Tuesday 29 November 2011

Hamilton yakin kekal di McLaren (30.11.2011)

SAO PAULO: Lewis Hamilton membayangkan akan terus bersama McLaren untuk tempoh yang panjang.
Kontrak juara Formula Satu (F1) 2008 dari Britain itu akan tamat pada hujung tahun depan namun dia memaklumkan kepada wartawan sudah mengadakan perbincangan berhubung penyambungan kontraknya selepas tamat saingan Grand Prix Brazil.

“(Bos) Martin (Whitmarsh) sudah berbincang dengan saya berhubung kontrak baru dan kami akan duduk berbincang lebih lanjut,” katanya.
Ditanya sama ada dia yakin akan terus kekal di situ, dia berkata: “Ya, sudah tentu saya mahu.” Rakan sepasukan Hamilton, Jenson Button yang juga juara dunia 2009 bersama Brawn GP, menandatangani kontrak lanjutan awal tahun ini dan berkata, perjanjian itu tidak mungkin yang terakhir.

Ketika Button menamatkan musim dengan baik apabila berada di tempat kedua keseluruhan, kedudukan Hamilton dalam senarai keseluruhan dipintas rakan sepasukannya buat pertama kali dalam karier permotorannya.

Tahun ini diwarnai dengan kemalangan, kontroversi dan masalah peribadi namun Hamilton yang menjuarai tiga perlumbaan termasuk di Abu Dhabi, menunjukkan tanda-tanda dia gembira dengan keputusan yang dilakar pada penghujung saingan.

“Yang penting bagi saya tahun depan adalah untuk kembali ke prestasi terbaik, kembali mencatat kemenangan dan kembali menikmati hidup,” kata pelumba berusia 26 tahun itu yang membuat penampilan pertama bersama McLaren pada 2007. - Reuters

No comments:

Post a Comment