Saturday 26 November 2011

Harapan kabur (27/11/2011)

PELUMBA kelahiran Pulau Pinang, Zaidy Mohd Zaifaizal (gambar kecil) meletakkan sasaran realistik bagi menghadapi pusingan terakhir Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas 2011 di Penang Esplanade, Pulau Pinang pada 3 dan 4 Disember ini.
Pelumba Motul Yamaha YY Pang yang berada di tangga kedua keseluruhan dengan 111 mata itu masih berpeluang merebut gelaran juara CP115 namun dia hanya mahu menaiki podium pada perlumbaan minggu depan bagi mengurangkan tekanan untuk menewaskan pesaing utama, Shahril Izzuwan Mohd Noor (Petronas Syntium Moto Yamaha AHM) yang mendahului carta keseluruhan dengan 128 mata. Sementara itu, Mohd Rozaliman Zakaria (ZAR Racing Motorsport) yang mengumpul 95 mata setakat ini berada di kedudukan ketiga.

Baginya, jurang perbezaan 17 mata berbanding Shahril adalah jumlah yang agak besar dan mustahil untuk dikejar.
Namun, pelumba 19 tahun itu tetap bersemangat beraksi di depan penyokong sendiri ekoran tidak dapat beraksi musim lalu akibat digantung selepas melakukan kesalahan melanggar etika perlumbaan pada pusingan kedua terakhir di Sepang.

“Saya amat teruja dapat kembali beraksi di Pulau Pinang selepas kejadian yang tidak diingini berlaku pada musim lalu,” kata Zaidy yang berasal dari Batu Feringgi.

“Malangnya, situasi tidak begitu baik dengan jurang mata yang agak ketara antara saya dengan Shahril. Jikalau jurang mata tidak begitu besar saya pasti saingan pasti lebih menarik.
“Shahril mempunyai banyak kelebihan kali ini. Jika saya memenangi perlumbaan di Padang Kota Lama sekalipun, Shahril hanya perlu menamatkan perlumbaan di kedudukan ketujuh dan akan dinobatkan juara. “Saya hanya berpeluang membawa pulang mahkota CP115 jika saya menduduki tempat kedua manakala Shahril hanya mengutip dua mata sahaja (di tempat ke-14). Namun ia agak mustahil. Oleh itu, saya tidak mahu terlalu berharap meraih gelaran keseluruhan, sebaliknya cuba yang terbaik untuk meraih kedudukan podium pada perlumbaan ini.” Apabila ditanya mengenai kelebihannya beraksi di gelanggang sendiri, Zaidy menjelaskan dia tidak mempunyai sebarang kelebihan walaupun berlumba di gelanggang sendiri, malah Shahril juga berasal dari Pulau Pinang. “Begitupun semangat saya cukup tinggi kerana seluruh keluarga, rakan-rakan dan peminat saya akan hadir untuk memberikan sokongan.” Saingan musim ini menyaksikan Zaidy menjejakkan kaki di atas podium sebanyak tiga kali apabila menduduki tempat ketiga pada pusingan pembukaan di Kangar diikuti kemenangan berturut-turut di Batu Kawan (Pusingan 2) dan Terengganu (Pusingan 3).

Maklumat lanjut, sila hubungi Safe Aim Mutual Sdn Bhd (SAM) di talian 03-8733 8787 atau lawati laman web rasmi Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas, www.malaysiancubprix.com atau menyertai laman Facebook di www.facebook.com/malaysiancubprix dan Twitter melalui www.twitter.com/msiancubprix

No comments:

Post a Comment