Tuesday 31 May 2011

Induk bola sepak perlu perubahan menyeluruh (01/06/2011)

ZURICH: FIFA dituntut melakukan perubahan menyeluruh dalam struktur organisasinya walaupun presiden Sepp Blatter menafikan wujud sebarang krisis berkaitan rasuah dalam badan induk bola sepak dunia itu.

Pegawai kanan Australia yang dipimpin ahli jawatankuasa tatatertib FIFA, Les Murray berkata, organisasi itu memerlukan perubahan menyeluruh selepas deretan dakwaan berkenaan rasuah yang tercetus sejak beberapa minggu lalu hingga mencemari dunia politik bola sepak.
“Saya rasa reformasi perlu dibuat secara mendalam,” kata Murray. “Perubahan patut dibuat membabitkan struktur organisasi dan perundangan. Struktur organisasi sekarang terlalu banyak unsur politik.

“Keputusan yang dibuat berdasarkan motif politik, dan ia tidak bagus bagi organisasi ini. Itu perlu ditukar.”

Murray berkata demikian selepas penggantungan pesaing tunggal Blatter untuk kerusi presiden - Mohamed Hammam dan Naib Presiden FIFA, Jack Werner yang didakwa menawarkan sejumlah wang kepada delegasi untuk menamatkan dominasi Blatter dalam kepimpinan badan induk itu.

Penggantungan Presiden Gabungan Bola Sepak Asia (AFC), Hammam sekali gus membuka jalan kepada Blatter untuk terus memegang kerusi tertinggi FIFA itu buat penggal keempat menjelang pemilihan di Kongres FIFA, hari ini.

Hukuman ke atas Hammam dan Werner diputuskan berikutan pendedahan berkenaan salah laku beberapa ahli jawatankuasa eksekutif FIFA dengan rasuah ketika undian pembidaan tuan rumah Piala Dunia 2018 dan 2022. – AFP

Nafi FIFA hadapi krisis (01/06/2011)

Valcke sangkal dedahkan ada unsur rasuah dalam bidaan Qatar 2022

ZURICH: Presiden FIFA, Sepp Blatter yang menghadapi skandal rasuah semakin parah termasuk dakwaan Qatar ‘membeli’ hak penganjuran Piala Dunia 2022, menafikan berlakunya krisis dan menggambarkan ia sebagai masalah dalaman badan induk itu.

Blatter memulakan minggu yang menyaksikannya dia sepatutnya diundi semula sebagai presiden dengan penuh garang, mengecam media kerana bersikap biadap dan memberikan sokongan secara terbuka kepada Qatar.
Setiausaha Agung FIFA, Jerome Valcke sebelum itu mengeluarkan kenyataan menafikan kononnya dia yang mendedahkan ada unsur rasuah dalam bidaan Qatar 2022.

Tatkala semua perbualan di ibu pejabat FIFA berkisar mengenai rasuah yang menjurus ke arah krisis paling teruk yang pernah dialami sukan itu, Blatter berkata, organisasinya hanya menghadapi masalah dalaman yang boleh diselesaikan.

Ia tidak terasa pada awalnya apabila Presiden CONCACAF, Jack Warner memaklumkan mengenai kandungan emel Valcke yang mencetuskan persoalan sama ada Mohamed Hammam, yang berhasrat bertanding menentang Blatter, merasakan dia boleh membeli jawatan presiden itu seperti Qatar “membeli" Piala Dunia.

Qatar mengeluarkan penafian terhadap sebarang salah laku dan Valcke kemudian menjelaskan dia hanya bermaksud kekuatan kewangan rantau Teluk itu membolehkan Qatar melancarkan kempen lobi yang efektif.

Qatar menerima sokongan tambahan daripada Blatter pada sidang akhbar dramatik kelmarin, dengan presiden itu berkata FIFA tidak menerima sebarang bukti wujudnya isu dalam kaedah pemilihan tuan rumah Piala Dunia 2018 dan 2022.
Blatter, warga Switzerland berusia 75 tahun yang menerajui badan induk bola sepak dunia itu sejak 1998 yang menyaksikannya dia mampu menggandakan pendapatan FIFA menerusi penjualan hak siaran televisyen dan penajaan, menang tanpa bertanding pada pemilihan hari ini berikutan penarikan diri Hammam, Ahad lalu, beberapa jam sebelum warga Qatar itu digantung bersama-sama Warner kerana tuduhan Hammam membayar delegasi dari Caribbean AS$40,000 (RM120,000) untuk mengundinya.

Blatter berkata, dia kesal dengan dakwaan itu tetapi berkata masalah itu boleh diselesaikan secara dalaman.

“Bola sepak tidak berada dalam krisis,” kata Blatter. “Bola sepak berada dalam keadaan bermasalah tetapi ia boleh diselesaikan dalam keluarga kami.” – Reuters 

Lakar sejarah layak ke Liga Perdana (01/06/2011)

LONDON: Swansea City muncul kelab pertama Wales beraksi dalam liga tertinggi Inggeris sejak 1983 apabila menundukkan Reading 4-2 pada final playoff di Wembley, kelmarin.

