFP, kelab itu sudah menyediakan dana AS$80 juta (RM251 juta) untuk mendapatkan dua bintang Brazil itu tapi Ancelotti berkata, pendahulu Ligue 1 itu tidak pernah mengadakan perbincangan dengan kedua-dua pemain terbabit.

“Pato pemain Milan,” kata pengendali dari Itali itu yang sebelum ini pernah membimbing kedua-dua pemain itu ketika menjadi jurulatih Milan.
“Dia masih terikat dengan kontrak dan sebab itu kami tidak berminat mendapatkannya.” Mengenai Kaka pula, beliau menambah: “Buat masa ini, tiada peluang untuk kami mendapatkannya. Ketika ini musim pintu perpindahan pemain dibuka dan kami beritahu kelab untuk memperbaiki pasukan sedia ada.” “Saya tidak mahu bercakap mengenai individu seperti Pato atau Kaka yang masih terikat dengan kontrak. Kami akan berusaha membeli beberapa pemain tapi dalam usaha kami mendapatkan pemain baru, pihak kelab perlu sanggup menjual pemain sedia ada.” Ancelotti menerima tamparan pada perlawanan pertamanya bersama PSG selepas anak buahnya tewas 0-1 kepada Milan hasil jaringan tunggal Pato dalam satu perlawanan persahabatan di Dubai.

Ketika ditemuramah selepas perlawanan, Pato menegaskan dia sangat gembira berada di San Siro.

“Setakat ini saya adalah pemain Milan dan hanya mahu berlatih bersungguh-sungguh untuk mengharungi musim ini,” katanya. - AFP

Tawar RM63.2 juta pikat Honda (6.1.2012)

TOKYO: Kelab Perancis, Paris Saint-Germain menawarkan 13 juta euro (RM63.2 juta) untuk mendapatkan pemain tengah Jepun yang beraksi untuk CSKA Moscow, Keisuke Honda, menurut laporan akhbar harian Jepun semalam.
Kelab Perancis itu sudah menghubungi CSKA selepas menyediakan jumlah wang terbabit untuk pemain berusia 25 tahun itu yang membantu Jepun mara ke pusingan kedua Piala Dunia 2010 dan meraih Piala Asia tahun lalu, menurut Sports Nippon yang memetik sumber PSG.

PSG cuba mendapatkan Honda pada pertengahan tahun lalu namun perpindahan itu gagal direalisasi apabila kelab Russia itu meletakkan yuran berjumlah 25 juta euro (RM121.7 juta).
Kontrak Honda bersama pasukan terbabit akan tamat pada Januari tahun depan.

PSG yang dimiliki Qatar Sports Investments (QSI) menggunakan kedudukan kewangan yang kukuh untuk mendapatkan pemain yang mempunyai nama besar dan turut dikaitkan dengan bekas kapten England dan bintang terkenal dunia, David Beckham yang dilapor menolak tawaran kerana alasan keluarga.

Sumber terdekat QSI memberitahu AFP di Paris, mereka turut menyediakan 61.5 juta euro (RM247.7 juta) untuk penyerang AC Milan, Alexandre Pato dan perancang Real Madrid, Kaka.
Sesetengah kelab utama Inggeris termasuk Liverpool, Arsenal dan Aston Villa turut berminat mendapatkan Honda pada Piala Asia, Januari tahun lalu apabila dia dinamakan sebagai pemain paling berharga kejohanan itu.

Juventus dilapor mengadakan perbincangan dengan CSKA Moscow pada Jun berhubung pemain tengah itu.
Selepas empat tahun bersama gergasi Liga-J, Nagoya Grampus dan dua tahun di kelab Belanda, VVV Venlo, Honda menyertai CSKA pada Januari 2010 dan menjadi pemain pertama Jepun mara ke suku akhir Liga Juara-Juara. - AFP

Namibia guna CAS singkir Burkina Faso (6.1.2012)

JOHANNESBURG: Cubaan Namibia menyingkirkan Burkina Faso pada saingan Piala Negara-Negara Afrika bermula hari ini di Mahkamah Timbang-Tara untuk Sukan (CAS) di Lausanne.
Burkina meraih kemenangan meyakinkan pada pusingan kelayakan untuk menempah tiket ke kejohanan itu yang berlangsung pada 21 Januari hingga 21 Februari di Gabon dan Equatorial Guinea tapi pegawai Namibia percaya Burkina berjaya melepasi pusingan itu selepas membariskan pemain yang tidak layak untuk bermain.

