Tuesday 29 November 2011

Shearer sedih hilang sahabat (30.11.2011)

LONDON: Bekas kapten bola sepak England, Alan Shearer mengaku terkejut dengan berita kematian pengurus Wales, Gary Speed.
Shearer yang pernah beraksi bersama Speed di Newcastle United adalah teman rapat kepada bekas pemain tengah Wales itu yang ditemui mati tergantung dalam garaj kereta di rumahnya, Ahad lalu.

Shearer turut menceritakan dia dan Speed merancang untuk bercuti di Portugal tahun depan selepas muncul dalam rancangan “Football Focus” di stesen TV BBC.
“Saya bersamanya dan dia amat gembira dan berjenaka. Kami bergurau senda seperti biasa yang dilakukan setiap kali keluar bersama,” kata Shearer.

“Kami ketawa dan berjenaka mengenai rancangan bercuti bermain golf seperti yang kami lakukan bersama tahun lalu. Malah kami merancang untuk bercuti di Portugal musim panas akan datang bersama keluarga dan anak-anak.” Shearer berkata, mereka merancang untuk bertemu Jumaat ini.

“Kami merancang bertemu hujung minggu ini. Beliau akan ke sini bersama isteri dan tinggal di rumah saya malah kami akan menggunakan kesempatan itu untuk menghadiri majlis makan malam amal pada Jumaat dan Sabtu.

“Kami meninggalkan studio jam 2.30 petang dan terus ke Old Trafford untuk menyaksikan perlawanan Newcastle. Saya berjabat tangan dan saya katakan kita jumpa lagi hujung minggu depan, malangnya saya tidak dapat bertemunya lagi.

“Amat sukar. Saya masih kelu dan terkejut seperti orang lain. Anda mengetahuinya menerusi surat khabar dan ia tidak berlaku ke atas salah seorang rakan karib anda. Saya amat sedih dan kasihan kepada isteri, Louise serta dua anak lelaki dan ibu bapanya.” - AFP

No comments:

Post a Comment