Dua hari selepas Barcelona mengecewakan Manchester United di stadium sama untuk menjuarai Liga Juara-Juara, hatrik Scott Sinclair, termasuk dua penalti, dan gol Stephen Dobbie menjelmakan kemenangan buat Swansea dalam perlawanan yang memberi ganjaran bernilai 90 juta pound (RM450 juta) untuk kelab itu.
Swansea, yang menamatkan saingan liga Divisyen 1 di tangga ketiga di belakang Queens Park Rangers dan Norwich City, mendahului 3-0 sebaik tamat babak pertama, hasil permainan seiras Barca, tetapi Reading bangkit menerusi gol sendiri Joe Allen dan tandukan Matt Mills.

Bagaimanapun, Sinclair menyempurnakan sepakan penalti keduanya ketika permainan berbaki 10 minit, yang melegakan lebih 40,000 penyokong setia Swansea di dalam stadium dan memacu kelab itu ke saingan tertinggi buat pertama kali selepas tersingkir pada 1983.

“Ia satu penghargaan buat kelab, penyokong amat menakjubkan dan penting bagi kami membalas kepercayaan mereka dengan kejayaan ini,” kata pengurus Swansea, Brendan Rodgers yang pernah menjadi pengendali Reading tetapi dipecat pada 2009.

“Perlawanan ini cukup hebat, kami tidak bermain seperti yang kami lakukan sepanjang musim tetapi pada satu ketika, kami menunjukkan kualiti sebenar. Saya fikir kami, Norwich dan QPR akan menaikkan nama Liga Kejuaraan.”

Kejayaan itu menyempurnakan kebangkitan kelab selatan Wales itu yang sembilan tahun lalu hampir dibubarkan dan setahun kemudian memerlukan kemenangan pada hari terakhir musim untuk mengelak tersingkir ke liga bawahan bola sepak Inggeris.
Sejak itu, mereka mula menunjukkan peningkatan, berubah gelanggang dari stadium lama Vetch Field di Teluk Swansea ke Stadium Liberty dan memanjat naik tangga liga dengan corak permainan menarik.

Swansea adalah kelab Wales pertama beraksi dalam Liga Perdana Inggeris sejak liga itu diperkenalkan pada 1992 dan pemain meraikan hari bersejarah itu dengan memakai baju yang tertera nama bekas pemain, Besian Idrizaj yang meninggal dunia pada usia 22 tahun, musim lalu. – Reuters

Mahu kekal (01/06/2011)

Dua penyerang Man U tidak pasti haluan selepas sekadar jadi pemerhati di Wembley

MANCHESTER: Michael Owen merayu kepada lembaga pengarah Manchester United untuk terus kekal di Old Trafford, tetapi dia mungkin mendapati dirinya sebagai 'lebihan' pemain selepas ketua eksekutif David Gill merancang "musim panas lebih sibuk daripada biasa".

Kontrak Owen bakal tamat musim panas ini, dengan diturunkan sebagai skuad utama dalam 15 perlawanan daripada 48 penampilannya bersama United tetapi sekadar memanaskan bangku simpanan pada final Liga Juara-Juara tetapi pilihan berbanding penjaring terbanyak Liga Perdana Inggeris, Dimitar Berbatov.
Pada usia 31, karier Owen dilihat menuju ke penghujung, dan dia mengakui penyerang Mexico, Javier Hernandez adalah versi baru dirinya yang lebih baik. Namun ia bukan penghalang buat bekas penyerang kebangsaan England itu cuba mencari kontrak baru di kelab berkenaan.

"Saya mencintai setiap minit di sini," kata Owen yang menyertai perarakan piala Liga Perdana kelmarin.

"Kami mempunyai pemain, pegawai dan pengurus yang hebat, serta peminat setia yang tiada tolok bandingnya. Saya harap ia akan berterusan."

Jurang besar antara Barcelona dan United pada pertembungan final Liga Juara-Juara di Wembley menuntut perubahan besar dalam skuad kendalian Alex Ferguson andai mahu menyaingi kualiti kelab Catalan itu.

David de Gea dikatakan akan menyertai United pada harga sekitar 16 juta pound (RM80.8 juta), manakala beberapa bintang Eropah lain antaranya Luka Modric, Wesley Sneijder dan Ashley Young turut dikaitkan dengan Old Trafford.
Begitupun, selepas sekadar menjadi pemerhati pada final Liga Juara-Juara, Berbatov meminta kontraknya ditamatkan penghujung musim ini. - Agensi

Mula berkampung (01/06/2011)

SERAMAI 300 atlit sudah mula memasuki perkampungan sukan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi semalam yang dipilih sebagai perkampungan sukan Sukan Malaysia (SUKMA) yang akan membuka tirainya esok hingga 12 Jun ini.