Status pemain pertahanan kelahiran Cameroon dan menetap di Republik Czech, Herve Zengue masih diragui selepas Burkina mendakwa Zengue mendapat kerakyatan selepas berkahwin dengan wanita tempatan.
Zengue bermain kedua-dua perlawanan menentang Namibia yang menyaksikan Burkina Faso menang 4-0 di Ouagadougou dan 4-1 di Windhoek sekali gus layak ke kejohanan itu dengan diundi dalam Kumpulan B bersama pasukan pilihan, Ivory Coast, Angola dan Sudan. Tetapi Namibia mendakwa, peraturan Fifa hanya membenarkan pemain bertukar mewakili negara lain jika kedua-dua ibu bapa atau datuk dan neneknya dilahirkan di negara itu atau pemain terbabit sudah bermastautin sekurang-kurangnya selama lima tahun. Meskipun Zengue tidak memenuhi kriteria itu, Konfederasi Bola Sepak Afrika (CAF) sudah menolak dua rayuan Namibia kerana kesilapan teknikal cara bantahan itu diserahkan. Jurulatih Burkina Faso, Paulo Duarte menggugurkan Zengue daripada skuad sedia ada untuk saingan Piala Negara-Negara Afrika meskipun dia menyenaraikan tiga pemain kelahiran Ivory Coast.

Pegawai CAF terus membisu mengenai rayuan kepada CAS sementara Namibia berkata jika cubaan mereka berjaya, mata daripada pusingan kelayakan ketika menentang Burkina Faso perlu diberikan kepada mereka. - AFP

Messi, Fabregas julang Barcelona (6.1.2012)

MADRID: Lionel Messi dan Cesc Fabregas masing-masing meledak dua jaringan untuk membantu Barcelona membelasah Osasuna 4-0 di Nou Camp pada perlawanan pertama, pusingan kelima Piala Raja Sepanyol, kelmarin.
Juara Sepanyol dan Eropah itu mendominasi seteru La Liga itu sejak awal hingga wisel penamat dan kemenangan itu lebih manis buat Messi yang hadir sebagai pemain gantian menambah dua gol selepas dua jaringan separuh masa pertama oleh bekas kapten Arsenal, Fabregas.

Terdahulu Barca menyatakan Messi mungkin terlepas perlawanan itu akibat deman dan selesema namun doktor di kelab itu mampu mengatasinya untuk membolehkan bintang Argentina yang juga Pemain Terbaik Dunia menggantikan Pedro pada setengah jam terakhir.
Fabregas meletakkan tuan rumah di depan pada minit ke-13 dan menggandakan kedudukan lima minit kemudian dengan mengawal baik bola sebelum membuat lambungan menarik melepasi penjaga gol Osasuna, Asier Riesgo.

Messi melakukan tandukan yang jarang dihasilkannya ketika aksi berbaki 20 minit sebelum menyudahkan hantaran Xavi, peluang ketiga yang dicipta pemain Sepanyol itu dari penjuru kotak penalti sebelum melepaskan rembatan ke penjuru gawang.

Sekiranya mampu mengelak sebarang keputusan luar jangkaan pada aksi timbal balik minggu depan, Barca akan berdepan musuh tradisi, Real Madrid pada suku akhir, pasukan yang menewaskan mereka 1-0 pada final tahun lalu dan bangkit selepas ketinggalan dua gol untuk menewaskan Malaga 3-2 pada pusingan kedua, Selasa lalu. - Reuters

Federer, Nadal makin berbisa (6.1.2012)

DOHA: Roger Federer dan Rafa Nadal berada di landasan tepat untuk bertemu di final ATP musim apabila kedua-dua pemain itu mara ke suku akhir Terbuka Qatar, semalam.
Federer penyandang rekod grand slam dari Switzerland mempamerkan aksi cantik dan mengagumkan untuk melakar kemenangan kedua apabila menewaskan pemain kelayakan dari Slovenia, Grega Zemlja, 6-2, 6-3 hanya dalam tempoh satu jam.

