Monday 28 November 2011

‘Noraseela tak salah’ (29.11.2011)

JAGUH 400 meter lari berpagar negara, Noraseela Khalid mempunyai hak untuk menyuarakan rasa tidak puas hatinya terhadap pengurusan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) yang didakwa mengabaikan kebajikan atlet olahraga negara.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, selaku atlet senior dalam skuad kebangsaan, Noraseela mempunyai hak untuk menyuarakan pendapat bagi memastikan kebajikan atlet lain termasuklah atlet pelapis terjamin.

“Kita melihat Noraseela atlet senior yang banyak berjasa kepada sukan olahraga selain menjadi pembimbing kepada atlet lain termasuk atlet junior.
“Tidak salah sekiranya dia meluahkan apa yang terbuku di hati sebagai seorang atlet olahraga,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kritikan anggota majlis KOM, S Rajasegram terhadap Noraseela yang seolah-olah tidak tahu menghargai jasa dicurahkan badan induk itu kepada atlet itu selama ini.

Noraseela sebelum itu dilapor mengkritik pengurusan KOM yang dikatakan tidak menghargai jasa dan pengorbanan atlet olahraga selepas mempertahankan pingat emas 400 meter lari berpagar pada Sukan Sea Indonesia, baru-baru ini

Ahmad Shabery berkata, isu pertikaman lidah antara KOM dan atlet olahraga negara sebenarnya sudah terlalu lama timbul namun gagal diselesaikan mengikut saluran dan cara yang betul.

“Saya tidak akan campur tangan dalam isu ini kerana ia isu dalaman KOM dan mereka harus selesaikan masalah itu sendiri,” katanya sambil berharap agar Noraseela terus menyumbang bakti kepada sukan olahraga negara.

No comments:

Post a Comment