Antara atlit yang mula mendaftar masuk ialah kontinjen Terengganu, Kelantan, Negeri Sembilan, Selangor, Sabah dan Sarawak.
Pengarah Pengurusan Sukan Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ab Jalil Abdullah berkata, semua atlit yang bertanding tiba secara berperingkat selepas dibenarkan masuk ke perkampungan sukan dua hari sebelum acara bermula.

“Sehingga hari ini (semalam), semua persiapan siap 100 peratus dan kini hanya menanti ketibaan atlit,” katanya yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pengelola SUKMA Kuala Lumpur 2011.

Abd Jalil berkata, Kolej Pendeta Za’ba yang boleh memuatkan 3,700 penghuni sudah bersedia menerima 3,336 atlit dan 1,456 pegawai yang menyertai temasya kali ini.

Peserta acara futsal dan bola tampar pantai bagaimanapun menginap di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam kerana venue acara masing-masing terletak di Shah Alam.

Pada hari pertama SUKMA esok, polo air, judo, silambam dan tenis akan membuka tirai saingan masing-masing.

Tetap dijalankan (01/06/2011)

Tumpuan atlit sukan berisiko tinggi selain ujian rambang: Zolkples

ANDAI atlit yang bertanding pada Sukan Malaysia (SUKMA) XIV Kuala Lumpur, bermula esok menganggap tiada ujian doping dijalankan sepanjang temasya itu berikutan akreditasi Pusat Kawalan Doping Universiti Sains Malaysia (USM) masih digantung Agensi Anti Doping Dunia (WADA), mereka jelas silap.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong sebaliknya mengesahkan ujian doping tetap dijalankan dengan tumpuan kepada atlit sukan berisiko tinggi, selain ujian rambang bagi memastikan mereka yang bertanding bebas daripada penggunaan dadah perangsang prestasi.
“Ujian doping seawal peringkat SUKMA penting bagi memastikan atlit muda negara benar-benar bersih daripada bahan terlarang sebelum mewakili Malaysia di peringkat antarabangsa.

“Jadi, tiada sebarang pengecualian diberikan kepada atlit yang bertanding kali ini, walaupun ia membabitkan kos yang tinggi,” katanya semalam.

Zolkples berkata, Institut Sukan Negara (ISN) yang menjalankan ujian itu akan menghantar semua sampel sama ada ke Thailand atau India untuk ujian dan sekiranya ada di antara atlit positif, pingat yang dimenangi mereka akan dilucutkan selain dirujuk kepada persatuan sukan kebangsaan masing-masing untuk tindakan.

“Semua pihak harus memahami ujian dadah bertujuan mendidik atlit, jurulatih dan pengurusan sukan di peringkat negeri serta daerah. Lagipun, pembabitan atlit dalam gejala tidak sihat ini pasti mencemarkan imej temasya ini,” katanya.

Walaupun membabitkan pertandingan di peringkat remaja, penggunaan bahan larangan dan rangsangan tidak terkecuali dan sudah dikaitkan sejak penganjuran temasya itu pertama kali pada 1986

Tiket final Piala FA untuk Terengganu (01/06/2011)

PERSATUAN Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) hanya diperuntukkan 30,000 tiket perlawanan akhir Piala FA di Stadium Nasional Bukti Jalil, 11 Jun ini, yang akan mula dijual kepada peminat negeri itu di Stadium Sultan Ismail, Kuala Terengganu, jam 10 pagi ini.

Presiden PBSNT, Datuk Che Mat Jusoh berkata, tiket bagi tempat biasa berharga RM30 manakala tempat duduk berbumbung berharga RM50.
Katanya, sebanyak 10,000 keping tiket sudah ditempah persatuan bola sepak daerah negeri itu dan baki 20,000 akan dijual kepada orang ramai.

Jumlah tiket yang sama diperuntukkan kepada Kelantan manakala 25,000 keping lagi akan dijual di Bukit Jalil bagi membolehkan peminat kedua-dua pasukan di Lembah Klang tidak ketinggalan menyaksikan perlawanan akhir itu.

“Saya mengharapkan rakyat Terengganu yang berada di Selangor dan Kuala Lumpur serta tempat lain datang beramai-ramai untuk memberi sokongan moral kepada skuad negeri ini untuk menghadapi Kelantan,” katanya.

Che Mat berkata, Terengganu yang menjulang Piala FA pada 2000 dan mara ke perlawanan akhir 2004 tetapi tewas kepada Perak, berazam untuk membawa pulang piala berprestij itu ke Kuala Terengganu musim ini dan yakin skuad bimbingan Irfan Bakti Abu Salim mampu mempamer persembahan mantap pada aksi kemuncak itu.

“Terengganu juga berdepan Kelantan bagi perlawanan Liga Super Isnin ini dan jika menang dan menduduki tempat teratas liga, ia pasti menyuntik semangat buat pemain.”

Yakin bantu Terengganu (01/06/2011)

PENJARING terbanyak Terengganu , Abdul Hadi Yahya sedikit lega kerana kecederaan kaki kirinya kian beransur pulih menjelang pertemuan dengan Kelantan di Kuala Terengganu dalam saingan Liga Super, Isnin ini.