Nadal juara Terbuka Perancis dari Sepanyol mempamerkan aksi lebih hebat berbanding perlawanan pertamanya untuk menundukkan Denis Gremelmayr, pemain kidal dari Jerman 6-2, 6-2.
Beraksi lebih banyak perlawanan rali yang sukar, dia memerlukan tempoh lebih dari setengah jam berbanding Federer.

Walau bagaimanapun Nadal melakukan tugas dengan baik untuk mencapai objektif tahun barunya dengan beraksi lebih agresif selain menggunakan kepala raket yang lebih berat.

“Saya turut cuba untuk mengembalikan servis yang lebih baik,” katanya.
“Perkara paling teruk yang saya lakukan tahun lalu adalah pukulan balas. Saya gembira dengan pukulan balas saya hari ini (semalam).

“Beberapa perkara berlaku dengan baik. Saya merasa selesa dengan keberatan raket yang digunakan dan ia amat penting. Federer bermula dan menamatkan perlawanan dengan pantas.
Dia mendahului 3-1 dan selepas menyelamatkan dua break point pada perlawanan ketujuh, dia kembali mengukuhkan kedudukan dengan pukulan lebih tepat untuk meraih 14 mata berturut-turut.

Dia ditanya bagaimana cara dia berjaya mengatasi keadaan cuaca yang sering berubah-ubah dan mempamerkan aksi mengagumkan dia berkata: “Jangan kecewa.” “Saya menjadi seorang yang sangat emosi ketika masih muda tapi selepas membesar di Switzerland apabila kami tidak dapat melihat keadaan cuaca berangin seperti itu dan kami kemudiannya lebih banyak bermain di dalam bangunan.

“Memang sukar untuk belajar bermain dalam keadaan cuaca berangin. Tapi saya banyak menjalani latihan di tempat yang berangin dan itu tidak lagi mengganggu saya.

Lawan Federer seterusnya Mikhail Youzhny, salah seorang daripada bekas rakan sepelatihnya.

Manakala Nadal akan menentang Andreas Seppi, pilihan kelapan dari Itali yang menewaskan pemain Sepanyol Guillermo Garcia-Lopez, 7-5, 6-3. - AFP

Oosthuizen tekad beri impak (6.1.2012)

LONDON: Juara Terbuka British 2010, Louis Oosthuizen, meletakkan sasaran untuk melakarkan impak dalam saingan Jelajah PGA musim ini selepas menempuhi aksi mengecewakan tahun lalu.
Pemain berusia 29 tahun dari Afrika Selatan akan memulakan musim ini apabila turun mempertahankan gelaran Terbuka Afrika minggu ini dan beraksi di Jelajah Eropah di Kejohanan Volvo Golf di George, Afrika Selatan 19 Januari.

Dia merancang untuk berehat selama beberapa minggu selepas isterinya selamat melahirkan bayi kedua mereka hujung Januari sebelum memulakan kempen di Jelajah PGA.
“Musim ini saya akan memberi tumpuan yang lebih di Amerika. Saya merasakan bahawa saya perlu memberi peluang lebih baik kepada diri sendiri. “Saya tidak boleh mengulangi apa yang berlaku tahun lalu kerana saya tahu saya tidak bermain dengan baik. Saya mahu berada di sana apabila saya dapat bermain dengan baik untuk menyaksikan apa yang boleh di capai di sana,” katanya.

Oosthuizen cukup kecewa bila berada di ranking 148 dan keputusan untuk lebih banyak beraksi di Amerika berbanding Eropah akan membantunya untuk lebih bersedia apabila menyertai Masters April ini selepas gagal membuat penampilan tahun lalu.

“Ia adalah percubaan untuk kembali mendapatkan rentak permainan yang terbaik di kejohanan utama dan dunia. Pertandingan pertama saya adalah WGC Match Play dan kemudiannya Honda dan Cadillac. Kejohanan yang dapat membantu saya membuat persediaan untuk kejohanan Masters,” katanya.
“Saya sukakan Augusta tapi setiap kali saya bermain di sana, fokus saya adalah tepat tapi permainan saya sebaliknya. Kali ini saya berharap keputusan akan lebih baik,” katanya. - Reuters

Valverde sasar tebus aib di Tour de France (6.1.2012)

MADRID: Pelumba Sepanyol yang didapati menipu menggunakan dadah, Alejandro Valverde mensasarkan untuk mencatatkan kemenangan di Tour de France tahun ini apabila pasukannya Movistar membuat pengesahan mengenai penyertaannya.
Movistar yang sebelum ini menangguhkan majlis pada November lalu apabila pelumba berusia 31 tahun dan juara Jelajah Sepanyol 2009 masih lagi belum tamat tempoh penggantungan.