Penyerang itu memberi jaminan untuk melakukan yang terbaik bersama rakan sepasukan agar Kelantan dapat ditumbangkan di depan penyokong setia bagi menebus kekalahan kepada Kedah 0-1 yang menyebabkan Kelantan mengambil alih tangga teratas liga.
Abdul Hadi berkata, kecederaan yang dialaminya ketika bertemu Pahang minggu lalu menyebabkan dia sukar bergerak untuk melakukan rembatan tepat ke gawang lawan.

“Saya sudah bersedia untuk mengalas tugas sebagai penggempur dan yakin dapat menjaringkan gol bagi membantu Terengganu mencatat kemenangan,” katanya.

Namun Abdul Hadi yang kini menyertai latihan skuad kebangsaan untuk perlawanan persahabatan di Hong Kong, terkilan kerana rakan gandingan Ashaari Samsuddin tidak dapat bersama memperkuatkan jentera serangan berikutan penggantungan satu perlawanan akibat tiga kad kuning.

“Saya semakin serasi dengan Manaf Mamat di depan dan kehadiran Ashaari yang memahami corak permainan kami memudahkannya membuat umpanan tepat,” kata Abdul Hadi.

Dengan 15 gol dikumpul setakat ini, Abdul Hadi berkata dia mahu menambah angka itu tetapi tetap mengutamakan kejayaan pasukan berbanding matlamat peribadi.

Mahu balas kepercayaan Karathu (01/06/2011)

PENYERANG muda Kelantan, Mohd Nizad Ayub mengakui peluang beraksi dalam kesebelasan utama Red Warriors banyak memberikannya pendedahan berguna selain meningkatkan tahap persembahannya menjelang dua pertemuan penting dengan Terengganu.

Anak sulung daripada tiga beradik yang mula menyarung jersi Kelantan pada 2008 itu turut patuh kepada arahan Ketua Jurulatih, Datuk M Karathu setiap kali diturunkan dan bersemangat membantu pasukan merebut kejuaraan Liga Super musim ini, selain final Piala FA, 11 Jun ini.
“Saya teruja setiap kali diberi peluang bermain dan sentiasa berusaha membaiki kelemahan diri untuk memantapkan aksi di dalam padang. Matlamat kini ialah menambah koleksi jaringan dan membantu kejayaan pasukan,” katanya di Kota Bharu, semalam.

Mohd Nizad yang memulakan karier dengan mewakili skuad Piala Presiden Kelantan pada 2006, bersedia memikul tugas selaku penyerang sekiranya diberi peluang beraksi pada perlawanan liga bertemu Terengganu Isnin depan yang disifatkannya sebagai pra-final Piala FA.

“Saya yakin Kelantan mampu mengekang Terengganu walaupun kami beraksi di tempat lawan kerana tekanan lebih dirasai tuan rumah di depan penyokong sendiri,” katanya.

Sementara itu, Karathu mengakui perlawanan dengan Terengganu adalah penting kerana ia akan menentukan hala tuju kemaraan Kelantan dalam mengukuhkan kedudukan Liga Super.

Selepas diberi rehat dua hari, Karathu menyambung latihan dan mempersiapkan anak buahnya bagi menghadapi dua perlawanan penting dengan Terengganu.
“Saya ada beberapa hari untuk melihat tahap kecergasan pemain secara keseluruhannya sebelum berkunjung ke Kuala Terengganu. Dua perlawanan ini penting untuk menentukan siapa jaguh mutlak Pantai Timur,” katanya.

Sudah bersedia (01/06/2011)

Rajagobal jadikan ujian dengan Hong Kong kayu pengukur

MENYEDARI keazaman Hong Kong menebus kekalahan 2-0 di tangan skuad kebangsaan pada perlawanan persahabatan Februari lalu, ketua jurulatih K Rajagobal mahu anak didiknya bersedia dengan apa juga cabaran diberikan lawan itu pada pertemuan Jumaat ini.

Walaupun menampilkan skuad berlainan kali ini, Rajagobal yakin barisan pemain berpengalaman yang dipanggil untuk perlawanan persahabatan itu mampu mengulangi aksi cemerlang ke atas lawan sama di Hong Kong nanti.
“Saya faham Hong Kong akan cuba untuk menebus kekalahan mereka di sini,” kata Rajagobal selepas sesi latihan di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Kelana Jaya semalam. “Tetapi kita akan ke sana dan cuba menyesuaikan diri dengan situasi secepat mungkin.

“Saya harap pemain bersedia dengan apa juga cabaran ditampilkan lawan nanti kerana apabila bertemu Taiwan (perlawanan kelayakan Piala Dunia), situasi sama juga akan dihadapi.

“Apa yang penting ialah mempersiapkan pasukan ini untuk perlawanan menentang Taiwan, jadi apa juga keputusan di Hong Kong menjadi kayu ukur skuad yang saya kumpulkan kali ini.”

Rajagobal yang hanya sempat berlatih sehari dengan skuad penuh 24 pemain yang disenaraikannya, tidak mahu terlalu meletak tekanan kepada anak didiknya.

“Tumpuan utama adalah perlawanan menentang Taiwan pada kelayakan Piala Dunia zon Asia,” kata jurulatih yang membawa dua kejayaan besar peringkat Asia Tenggara - Sukan SEA 2009 dan Piala AFF Suzuki 2010.
“Saya pernah melihat corak permainan mereka ketika Challenge Cup Di Vietnam, mereka agak pantas dan agresif. Jadi saya perlu menyediakan pasukan yang mampu mencabar mereka.”

Daripada senarai 24 pemain dipanggil, hanya 22 akan berangkat ke Hong Kong pagi ini selepas penjaga gol Nasril Nourdin dan Farisham Ismail (pertahanan) digugur.

Senarai Pemain:
Sharbinee Allawee (PG), Syed Adney (PG), Asrarudin Putra, Nasriq Baharom, Azmi Muslim, Aidil Zafuan, Helmi Remeli, Shahrom Kalam, Mohd Hisyamudin, Safiq Rahim, Amirulhadi Zainal, Azidan Sarudin, Amar Rohidan, Baddrol Bakhtiar, Ashaari Samsudin, Ismail Faruqi, S Kunanlan, S Chanturu, Safee Sali, Norshahrul Idlan, Abd Hadi Yahya, Shahrizal Saad

Tekad ikut jejak Rooney (01/06/2011)

BIARPUN belum mencecah ketinggian satu meter, Muhammad Amirul Muqriz Amaruddin menyimpan cita-cita besar untuk mengikut jejak langkah idolanya, Wayne Rooney apabila meningkat dewasa nanti.

Si cilik berusia lapan tahun yang meminati penyerang Manchester United itu kini berada pada landasan terbaik merealisasikan potensinya apabila dipilih bersama-sama Mohamad Hafizi, 13, dan Selvaraji Ganesan, 16, sebagai penerima Biasiswa Program Remaja RSC ECM Libra khusus bagi kanak-kanak yang memerlukan bantuan.
Bapa Muhammad Amirul, Amaruddin Ahmad, yang hadir pada majlis penyampaian biasiswa di Kelab Diraja Selangor, Bukit Kiara itu semalam, mendedahkan minat anaknya dalam sukan bola sepak berputik sejak kecil.

“Anak saya minat sejak kecil. Kalau menonton televisyen, mesti memilih rancangan bola sepak saja,” katanya yang bekerja sebagai penghantar surat di sebuah bank.

“Disebabkan saya mewakili bank dalam bola sepak, saya mahukan anak juga berkecimpung dalam sukan ini. Saya melihat dia boleh pergi jauh, tambahan pula bola sepak kini menawarkan kerjaya yang lebih terjamin,” katanya.

Biasiswa Program Bola Sepak Remaja RSC ECM Libra mengenal pasti 10 penerima antara enam hingga 18 tahun yang kurang bernasib baik untuk berlatih dalam program pembangunan bola sepak remaja RSC.

Sejumlah RM50,000 diperuntukkan ECM Libra bagi program ini dalam tempoh tiga tahun.
Pihak yang mempunyai maklumat mengenai kanak-kanak berpotensi besar dalam bola sepak tetapi berdepan masalah kewangan, boleh hubungi pejabat sukan RSC di talian 0320932277 atau e-mail sports@rscweb.org.my.

Perlu banteras gejala rasuah (01/06/2011)

KEGAGALAN persatuan negeri bertindak tegas dari awal terhadap pemain yang disyaki terbabit dalam skandal ‘mengatur keputusan perlawanan’ menjadi punca gejala itu sukar dibendung dalam kancah Liga Malaysia, termasuk di Terengganu.

Bekas pengurus pasukan Piala Presiden T-Team, Mohd Sabri Abas mendakwa, pengurusan tertinggi persatuan kebiasaannya enggan membabitkan pihak berkuasa dalam menangani masalah pemain yang disyaki.
Katanya, perkara sama pernah berlaku dalam skuad Piala Presiden Terengganu dan T-Team tahun lalu yang berakhir dengan penyingkiran sekurang-kurangnya lapan pemain selepas disyaki terbabit mengatur perlawanan.

“Kontrak pemain terbabit ditamatkan atas pelbagai alasan tetapi tidak dikaitkan dengan mengatur perlawanan menyebabkan mereka meneruskan kegiatan itu apabila bermain untuk pasukan lain,” katanya sambil tidak menolak pengurusan kekurangan bukti kukuh untuk mensabitkan kesalahan berkenaan.

“Tetapi sepatutnya pengurusan membuat laporan kepada pihak berkuasa supaya perkara itu dapat disiasat secara terperinci,” katanya.

Mohd Sabri memuji sikap berani Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBSNS) yang membuat laporan polis terhadap pemain yang disyaki terbabit kerana berpendapat, itulah cara terbaik menyelesaikan gejala berkenaan daripada berleluasa dalam Liga-M.