Valverde bersama-sama juara bertahan Jelajah Sepanyol, Juan Jose Cobo akan mengetuai pasukan itu menolak untuk menjawab soalan mengenai penggantungannya itu kerana mahu memberi fokus kepada cita-citanya selepas kembali semula.
“Saingan Classics akan membantu saya membuat sedikit persediaan untuk mencapai sasaran di Tour de France,” kata Valverde yang akan berlumba bersama Movistar sebelum ini bersama Caisse d’Epargne.

“Saya masih lagi kekurangan stamina biarpun saya berlatih dengan keras,” kata Valverde yang berlatih bersama Movistar ketika dalam penggantungan. - AFP

Peterhansel pamer belang kuasai peringkat keempat (6.1.2012)

CHILECITO, Argentina: Legenda Rali Dakar dari Perancis, Stephane Peterhansel muncul pendahulu kategori kereta kelmarin selepas memenangi pusingan keempat dengan jarak sejauh 326 kilometer dari San Juan ke Chilecito.
Pemandu berusia 46 tahun itu yang juga pemenang enam kejuaraan motosikal Dakar dan tiga kejuaraan kategori kereta, melalui hari yang malang pada Selasa lalu selepas tayarnya pancit sebanyak dua kali tetapi sehari selepas itu, nasib tidak memihak pula kepada juara bertahan dari Qatar, Nasser Al-Attiyah.

Pemandu berusia 31 tahun itu terjatuh selepas mengharungi laluan sejauh 288km dan hanya kembali beraksi selepas berhenti selama 15 minit. Ketika Nasser berdepan masalah itu, Peterhansel menamatkan perlumbaan dengan kelebihan catatan masa 5 minit 19 saat, di depan pemandu dari Argentina, Orlando Terranova sementara pemandu Toyota dari Afrika Selatan, Giniel De Villiers ketiga. Juara bertahan kategori motosikal, Marc Coma memenangi perlumbaan sekali gus membalas semula hari yang agak malang pada Selasa lalu selepas terpaksa melepaskan kedudukan keseluruhan. Penunggang berusia 35 tahun yang menunggang jentera KTM itu menamatkan perlumbaan dengan kelebihan 2 minit 2 saat, di depan seteru utama, Cyril Despres dari Perancis yang masih kekal sebagai pendahulu keseluruhan. - AFP

Korban pemain (6.1.2012)

SKUAD sepak takraw negara terpaksa ‘bekerja lebih masa’ pada sebelah malam bagi menghadapi Siri Super Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) Kedua di Indonesia pada penghujung bulan depan.
Barisan enam pemain kendalian ketua jurulatih negara, Jamaluddin Hassan yang cuba membuka lembaran baru selepas dikecam hebat pelbagai pihak berikutan pencapaian buruk tahun lalu bagaimanapun terus dihimpit masalah.

Difahamkan sesi latihan kendalian Jamaluddin yang bermula beberapa hari lalu di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil terpaksa dijalankan pada sebelah malam berikutan masalah pelepasan majikan yang dihadapi pemain.
Lima pemain yang dikekalkan untuk saingan di Indonesia masih terikat dengan tugas masing-masing kecuali apit kiri negara, Mohd Farhan Adam yang bermain sepenuh masa.

Lima pemain terbabit adalah Norshahruddin Mad Ghani, Faizul Hairy Osman, Mohamad Fazil Mohd Asri, Tunku Noor Azwari Tunku Ishak dan Hanafiah Dolah.

“Ia agak memenatkan kerana terpaksa menjalani latihan dalam tempoh beberapa jam pada sebelah malam selain menjalankan tugas seperti biasa pada siang hari,” menurut salah seorang pemain yang enggan mendedahkan namanya.
Tambahnya, dia tidak mengetahui tempoh sebenar bagi mendapat pelepasan terbabit namun tetap bersedia memberikan aksi terbaik untuk skuad negara selagi diperlukan.