Mengulas lanjut dakwaannya ada pemain Piala Presiden Terengganu dan T-Team mengatur perlawanan tahun lalu, katanya, tidak semua pemain berhubung terus dengan wakil ‘bookie’ tetapi memang ada pemain menjadi dalang dan mewakili rakan sepasukan hingga sanggup menggadaikan maruah pasukan demi wang.
Berdasarkan maklumat diterimanya, setiap pemain terbabit menerima RM5,000 dan RM10,000 bagi setiap perlawanan dan jumlah bayaran bergantung kepada kepentingan pemain dalam pasukan.

Jangan hukum (01/06/2011)

Shahidan minta MSN tidak perbesar kesalahan atlit hanya kerana gagal jalani ujian doping

PRESIDEN Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM), Datuk Seri Shahidan Kassim merayu semua pihak supaya jangan menghukum enam atlit yang ‘melarikan diri’ daripada ujian doping Isnin lalu selagi mereka belum dibuktikan bersalah.

“Saya sangat kecewa kerana semua pihak termasuk Majlis Sukan Negara (MSN) seolah-olah sudah menjatuhkan hukuman ke atas atlit terbabit sedangkan mereka belum dibuktikan bersalah. Tindakan ini tidak baik dan akan melunturkan semangat atlit yang banyak berkorban untuk negara.
“Malah, atlit lain yang tidak terbabit terjejas dengan publisiti buruk mengenai isu ini hingga ramai yang tidak hadir menjalani latihan. Adakah ini yang MSN mahu lihat?,” soalnya selepas meninjau latihan atlit di Kompleks Sukan MSN, Bukit Jalil, petang semalam.

Shahidan juga mengesahkan tiga atlit - Norjannah Hafiszah Kamaruddin, Nurul Sarah Kadir dan Noor Imran Hadi - yang dicari MSN selepas ‘menghilangkan diri’ sejak Isnin lalu, kini berada di Bulgaria untuk menjalani latihan.

“Mereka ke Bulgaria atas pembiayaan KOAM, bukannya MSN. Jadi, kita akan menghantar tiga lagi atlit (Yee Yi Leng, Siti Fatimah Mohamad dan Siti Zubaidah Adabi) ke sana secepat mungkin selepas keputusan ujian doping mereka diterima.

“Saya hairan mengapa MSN membuat laporan polis, sepatutnya ibu bapa mereka yang berbuat demikian. Jadi, kalau polis nak siasat, mereka boleh pergi mencari mereka (atlit) di Bulgaria,” katanya.

Shahidan turut meluahkan kekecewaannya dengan tindakan MSN yang lebih suka mengheret media bersama apabila timbul sesuatu isu mengenai KOAM sedangkan ia boleh dibincangkan secara dalaman dan profesional.
“Saya minta Menteri Belia dan Sukan (Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek) hentikan tindakan MSN ini. Jika MSN tidak suka Karim Ibrahim (Timbalan Presiden KOAM), mengapa mereka mahu hukum KOAM,” katanya

Sunday 22 May 2011

Gegar lagi (23/05/2011)

Juara dunia menang GP Sepanyol semalam atasi saingan sengit Hamilton

BARCELONA: Juara bertahan, Sebastian Vettel memandu jenteranya, Red Bull untuk merakamkan kemenangan tipis penuh dramatik mengatasi pemandu McLaren, Lewis Hamilton untuk menjuarai kejuaraan Grand Prix Sepanyol, semalam - gelaran Formula Satu (F1) keempat daripada lima kemunculan, musim ini. 

Pemandu berusia 23 tahun dari Jerman itu menggunakan kelajuan semula jadi serta strategi bijak untuk memintas rakan sepasukan, Mark Webber selaku pendahulu selepas bermula dari petak kedua dan berjaya melepasi cabaran dilontar oleh Hamilton dalam saingan 66 pusingan itu.
“Yabbadabbadoooo!,” jerit Vettel tanda gembira menerusi perbualan radio dengan ketua pasukan Red Bull, Christian Horner yang kemudian membalas: “Hebat Seb..kamu melakukan tugas yang hebat.”
Ini adalah gelaran F1 ke-13 bagi Vettel sepanjang kerjaya untuk mendahului senarai pemandu dan juga pasukan dan ini adalah kali pertama seorang pemandu yang tidak bermula daripada petak pendahulu menjuarai GP Sepanyol dalam tempoh 11 tahun. 

Hamilton menamatkan cabaran di tempat kedua manakala rakan sepasukan McLaren, Jenson Briton di tempat ketiga dengan Webber yang bermula di petak pertama hanya mampu di tangga keempat manakala bekas juara dunia, Fernando Alonso mendapat tempat kelima. - AFP 

Malaysia mesti menang (23/05/2011)

SKUAD badminton negara yang memulakan misi menentang Russia dalam Kumpulan 1B Piala Sudirman di Qindao, China hari ini tiada pilihan lain selain memastikan kemenangan andai tidak mahu menempah laluan berliku ke suku akhir. 

Tidak kira apa juga keputusan 5-0, 4-1 atau 3-2, tetapi kemenangan perlu dicari skuad diketuai jaguh perseorangan, Lee Chong Wei kerana kekalahan kepada lawan lemah itu mungkin menyaksikan mereka berkemas pulang awal.
Ini kerana lawan yang menanti dan perlu diatasi pada perlawanan terakhir kumpulan Rabu nanti adalah musuh tradisi, Indonesia yang menewaskan Russia 4-1 dalam perlawanan pembukaan, semalam.
Ketua jurulatih, Rashid Sidek mengakui hakikat itu dan mengingatkan pemain tidak terlalu yakin walaupun di atas kertas skuad negara harus tidak berdepan masalah mengatasi lawan itu. 

“Saya tidak kisah berapa keputusan di akhir saingan, tetapi apa yang penting adalah kemenangan,” katanya semalam. “Mungkin Russia dianggap lawan lemah, tetapi kita juga perlu berwaspada kerana lawan memiliki barisan wanita lebih mantap. 

“Apa lagi, mereka pasti berusaha untuk bangkit bagi menebus kekalahan kepada Indonesia, sekali gus menghidupkan kembali peluang mereka ke suku akhir,” katanya. 

Sementara itu, pengurus pasukan, Chua Soon Hock menegaskan skuad negara tiada masa mencuba pemain sebaliknya akan menampilkan barisan terkuat untuk memastikan kemenangan berada dalam genggaman. 

Dinobat Pemain Terbaik BWF (23/05/2011)

SKUAD badminton negara mendapat rangsangan menjelang perlawanan pembukaan menentang Russia dalam Piala Sudirman, hari ini apabila Lee Chong Wei dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Lelaki 2010 oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF), semalam. 

Turut menerima pengiktirafan sebelum majlis pembukaan kejohanan berpasukan campuran di Qindao, China semalam adalah pemain tuan rumah, Wang Xin yang menerima anugerah Pemain Terbaik Wanita 2010.
Chong Wei berjaya mengekalkan kedudukan selaku pemain nombor satu dunia sepanjang musim lalu apabila merangkul enam kejuaraan Siri Super termasuk kejohanan berprestij Seluruh England, Terbuka Korea, Malaysia, Indonesia, Jepun dan Hong Kong.
Dia juga mengungguli dua kejohanan Emas Grand Prix Malaysia dan Macau serta memenangi pingat emas Sukan Komanwel dalam acara perseorangan lelaki dan berpasukan dan memenangi perak di Sukan Asia. 

Timbalan Presiden BWF, Paisan Rangsikitpho menyampaikan anugerah kepada kedua-dua pemain itu. 

Penyelamat Kelantan (23/05/2011)

Red Warriors kekal dahului liga selepas Selangor tewas di Kuantan 

PENYERANG prolifik kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha tampil menjadi penyelamat pasukan apabila jaringannya tiga minit sebelum tamat perlawanan membantu Kelantan pulang berbekal satu mata berharga selepas seri 2-2 dengan Harimau Muda A dalam saingan Liga Super di Stadium Shah Alam, malam tadi. 

Keputusan ini membolehkan Red Warriors terus kekal selaku pendahulu pada hari yang menyaksikan Selangor gagal menghambat pencabar mereka itu selepas tersentak tewas kepada Pahang 2-1 di Kuantan. Lebih perit, anak didik K Devan tertekan apabila finalis Piala FA, Terengganu yang menang 3-0 ke atas Negeri Sembilan di halaman sendiri melonjak memintas mereka di tangga kedua - berkongsi himpunan 44 mata bersama Kelantan tetapi dipisahkan di atas perbezaan empat gol.

Dibantu sorakan padu kira-kira 10,000 penyokongnya, keghairahan Kelantan mencari kemenangan terserlah dari awal apabila terus mengasak Harimau Muda A sebaik wisel dibunyikan. 

Namun, mereka tersentak dengan gol pembukaan pada minit ke-14 oleh Harimau Muda A menerusi Izzaq Faris Ramlan sebelum Kelantan bangkit menyamakan kedudukan menerusi tandukan S Chanturu pada minit ke-32. 

Izzaq Faris ternyata menjadi duri dalam daging kepada Kelantan apabila sekali lagi berjaya menewaskan penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat pada minit ke-69, dan usaha Kelantan untuk menyelamatkan mata berhasil apabila Norshahrul atau Mat Yo tampil gah menyamakan kedudukan tiga minit sebelum tamat saingan. 
Di Stadium Darulmakmur, Azamudin Mohd Akil yang bertindak selaku penyerang akibat kecederaan R Surendran dan Mohd Faizol Hussain memastikan tuan rumah mendahului 1-0 yang kekal hingga separuh masa tamat. 

Ketinggalan 1-0 menyaksikan Selangor bangkit mengasak di babak kedua tetapi gawang mereka dikawal Mohd Iqbal Suhaimi robek lagi, kali ini menerusi Mohd Munir Amran pada minit ke-80. 