Masalah terbabit seharusnya tidak membelenggu pemain negara yang semakin kesuntukan masa membuktikan kemampuan di pentas antarabangsa.
Seharusnya ketika ini tumpuan penuh harus dipusatkan kepada usaha untuk memantapkan corak permainan dan persembahan terutamanya selepas sekadar membawa pulang dua pingat gangsa di Sukan Sea Indonesia, November tahun lalu.

Azizul harap tuah 2012 (6.1.2012)

MENYAMBUT ulang tahun kelahiran yang ke-24 semalam, jaguh lumba basikal negara, Azizulhasni Awang (gambar) mengharapkan tahun 2012 akan memberikan satu kenangan indah yang tidak akan dilupakannya.
Fokusnya kini hanya satu iaitu untuk bergelar atlet pertama negara menghadiahkan pingat emas buat negara di temasya sukan terbesar dunia, Olimpik yang bermula dari 27 Julai hingga 12 Ogos ini.

Justeru latihan kini terarah kepada mencari kekuatan kayuhan untuk bangkit menguasai kedudukan carta Piala Dunia dalam acara keirin dan pecut.
Azizul mengharapkan 2012 membuka lembaran baru dengan kejadian yang berlaku ketika Siri Piala Dunia Klasik kedua di Cali apabila dia terbabit dengan kemalangan tidak akan berulang.

“Saya masih tidak fobia atau takut untuk bertanding. Prestasi saya sekarang semakin meningkat dan saya harap selepas ini nasib akan selalu baik dan dijauhi daripada kemalangan,” katanya.

Dia yang tidak turun beraksi pada siri ketiga Piala Dunia Klasik yang ketiga di Beijing pada 13 hingga 15 Januari ini berkata, jurulatih, John Beasley kini mahu memberi tumpuan khusus kepada latihan serta memperbaiki kekurangan sebelum Kejohanan Dunia, Mac ini.
“Saya tidak ke Beijing kerana mahu memberi tumpuan pada siri Piala Dunia keempat di London Februari ini. Semoga tiada kejadian tidak di ingin berulang lagi,” katanya.

Azizul bersama skuad elit yang lain terdiri daripada Josiah Ng dan Fatehah Mustapa berada dalam kedudukan selesa dari segi pungutan mata dan antara alasan mengapa Beasley mengambil pendekatan untuk memberi tumpuan kepada latihan semata-mata.

Pengarah MSN Perak perlu segera dilantik (6.1.2012)

ISU kelewatan pelantikan Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN) Perak terus mencengkam persatuan sukan yang berharap kekosongan itu diisi segera agar tidak menjejas perkembangan sukan di negeri itu.
Beberapa pegawai persatuan yang ditemui hairan kenapa ia mengambil masa terlalu lama untuk mengisinya.

“Kenapa lama sangat hendak lantik seorang pegawai. Setahu saya sudah ada calon yang ditemuduga beberapa bulan lalu.
“Kenapa sampai sekarang tidak boleh lantik beliau ke jawatan itu. Kenapa mempertaruhkan nasib sukan negeri,” kata Foo Yock Meng dari sukan renang.

Turut bimbang dengan kelewatan itu ialah Presiden Persatuan Bola Keranjang Ipoh, Bernard Hwa yang menyifatkan kelewatan itu mampu menjejas perkembangan sukan di negeri Perak.

“Perlu ada seorang bagi memantau perkembangan sukan secara sepenuh masa agar dapat menyusun program terancang dan melaksanakan segala dasar demi pembangunan sukan dan atlet.
“Saya harap kerajaan negeri melihat perkara ini dengan serius dan memberi pertimbangan sewajarnya .

“Walaupun ada exco sukan untuk menjaga hal ehwal sukan tapi takkan beliau dapat melaksanakan semua tugasan bersendirian kerana turut mempunyai tanggungjawab lain juga,” katanya.
Kerusi pengarah MSN Perak kosong berikutan perpindahan bekas pengarah, Meor Ismail Meor Akim ke Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) selepas Sukma, Kuala Lumpur lalu.

Berikutan kekosongan itu sebuah jawatankuasa pemandu diwujudkan bagi menguruskan persiapan Perak ke Sukan Malaysia (Sukma) Pahang 2012. Dua individu iaitu Burhan Shamsuddin dan Musa Dun disenarai pendekkan untuk menjalani temuduga awal November lalu namun setakat ini jawatan itu sehingga kini masih kosong.