Bagaimanapun, anak buah Devan mendapat gol sagu hati menerusi sepakan percuma R Surendran pada minit terakhir permainan. 

Rampas tangga kedua liga (23/05/2011)

DUA jaringan Abdul Manaf Mamat membantu Terengganu mencipta kemenangan besar 3-0 buat skuad Penyu di laman sendiri mengatasi Negeri Sembilan - sekali gus memintas Selangor di tempat kedua Liga Super. 

Sekalipun menguasai sebahagian besar permainan dengan beberapa percubaan berbahaya, gol pertama Terengganu hanya hadir pada minit ke-24 menerusi Manaf selepas menerima hantaran cantik Abdul Hadi Yahya yang berjaya menewaskan penjaga gol Negeri Sembilan, Mohd Fadli Idris.
Masuk separuh masa kedua, Terengganu terus menggandakan asakan dan hasilnya Manaf sekali lagi meledak gol kedua pada minit ke-54 sebelum menjadi watak penting gol ketiga apabila hantarannya berjaya disudahkan Mohd Ashaari Shamsuddin pada minit ke-63.
Di Stadium JCorp, Pasir Gudang, Johor FC memastikan pelawat Perlis terus kekal di zon bahaya penyingkiran selepas menewaskan pasukan Singa Utara itu jaringan 2-1. 

Begitupun, Johor FC yang dibimbing Azuan Zain terlebih dulu dikejutkan dengan jaringan pelawat pada minit ke-32 menerusi jaringan mudah Mohd Hafiszuan Salehudin sebelum bangkit menyamakan jaringan pada minit ke-41 menerusi penalti kapten pasukan Rezal Zambery Yahya. 

Rezal memastikan tuan rumah meraih mata penuh apabila sepakan percumanya pada minit ke-75 berjaya menerjah gawang lawan. 

Di Stadium KLFA Cheras, pertemuan panas di antara FELDA United menentang Perak akhirnya memihak dengan kemenangan kepada pelawat hasil jaringan tunggal penyerang Akmal Rizal Ahmad Rakhli yang menerima hantaran cantik Mohd Shazuan Mohd Ashraf pada minit ke-10. 
Di Stadium Darulaman, Kedah yang melayan kunjungan Kuala Lumpur sekadar mencatat keputusan seri tanpa jaringan manakala dalam satu-satunya perlawanan di Borneo, Sabah yang melayan kunjungan pelawat dari Pantai Timur, T-Team mencipta kekalahan besar apabila tumbang 3-1 di Stadium Likas. 

Sasar ‘ragut satu mata’ di Beirut (23/05/2011)

ONG Kim Swee meletakkan sasaran agak realistik iaitu ‘meragut satu mata’ daripada Lubnan di tempat lawan pada 19 Jun sebelum hadir menjerat lawan mereka di Kuala Lumpur dalam perlawanan kedua kelayakan Olimpik zon Asia. 

Perlawanan pertama jelas misi besar bagi pengendali berkenaan yang harus dilunaskan sebelum Lubnan bertandang ke ibu negara pada 23 Jun ini - sekali gus memastikan skuad Olimpik kebangsaan mara selangkah lagi.
“Saya sasarkan sekurang-kurangnya keputusan seri dicatat di Beirut,” kata Kim Swee. “Persiapan pasukan memang tidak menjadi masalah, tetapi saya masih perlu menyaksikan sendiri corak permainan lawan sebelum mencatur strategi permainan di Beirut nanti.
“Buat masa sekarang, memang saya tiada apa-apa maklumat mengenai pasukan Lubnan, baik mengenai pemain mereka atau pun corak permainan. Satu-satunya peluang yang ada mengkaji pasukan ini ialah menerusi perlawanan persahabatan mereka di Turki awal bulan depan. 

“Jika saya terpaksa ke Turki untuk menonton perlawanan berkenaan, saya akan ke sana. Ini penting supaya pemain dapat menjangka aksi lawan apabila bertandang ke Beirut.” Pasukan Olimpik negara akan berkumpul untuk latihan pusat pada 29 Mei ini. 

Sebelum perlawanan berkenaan, Kim Swee akan menguji skuadnya pada dua perlawanan persahabatan - menentang Kemboja dan Qatar - di Phnom Penh dan Doha bulan depan. Bagaimanapun hanya selepas perlawanan menentang Kemboja dia akan menamakan skuad terakhirnya. 

“Bayangan skuad utama sudah ada dalam fikiran saya, tetapi saya masih perlu menguji mereka di Kemboja sebelum membawa 22 pemain ke Doha dan terus ke Beirut,” kata Kim Swee yang kini mempunyai 26 pemain dalam senarai awalnya. 
“Saya gembira melihat prestasi pemain semakin meningkat, terutama selepas mengutip pengalaman bermain dalam Liga Super. Saya harap selepas tidak lagi berada dalam Harimau Muda, pemain-pemain ini dapat terus beraksi bersama negeri masing-masing dalam Liga Malaysia.”